Kami tidak tahu apa masalah negara China.

Sepanjang pandemik sedang melanda, terlalu banyak tindakan kerajaan mereka dilakukan yang layak untuk disifatkan melanggar diplomasi antara kerajaan-kerajaan serta lebih senang dikatakan kurang ajar.

China menceroboh masuk ke negara kita, Indonesia dan Jepun sepanjang beberapa bulan lepas, sehingga memerlukan campur tangan beberapa kuasa luar untuk menstabilkan kembali gerakan agresif China.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Insiden yang terbaru pula melibatkan India. Tahukah anda apa yang sedang berlaku di India ketika ini?

Pergelutan berkenaan sempadan negara

ladakh pergaduhan 2012

Jika negara Asia Tenggara terpaksa bergelut dengan tuntutan China di kawasan perairan Laut China Selatan, India pula sejak berdekad lamanya bertelagah dengan China dalam isu kawasan yang dinamakan Aksai Chin atau Ladakh serta sebuah lagi kawasan yang dinamakan Arunachal Pradesh.

Dalam konflik sempadan ini, kerajaan China percaya Aksai Chin sepatutnya diletakkan di bawah penguasaan wilayah autonomi XInjiang.

Arunachal Pradesh pula menjadi perebutan tiga negara, iaitu China, Taiwan dan juga India disebabkan oleh campur tangan Britain di India, yang memperkenalkan garisan sempadan yang kini dinamakan sebagai 'Garisan McMahon.'

Garisan itu yang dilukis pada tahun 1914 atas persetujuan wakil British India dan kerajaan Tibet, diterima oleh kerajaan India sekarang sebagai garis sempadan China dan India yang sah.

Bagaimanapun perjanjian yang dicapai lama dahulu tidak dianggap sah oleh China, kerana China merasakan garisan itu dibentuk tanpa mendapat persetujuan daripada mereka.

Akibat daripada persengketaan ini, perang besar tercetus di antara India dan China pada tahun 1962 serta beberapa lagi konflik lebih kecil yang berlaku pada tahun 1967. 1987 dan 2017. Kempen ini kembali hangat dalam tahun 2020, selepas China didakwa menceroboh masuk dan merampas tanah India baru-baru ini.

Usaha menguasai titik penting sempadan

ladakh sempadan india china

Semenjak insiden tahun 2017 yang berlaku selama beberapa bulan sehingga mengakibatkan kecederaan pada petugas kedua-dua negara, tidak ada konflik timbul di kawasan-kawasan yang menjadi rebutan.

Bermula daripada pertengahan bulan Mei tahun 2020, kedua-dua negara dikatakan memperbanyakkan aktiviti rondaan melibatkan kawasan Pangong Tso, di mana garis sempadan India dan China bertembung.

Pangong Tso didakwa merupakan sebuah lokasi penting kerana mampu menjadi salah satu pintu masuk utama, seandainya China benar-benar ingin menceroboh masuk India.

Sejak tahun 1999, China dilaporkan telah mula membina jalan bagi memudahkan perhubungan, menghubungkan garis sempadan tersebut dengan jajahan mereka.

Beberapa lokasi penting titik sempadan yang dibahagikan kepada titik 1 hingga 8, dibahagikan mengikut kedudukan negara masing-masing. Aktiviti rondaan yang dijalankan melibatkan anggota petugas kedua-dua negara seringkali menemukan mereka secara bersemuka.

Setakat ini, situasi masih terkawal tetapi mesej bercampur baur dari India seakan menyembunyikan kondisi sebenar di sana.

Peperangan menggunakan batu dan kayu

sempadan india china

Pertemuan tentera China dan India di salah satu titik sempadan pada 30 Mei 2020, memulakan pertempuran antara kedua-duanya.

Bagaimanapun, disebabkan oleh undang-undang antarabangsa, tiada nyawa terkorban kerana kedua-dua kumpulan terpaksa mematuhi syarat ketetapan konflik sempadan tidak boleh membawa senjata api.

Sebaliknya askar kedua-dua negara bertempur menggunakan batu dan batang kayu. Macam lucu pula bunyinya. Dalam konflik tersebut, kedua-dua pihak cedera namun kecederaan pada pihak India lebih teruk.

Bagi menyelesaikan masalah yang melanda, China dan India bersetuju untuk bertemu pada 6 Jun 2020, atas permintaan India.

Hasil pertemuan itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi serta Presiden China, Xi Jinping bersepakat bahawa perbezaan pandangan antara kedua-dua negara tidak seharusnya dilihat akan membawa kepada konflik lebih besar.

Penyokong kuat Narendra Modi menyifatkan kejayaan mencapai persetujuan itu, sebagai satu kemenangan besar buat kerajaan India - kerana apa yang dilakukan China sejak bulan Mei lebih mirip kepada pencerobohan sebenar kerajaan negara lain.

Konflik sepanjang bulan Mei tahun 2020

tentera india china bertembung di titik sempadan

Sebelum konflik kecil ini memuncak pada 30 Mei 2020 sehingga mengakibatkan pertemuan pemimpin kedua-dua negara, China sudah menjalankan gerakan besar-besaran menghantar anggaran 5,000 ke 10,000 tentera mereka ke kawasan dituntut.

Ekoran daripada pergerakan besar-besaran ini, laluan yang selama ini digunakan tentera India mula diambil alih China menyebabkan beberapa titik penting sempadan jatuh ke kawalan tentera China sepenuhnya.

Apa yang mengelirukan, kejadian ini tidak disahkan secara rasmi berlaku oleh kerajaan India. Sebaliknya kenyataan rasmi mereka seakan bermain dengan persepsi, menafi tidak, mengiyakan tidak mengakibatkan warga India sendiri tertanya-tanya benarkah dakwaan China sudah merampas sebahagian kawasan sempadan dari India?

Mesej bercampur-campur nyata menyukarkan kita untuk memahami apa tindakan India selanjutnya. Modi secara rasmi masih mengamalkan perbincangan diplomatik.

Namun Amit Shah, Menteri Dalam Negeri India pula memberikan amaran keras kepada mana-mana pihak agar jangan menjolok sarang tebuan apabila melibatkan isu sempadan negara mereka - tanpa menyebut nama China secara terus-terang.

Usaha Amerika Syarikat dan Russia cuba campur tangan menawarkan diri menjadi orang tengah dalam rundingan kedua-dua pihak, mendapat tentangan China yang menasihatkan India agar tidak melibatkan pihak ketiga dalam urusan di antara kedua-dua negara.

Rujukan

In Ladakh India appears to have given up the military option




Hakcipta iluminasi.com (2017)