Cuba anda bayangkan di depan anda:

Kelihatan sekumpulan pekerja asing dari Bangladesh dengan pakaian lusuh bekerja dalam bidang pembinaan dan ada sekumpulan lagi warga pekerja dari Eropah, bekerja dalam bidang pengurusan.

Yang mana satu akan anda labelkan sebagai migran dan yang mana ekspatriat? Kami yakin ramai akan menyatakan pekerja Bangladesh itu migran dan pekerja Eropah itu 'expat' atau dalam bahasa kita ekspatriat. Tahukah anda persepsi ini salah?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ini kerana terma 'migran' atau 'imigran' (kedua-duanya diterima untuk digunapakai) dan 'ekspatriat' sering digunakan secara bergantian dalam perbualan harian, yang menyebabkan salah faham di kalangan kita tentang makna sebenar mereka.

Jadi apa kegunaannya yang sebenar?

Fahamkan maknanya dari perspektif bahasa

penggunaan istilah ekspat migran

Seorang imigran dari aspek linguistiknya adalah seseorang yang berpindah ke negara lain dengan niat untuk tinggal di sana secara kekal; berasal dari perkataan Latin ‘immigrare’, yang bermaksud ‘masuk ke’.

Ini selari dengan definisi Kamus Dewan yang menyifatkan imigran adalah orang yg masuk ke negeri asing utk menetap.

Dalam sudut berbeza, seorang ekspatriat yang sering kita singkatkan sebagai ‘ekspat’, adalah seseorang yang tinggal di luar negara asalnya tetapi atas tujuan tertentu tanpa ada perancangan untuk menetap di sana secara kekal.

Terma ini berasal dari perkataan Latin ‘ex’, yang bermaksud ‘keluar dari’, dan ‘patria’, yang bermaksud ‘negara’.

Nak mudahkan cerita, dalam contoh yang kami berikan di atas - kedua-dua golongan pekerja baik dari Bangladesh mahupun Eropah layak dikategorikan dalam kategori sama iaitu ekspatriat.

Salasilah sejarah yang mengkorupkan maknanya

ketibaan ekspatriat luar

Daripada aspek sejarah, terma ‘imigran’ sudah lama digunakan untuk menggambarkan individu yang berpindah ke negara lain mencari peluang ekonomi yang lebih baik atau untuk melarikan diri dari penganiayaan, tanpa mahu pulang ke negara kelahiran mereka.

‘Ekspatriat’ secara tradisional digunakan untuk merujuk kepada profesional atau pekerja mahir yang dihantar ke luar negara oleh syarikat atau agensi mereka untuk berkhidmat di negara asing dalam tempoh jangka waktu tertentu, sebelum pulang semula ke negara asal mereka.

Bagaimanapun akibat penggunaan kedua-duanya yang saling bercampur dalam era kontemporari, ramai kurang jelas dengan konteks sebenar makna kedua-dua.

Namun dari segi undang-undang atau akta sesebuah negara, isu ini sudah diperjelaskan sejelas mungkin.

‘Imigran’ akan digunakan dalam konteks undang-undang merujuk kepada individu yang telah berpindah secara kekal dan mempunyai status penduduk yang sah di negara baru mereka.

‘Ekspatriat’ pula bagaimanapun biasanya digunakan untuk merujuk konteks berkait bidang korporat, menyebabkan penggunaannya disalah anggap eksklusif hanya merujuk kepada pekerja kolar putih yang dihantar bertugas di negara asing.

Sedangkan seorang ekspat memang sejak mula merancang untuk pulang ke negara asal dan tidak mencari status penduduk tetap di negara tuan rumah.

Salah faham yang menjadi stereotaip

ekspat atau migran

Kesalahfahaman yang timbul akibat kekeliruan kita sendiri menyebabkan akhirnya terma yang asalnya bersifat sangat khusus ini, digunakan bagi menggambarkan status sosioekonomi atau negara asal individu.

Seorang profesional yang sangat mahir dan datang daripada negara maju atau membangun, mempunyai gaji besar serta berkhidmat dalam peringkat korporat atau pentadbiran diberi label sebagai ‘ekspatriat’.

Manakala pekerja yang kurang mahir, bekerja dalam sektor 3D atau sektor kotor, bahaya dan sukar, datang daripada negara mundur atau kurang membangun digelarkan sebagai ‘imigran’.

Akhirnya kini kita memandang tinggi seorang ekspat berbanding seorang migran. Walhal kekeliruan ini adalah sesuatu yang harus kita betulkan.

Memang sukar untuk membetulkan persepsi kita apatah lagi sekiranya ramai di antara ahli masyarakat kita pun turut sama berkongsi salah tanggapan serupa, berkenaan penggunaan ekspatriat dan imigran.

Selepas ini penulis harap setiap kali anda nampak kumpulan pendatang asing yang bekerja dalam bidang pembinaan, perkhidmatan dan sebagainya; tanam dalam kepala anda mereka adalah kumpulan ekspatriat...

Selagi mana mereka tidak ada rancangan mahu tinggal kekal di Malaysia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)