xi jinping kim jong un kerjasama

China pada ketika ini bersempadan dengan 14 buah negara berbeza. Banyak kan? Itu adalah disebabkan oleh saiz keluasan negara itu yang terlalu besar.

Bagaimanapun, tahukah anda walaupun berkongsi sempadan dengan 14 buah negara, China sehingga kini sedang melakukan tuntutan ke atas 23 sempadan negara berbeza - termasuklah di negara kita.

Kita sudah tahu perangai China apabila melibatkan Laut China Selatan dan negara Asia Tenggara lain. Pernahkah anda membaca tentang beberapa tuntutan lain yang melibatkan China yang masih diusahakan, sama ada secara halus atau terbuka?

1. Koridor Wakhan, Afghanistan

koridor wakhan afghanistan

Pada bulan November tahun 1963, kerajaan Afghanistan dan China selamat memeterai perjanjian sempadan antara kedua-dua negara, memaksa China akur dengan garis sempadan tanpa boleh lagi melakukan tuntutan ke atas Afghanistan.

Sempadan yang dibuat semasa perang politik di antara British dan Empayar Russia mewujudkan satu ruangan penampan selebar 75 km, yang dikenali sebagai Koridor Wakhan membahagikan jajahan Empayar Russia dan British dengan Afghanistan menjadi mangsa terjerat ditengah-tengahnya.

Koridor Wakhan pada zaman dahulu sebenarnya merupakan satu titik penting dalam sejarah China semasa era kegemilangan Jalan Sutera, menjadi laluan darat utama ekonomi yang menghubungkan China dengan bahagian barat khasnya Turki dan Eropah.

Kini koridor itu menjadi sempadan yang menghubungkan empat negara iaitu China, Afghanistan, Tajikistan dan Pakistan, serta menjadi titik penting China mengawal pengaruh Russia. Disebabkan kekangan perjanjian tahun 1963 dengan Afghanistan, China mensasarkan Tajikistan sebagai sekutu rapat mereka dalam gagasan One Belt One Road.

Secara tak langsung mereka dapat menguasai semula laluan ekonomi penting yang ada sebelum ini, dengan pembinaan lebih 40 pusat kawalan sekuriti di bahagian sempadan milik Tajikistan, membolehkan kerajaan China dapat terus memantau kawasan yang percayai telah terlepas daripada tangan mereka.

2. Ladakh, India

sempadan india india

Tahukah anda, China masih menuntut dua buah wilayah di negara India?

Yang pertama adalah sebuah kawasan dinamakan oleh China sebagai Aksai Chin, sebuah kawasan seluas 38,000 meter persegi terletak di Jammu dan Kashmir - yang dikenali oleh India sebagai Ladakh.

Perbalahan berkenaan Aksai Chin/Ladakh bermula selepas garisan sempadan yang dibentuk pada tahun 1865, meletakkan Ladakh sebagai sebahagian daripada wilayah Kashmir. Selepas beberapa perubahan garis sempadan, India yang berjaya mencapai kemerdekaan pada tahun 1947 menamakan kawasan itu di bawah jajahan mereka.

Sementara itu China pula merasakan Aksai Chin sepatutnya diletak di bawah wilayah pemerintahan autonomi Xinjiang.

Bahagian Arunachal Pradesh juga menjadi satu lagi wilayah yang dituntut kedua-dua negara, dengan China melakukan tuntutan ke atas sebuah kawasan bernama Tawang, kerana mereka sejarah wilayah tersebut sepatutnya melayakkan kawasan itu menjadi sebahagian daripada Tibet, seterusnya  diletakkan di bawah pemerintahan mereka.

Tawang sangat penting bagi penganut agama Buddha kerana menempatkan tokong kedua terbesar agama tersebut di dunia, menyimpan beribu teks-teks lama agama tersebut serta terbina satu tugu Buddha setinggi 27 kaki sebagai mercu tandanya.

3. Pulau Senkaku, Jepun

pulau senkaku jepun china

Berdepan dengan gergasi ekonomi seperti Jepun tidak menghalang China untuk cuba melakukan tuntutan dengan menggunakan bukti sejarah.

China percaya kesemua pulau di kepulauan Ryukyu sepatutnya menjadi milik mereka selepas penyerahan gugusan pulau itu kepada Jepun, yang berlaku pada tahun 1895 - sepatutnya terbatal setelah Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua.

Kontroversi terbesar adalah melibatkan Pulau Senkaku, dinamakan semula oleh China sebagai Pulau Diaoyu dan dituntut sebagai milik mereka disebabkan oleh beberapa faktor.

Penemuan sumber minyak di situ, lokasinya yang strategik sebagai laluan kapal terkenal sebagai sumber perikanan yang besar menjadi punca utama kenapa pulau ini terus dipertikaikan haknya sehingga kini oleh China.

Tindakan kerajaan Jepun membeli tanah milik persendirian di pulau tersebut mendapat reaksi keras Beijing. Berang dengan reaksi Jepun, Beijing sejak tahun 2013 mula memantau pergerakan keluar masuk berdekatan pulau tersebut. Mereka meminta mana-mana pihak yang mahu menggunakan laluan udara dan air di situ melaporkannya kepada pihak mereka.

Pada ketika ini situasi di Pulau Senkaku masih terkawal, namun China semakin berani membawa masuk kapal milik mereka ke situ sementara Jepun pula memilih untuk memantau tanpa menimbulkan sebarang provokasi.

4. Primorye Krai, Russia

wilayah yang dituntut china

Kawasan besar di bahagian sempadan Russia dan China, dinamakan sebagai Primorye atau nama penuhnya Primorskiy Kray terletak pada penghujung bahagian tenggara negara tersebut, bersempadanan dengan wilayah Harbin di China.

China percaya mereka sebenarnya tuan punya sebahagian besar kawasan tersebut, disebabkan oleh perjanjian berat sebelah yang telah ditandatangani pada tahun 1860 semasa Konvensyen Peking - di antara pemerintahan Dinasti Qing ketika itu dengan Empayar Russia.

Pada awalnya, wilayah tersebut merupakan sebahagian daripada jajahan Manchuria dan ini menjadi hujah utama kenapa China merasakan kawasan itu patut dikembalikan kepada mereka.

Buat masa sekarang, hubungan di antara kedua-dua negara masih baik dengan kerjasama membuka laluan koridor yang dinamakan Primorye-1 dan 2, di mana pengeluar-pengeluar produk di China serta syarikat China yang beroperasi di Primorye boleh menggunakan laluan itu untuk mengeksport produk mereka.

Bagaimanapun, penganalisis juga berpendapat - taktik China mengeksport syarikat, kilang dan pekerja mereka masuk ke kawasan itu sekarang adalah untuk membolehkan mereka menghantar masuk askar mereka ke situ di masa depan - bagi tujuan 'melindungi aset negara' di Russia.

5. Pidansom, Korea Utara

sempadan china korea utara

Negara paling misteri dalam dunia Korea Utara turut sama menjadi mangsa tuntutan China. 

China dan Korea Utara berkongsi sempadan sepanjang 1,416 km dan kepentingan China kepada ekonomi Korea Utara tidak boleh dipertikaikan. China merupakan rakan dagang Korea Utara no. 1, jadi kedua-dua negara sedaya-upaya mengambil pendekatan tengah - tidak berusaha menimbulkan ketegangan, sebaliknya tetap cuba mengamalkan perkongsian sempadan sesama mereka dalam menangani konflik.

Isu tuntutan China melibatkan sebuah pulau bernama Pulau Pidan (nama Korea Utara 'Pidansom') atau Pulau Choduan Dao (nama asal oleh China).

Sejarah pulau ini pada awalnya diduduki oleh orang China sebelum pulau ini jatuh ke tangan Korea semasa era kolonisasi Jepun, yang pada ketika itu adalah sebahagian daripada jajahan Amerika Syarikat semasa perang dunia.

Selepas tamat perang Korea pada tahun 1953, kerajaan Korea Utara telah pun menawarkan pulau tersebut sebagai hadiah kepada China disebabkan oleh bantuan yang diberikan pasukan tentera sukarelawan rakyat China yang ada di situ kepada mereka.

Bagaimanapun, Korea Utara hanya berjanji, tetapi tidak menunaikannya.

Perancangan Korea Utara bagi menubuhkan wilayah Sindo di situ yang bakal menyatukan kesemua kawasan di bawah satu pemerintahan bermula pada penghujung era 60-an. Ini memaksa rakyat China yang selama ini menunggu kawasan mereka dikembalikan kepada Beijing, terpaksa dipindahkan keluar kerajaan China.

Tindakan Korea Utara ini dianggap Beijing sebagai melanggar perjanjian sempadan yang sepatutnya dikongsi bersama-sama. Wilayah Sindo selamat diisytiharkan pembukaannya pada tahun 1991 dan kerjasama kedua-dua negara dalam penggunaan sempadan itu untuk kegiatan ekonomi dimeterai pada tahun 2011 - mengelakkan konflik lebih panjang berlarutan, buat masa sekarang.



Hakcipta iluminasi.com (2017)