tentera china india jaga sempadan

Selepas laporan media mula menyebut tentang konflik antara India dan China yang (ketika itu) sedang berlaku di Ladakh, khasnya di kawasan yang dikenali dengan nama Pangong Tso - banyak pihak menarik nafas lega selepas keadaan mula reda.

Tindakan China bersetuju untuk menarik keluar pasukan tentera mereka 2 km pada tarikh 10 Jun 2020 daripada garis sempadan dilihat sebagai petanda baik konflik itu berjaya diselesaikan dengan jalan diplomasi.

Bagaimanapun, laporan yang baru saja dikeluarkan oleh kerajaan India pada 17 Jun 2020 menunjukkan perkembangan tidak sihat - selepas insiden kematian telah berlaku akibat pertempuran, menamatkan tempoh tenang 45 tahun yang berjaya dikekalkan.

Menamatkan rekod bersih 45 tahun

ladakh clash pergaduhan korban nyawa

Walaupun pertempuran dalam skala kecil tanpa tembakan dan peluru kerap kali berlaku di garisan sempadan yang memisahkan India dan China, sudah 45 tahun belum ada kehilangan nyawa dilaporkan.

Malangnya, dalam pertempuran terbaru ini kerajaan India melaporkan seramai 20 orang anggota tentera mereka telah terkorban.

Beberapa insiden sebelum ini sudah berlaku dan mengorbankan nyawa anggota tentera kedua-dua negara bertempur. Antaranya adalah insiden pertempuran dua kali pada bulan September dan Oktober tahun 1967.

Dua pertempuran itu yang berlaku di titik sempadan yang dikenali dengan nama Nathu La dan Cho La, menjadi konflik sempadan paling banyak mengorbankan nyawa askar kedua-dua negara setakat ini.

428 kematian dalam dua pertempuran

sempadan india china 225

Insiden bulan September tahun 1967 didakwa dimulakan oleh tindakan askar China menyerang pegawai-pegawai tentera India yang ketika itu ditugaskan memasang pagar, di titik sempadan Nathu La yang dikuasai India.

Perang selama 5 hari itu akhirnya tamat setelah kedua-dua negara berjaya mengadakan gencatan senjata.

Kejadian kedua pula berlaku pada bulan Oktober tahun yang sama, akibat pertengkaran antara kedua-dua pasukan di mana kedua-dua pihak saling tuduh-menuduh antara satu sama lain melakukan pencerobohan.

Peperangan selama satu hari itu memaksa pasukan tentera China berundur daripada laluan Cho La, memberikan kemenangan mutlak kepada tentera India.

Dalam dua insiden itu, dilaporkan seramai 88 orang tentera India dan 340 tentera China terbunuh.

Insiden terakhir melibatkan kematian anggota tentera yang bertugas di kawasan itu pula berlaku pada tahun 1975, selepas kumpulan petugas India diserang hendap di sebuah laluan terpencil berdekatan Arunachal Pradesh - mengorbankan empat nyawa.

Itu adalah kali terakhir senjata api digunakan, selepas perjanjian pada tahun 1996 berjaya dicapai mengharamkan penggunaan senjata api sekiranya konflik di kawasan sempadan India dan China tercetus.

Pertempuran berdarah terbaru tahun 2020

peta lembah galwan

Disebabkan peraturan itu, anggota tentera kedua-dua negara hanya boleh bertindak balas dan bertempur dengan menggunakan buku lima serta senjata-senjata primitif seperti batu dan kayu.

Menurut laporan awal dari India, punca kejadian bermula selepas China menceroboh masuk 3 lokasi titik sempadan, mendirikan khemah dan pos pengawal walaupun arahan keluar telah diberikan.

Bagaimanapun, kisah sebaliknya pula dilaporkan oleh wakil China yang menyifatkan tentera India pula yang menceroboh masuk ke kawasan mereka.

Apa yang kita tahu setakat ini, insiden pertempuran itu berlaku semasa wakil kedua-dua negara masih lagi dalam perbincangan bagi meredakan keadaan.

Selepas perbincangan itu mencapai kata putus dengan persetujuan wakil kedua-dua negara untuk kekal mencari titik tengah secara diplomasi, kumpulan yang disertai 50 orang askar India mula menjalankan operasi untuk memeriksa sama ada tentera China benar-benar telah keluar seperti yang dipersetujui sambil meruntuh dan membakar struktur yang telah dibina China secara haram.

Walaupun begitu, operasi mereka terpaksa dihentikan selepas kumpulan 250 orang askar China dilaporkan berkumpul untuk menghalang mereka membersihkan binaan dan mendakwa pasukan tentera India itu pula telah menceroboh kawasan mereka.

Konflik yang bermula dengan pertengkaran lisan akhirnya merebak menjadi insiden lebih buruk.

Benarkah tentera China menggunakan senjata berbahaya?

kayu berpaku didakwa milik china

Pertempuran yang berlaku mengakibatkan kematian kepada 3 orang pegawai tentera India, khasnya ketua kepada batalion 50 orang tersebut yang berpangkat Kolonel menjadi satu kehilangan besar buat India.

Disebabkan oleh kecederaan parah yang dialami, kerajaan India melaporkan pertambahan seramai 17 orang lagi petugas mereka yang telah meninggal dunia.

China setakat ini belum melaporkan sebarang angka rasmi, tetapi dilaporkan 43 orang aska mereka cedera parah atau meninggal dunia hasil daripada maklumat yang diperolehi.

Jurucakap People's Liberation Army China bagaimanapun mengesahkan ada anggota tentera mereka yang terkorban.

Ada pihak mendakwa kadar kematian yang tinggi berlaku, disebabkan oleh tindakan askar China menggunakan batang kayu yang disaluti paku dalam menyerang musuh - namun setakat ini belum ada pengesahan tentang kebenaran dakwaan ini.

Gambar satelit jelaskan aktiviti China ketika ini

peta kawasan rebutan india china

Wakil kedua-dua buah negara sedang mengaturkan pertemuan dan perbincangan bagi mencari jalan agar keamanan dapat dikekalkan.

Beberapa gambar satelit yang berjaya diperolehi menunjukkan dakwaan pihak India terhadap China ada kebenarannya. China didapati mempergiatkan aktiviti mereka di kawasan tersebut, dengan kehadiran lebih 100 buah kenderaan di bahagian sempadan China.

fasiliti jalan raya dibina china

Gambar yang diambil pada 27 Mei itu dikatakan secara jelas menunjukkan bagaimana projek China untuk meratakan kawasan tersebut serta membina laluan, bakal mewujudkan insentif untuk China menguasai dan melebarkan penguasaan mereka di kawasan tersebut.

Sistem jalanraya yang telah dibina serta beberapa perubahan yang dilakukan ke atas aliran sungai dikatakan telah dilakukan secara besar-besaran oleh China, bagi membolehkan kawasan tersebut dihubungkan secara langsung dengan negara mereka.

Pada 19 Jun 2020, selepas kedua-dua kerajaan menafikan ada anggota tentera yang ditahan pihak lawan dalam insiden berdarah itu; kerajaan China membebaskan 10 orang anggota askar India termasuk empat orang berpangkat pegawai - selepas rundingan antara kedua-dua wakil negara.



Hakcipta iluminasi.com (2017)