Jika di Malaysia kita masih mengekalkan beberapa tempat yang mencerminkan empayar penjajah kita, di negara-negara luar juga berlaku situasi hampir serupa.
Ada banyak bandar di luar sana yang namanya mungkin popular hari ini sebagai destinasi pelancongan dunia, disebut-sebut orang ramai - tanpa kita menyedari nama yang popular itu asalnya hadir dari pengaruh masyarakat Arab kepada mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
Tahukah anda lokasi manakah yang mempunyai nama Islamik, tanpa ramai menyedari sejarahnya?
1. Madrid, Sepanyol
Pasti ramai di luar sana penyokong dua kelab bola sepak terkenal Eropah - Real Madrid dan Atletico Madrid bukan? Sedarkah anda, istilah 'Madrid' itu sebenarnya datang dari istilah Arab?
'Madrid' merupakan istilah Sepanyol yang dipinjam dari istilah Arab 'mairit' atau 'mayrit'; membawa makna 'sungai'. Madrid yang kita nampak hari ini merupakan sinambungan pembangunan kota Mayrit, sebuah kota dibangunkan kerajaan Islam di Sepanyol semasa pemerintahan Muhammad I.
Walaupun ada pihak mengatakan istilah 'mayrit' itu hadir dari istilah Rom 'matrice' yang digunakan sebagai nama tempat semasa era penjajahan Rom di sana, pendapat lebih popular dan kuat mengaitkan pengaruh empayar Islam sebagai punca utama nama itu wujud.
Ada juga pendapat mengatakan asal usul nama 'Mayrit' yang dipilih, datang daripada nama Sungai Manzanares (kini) yang dirujuk sebagai 'al-Magrit' semasa pendudukan empayar Islam di sana.
Dengan menggunakan rujukan nama sungai itu, kota Mayrit ditubuhkan dan diberi nama, sehinggalah namanya ditukarkan kepada Madrid demi mencerminkan pertukaran kuasa pemerintahan di sana.
2. Valladolid, Sepanyol
Seperti Madrid, asal-usul nama bandar Valladolid juga di Sepanyol dipercayai datang daripada istilah bahasa Arab.
Berbeza dengan sejarah asal-usul Madrid yang diterima pakai secara rasmi oleh masyarakat di sana, wujud beberapa pendapat menyebut sejarang bagaimana istilah nama bandar Valladolid dicipta.
Pendapat paling popular menyebutkan istilah itu datang daripada istilah Arab 'Balad Al-Walid' yang membawa makna 'Bandar Al-Walid' sempena nama Al Walid bin Abd al-Malik bin Marwan, pemerintah ke enam Khalifah Umayyah.
Beberapa pendapat yang muncul kemudian pula mendakwa istilah 'Valladolid' datang daripada istilah 'Valledolit', didokumentasi dalam buku Estoria de Espana (Sejarah Sepanyol) yang ditulis dalam di antara abad ke 12 sehingga 13.
Mana satu yang betul masih diperbincangkan. Tetapi apa yang lebih kukuh 'Balad al-Walid' muncul lebih awal penggunaannya berbanding 'Valledolit.'
3. Lisbon, Portugal
Dibuka oleh orang Phoenicia sebagai sebuah bandar baru dinamakan Ulissipo, bandar tersebut akhirnya dijajah beberapa kuasa besar dunia seperti orang Yunani dan Carthagia - sehinggalah Ulissipo jatuh ke tangan Rom pada tahun 205.
Ulissipo dinamakan semula sebagai Olissipo, menjadi salah satu jajahan takluk Empayar Rom.
Kebangkitan empayar Islam Moor menukar tampuk pemerintahan Olissipo, selepas bandar itu jatuh ke tangan pemerintahan orang Islam, yang menamakan bandar itu sebagai al-Usbunah atau lebih tepat Taa'ifatu al-Ushbunah.
Pusat pemerintahan kerajaan Islam itu mula dikenali masyarakat luar, dirujuk secara ringkas sebagai 'Lishbuna', bersilih ganti daripada satu tangan pemerintahan Muslim ke tangan pemerintah Muslim lain.
Pengaruh masyarakat Islam berakhir di Lishbuna selepas orang Portugis menyerang kota itu dan mengambilnya dari tangan orang Islam pada tahun 1147, menamatkan penguasaan orang Islam di sana.
Bagaimanapun nama 'Lishbuna' terus kekal, walaupun sudah ditulis sebagai 'Lisbon', masih mirip sebutannya walaupun ejaannya sudah berbeza.
4. Ramatuelle, Perancis
Sebuah pekan kecil yang terletak dalam mukim Cote d'Azur di Perancis, Ramatuelle hanya mempunyai populasi sekitar 2,000 orang penduduk.
Ramatuelle telah wujud sebelum kehadiran empayar Islam di sana, sebelum jatuh ke tangan tentera Islam Moor yang memerintah pekan itu pada abad ke 9 dan 10. Bagaimanapun tidak ada rekod apakah nama asal pekan itu sejak mula.
Pendapat paling popular walaupun disanggah banyak pihak menyebut asal-usul nama pekan kecil ini berpunca daripada pinjaman istilah 'Rahmatullah' yang dipilih sebagai nama, semasa pendudukan tentera Islam di kawasan itu.
Bagaimanapun hasil kajian penyelidik Arab-Algeria-Perancis bernama Evariste Levi Provencal ini sering dipertikaikan kerana ketiadaan bukti jelas.
Bagi mereka yang menyanggah pendapat ini, mereka percaya istilah 'Ramatuelle' yang digunapakai sekarang datang daripada nama sebuah kaum bernama Camatulici yang pernah mendiami kawasan itu satu masa dulu.
Secara rasmi, pekan itu dikatakan pernah dinamakan sebagai Regis Camatullicorum sekitar abad ke 8 atau 9 sebelum kehadiran tentera Islam di sana. Daripada nama itulah, nama Ramatuelle tercipta bagi memudahkan sebutan dan tulisannya dilakukan.
5. Tanjung Trafalgar, Sepanyol/Taman Trafalgar, London
Nama kedua-dua tempat ini saling berkait antara satu sama lain, walaupun berada dalam dua negara berbeza.
Ini kerana Taman Trafalgar atau Trafalgar Square yang terletak di London, dinamakan sempena mengingati peristiwa yang berlaku di Tanjung Trafalgar di Sepanyol.
Taman di London yang popular sebagai salah satu mercu tanda di Great Britain, dibina selepas kejayaan tentera Britain dalam pertempuran yang dinamakan 'Peperangan Trafalgar' di Sepanyol.
Britain ketika itu berdepan ancaman tentera laut Perancis dan Sepanyol pada tahun 1805 di kawasan Tanjung Trafalgar. Ekoran kemenangan besar Britain dalam pertempuran itu, kerajaan Britain bersetuju untuk mewujudkan satu memorial sebagai kenang-kenangan kejayaan mereka; jadi Taman Trafalgar dibina.
Tanjung yang dipilih sebagai nama memorial itu pula dinamakan secara formal semasa kawasan itu dikuasai oleh kerajaan Islam Andalusia, yang menamakan tanjung itu sebagai Taraf-al-Ghar, yang bererti 'tanjung yang memiliki jalinan gua.'
Dalam era moden, Taraf-al-Ghar ditulis secara ringkas sebagai Trafalgar yang membuang terus elemen Arab dalam sebutannya, menukarkannya menjadi satu sebutan yang lebih sinonim dengan kaedah Inggeris.
Pasti ramai menyangkakan 'Trafalgar' itu diambil sempena nama seorang jeneral atau pegawai tentera Britain yang banyak menyumbangkan jasa kepada Britain kan?