Mungkin kerana lahir daripada perang saudara di kalangan penjajah berlainan ideologi, Amerika Syarikat bangkit sebagai sebuah negara yang benar-benar mahu mempunyai identiti sendiri. 

Usaha itu berjaya kerana masyarakat Amerika Syarikat bukan saja menguasai ekonomi dan pembangunan teknologi, bahkan duduk menguasai pembudayaan pop culture dunia; memikat halwa telinga dan minda masyarakat antarabangsa melalui filem Hollywood dan industri muzik mereka. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun mendapat kemerdekaan daripada Britain, Amerika Syarikat mempunyai budaya sendiri yang unik dan kadangkala agak aneh juga, jika dibandingkan dengan bekas koloni Britain yang lain.

Berikut adalah lima perkara tentang Amerika Syarikat yang pelik dan ganjil jika dibandingkan dengan negara lain di dunia.

1. Panggil bola sepak 'soccer'

major league soccer bukan football

Seluruh dunia panggil sukan sukan nombor 1 dunia sebagai 'football' dalam bahasa Inggeris.

Alih-alih Amerika Syarikat panggil 'soccer.' Yang buat lagi keliru, dia panggil ragbi versi mereka sebagai 'football' pulak dah.

Walaupun Amerika Syarikat terkenal di seluruh dunia sebagai negara yang mengamalkan label sukan bola sepak sebagai 'soccer', bukan hanya mereka saja tau yang menggunakan istilah tersebut. 

Australia, New Zealand, Kanada dan Afrika Selatan juga secara amnya mempopularkan istilah 'soccer' mewakili istilah rasmi sukan bola sepak. 

2. Suka sukan-sukan yang jarang popular

sukan american football popular di usa

Walaupun bola sepak atau 'soccer' sudah mendapat tempat di hati peminat sukan warga Amerika Syarikat, membolehkan sukan itu dijadikan antara sukan rasmi di sekolah-sekolah mereka, populariti 3 sukan utama mereka yang lain sukar dicabar.

Hanya di Amerika Syarikat saja sukan bola keranjang, ragbi Amerika dan besbol mendapat liputan dalam skala yang sangat besar, dimainkan daripada peringkat amatur sehinggalah profesional.

Walaupun bola keranjang juga popular di Eropah, Russia dan Itali atau besbol di Jepun, tetapi tak boleh kita nafikan populariti ketiga-tiga sukan di atas ke atas pasaran tempatan dan dunia agak luar biasa. 

Lebih memburukkan keadaan, pertandingan yang dianjurkan di Amerika Syarikat biasanya dilabelkan sebagai 'World Series'. Bagaimanalah sebuah pertandingan tahap tempatan boleh pula dinamakan sempena seluruh dunia?

3. Gunakan sistem unit Imperial

usa masih mengekalkan sistem imperial

Sistem ukuran imperial merupakan standard ukuran yang digunakan sebelum kiraan berdasarkan sistem metriks, diperkenalkan pada tahun 1790 di Perancis.

Usaha untuk memperkenalkan standard metriks ke dalam industri Amerika Syarikat sudah cuba dijalankan, namun gagak berlaku ketika zaman Thomas Jefferson - salah seorang pengasas Amerika Syarikat yang ketika itu bertindak sebagai setiausaha kerajaan.

Ini disebabkan oleh keengganan pengusaha dan pengeluar di sana bertukar standard ukuran, ketika itu mereka sudah rancak dalam era Revolusi Industri, jadi mengubah sistem yang telah mereka sedia guna pakai memerlukan bajet besar dan memakan masa.

Sebarang pertukaran memerlukan semua kapasiti dan mesin yang diguna disana diubahsuai atau dirombak balik. Jadi usahawan yang berpengaruh melobi agar sistem imperial dikekalkan kerajaan Amerika Syarikat. Kesannya? 

Mereka kekal dengan sistem lama dan kini menjadi antara negara yang perlu mengajar sistem imperial dan sistem metriks dalam sukatan pendidikan mereka, bagi membolehkan pelajar faham kedua-dua sistem.

Selain Amerika Syarikat - Myanmar dan Liberia adalah dua lagi negara yang kekal sebagai pengguna rasmi sistem imperial.

4. Sistem tarikh yang mengelirukan

sistem tulisan tarikh amerika syarikat usa date

Satu perkara mengelirukan untuk kita orang Malaysia fahami bila membaca artikel tulisan pengarang dari Amerika Syarikat, adalah memahami bila artikel itu ditulis atau tarikh sesuatu kejadian berlaku.

Sehingga ke hari ini Amerika Syarikat adalah satu-satunya negara dalam dunia yang menulis bulan terlebih dahulu dalam tarikh, baru hari dan kemudiannya tahun. Sedangkan logik akal kita sendiri dah tahu secara mudah; unit yang paling kecil iaitu hari seharusnya diletakkan di bahagian kiri sekali, barulah bulan dan tahun.

Kenapa situasi ini berlaku? Tidak ada sesiapa yang tahu secara fakta puncanya. 

Banyak pendapat popular menyebut susunan tarikh itu diamalkan Amerika Syarikat berdasarkan kepada cara tulisan tarikh dalam bentuk ayat yang diamalkan. Sebagai contoh 4 Julai 2022 akan ditulis sebagai 'July 4th 2022.'

Lihat susunannya di mana kedudukan bulan berubah kan? Format ini dikenali sebagai format tulisan 'middle-endian'. Kita menggunakan format 'little-endian' yang dimulakan oleh angka hari. 

5. Matawang mereka aneh

wang kertas usa dimensi saiz sama

Majoriti negara dunia mempunyai rekabentuk matawang yang mudah difahami.

Duit syiling dan wang kertas akan dibahagikan mengikut saiz dan warna bagi memudahkan semua orang termasuklah mereka yang kurang upaya, faham nilainya. Berbeza pula dengan Amerika Syarikat!

Kesemua wang kertas mereka baik yang membawa nilai $1, $2, $5, $10, $20, $50 dan $100 kesemuanya mempunyai dimensi yang sama iaitu 2.61 inci lebar dan 6.14 inci panjangnya.

Rekaannya juga mirip antara satu sama lain dengan menggunakan warna, simbol dan rekabentuk yang hampir serupa.

Kerajaan Amerika Syarikat menggariskan 3 sebab utama kenapa keputusan itu dibuat; wang kertas sama saiz lebih mudah dicetak dan lebih mudah dibawa. Mereka juga tidak nampak ada keperluan untuk mengubahnya. Wang syiling mereka turut mempunyai keanehan tersendiri.

Setiap satu kepingan syiling yang dibentuk langsung tidak memaparkan angka yang mewakili nilainya. Apa yang dipaparkan hanyalah perkataannya. Jika syiling 1¢, akan tertera 'ONE CENTS.' Jika syiling 25¢ akan dicetakkan 'Quarter Dollar'. 50¢? 'HALF DOLLAR.'

Saiz yang dipilih juga aneh. Syiling 1¢ dan 5¢ adalah lebih besar daripada syiling 10¢. Ini berlawanan dengan standard negara lain, yang pada penulis dirangka lebih baik serta kurang mengelirukan untuk semua pihak.

Kalau kita tak pandai baca, sekurang-kurangnya kita kenal simbol nombor. Jika tak boleh membaca langsung, kita boleh membezakan wang mengikut saiznya. Di sana? Semuanya sama. 

 




Hakcipta iluminasi.com (2017)