Oleh pada 31 Jul 2021 kategori

Bagi rakyat Malaysia yang gemar mengikuti gosip netizen - nama Caprice vokalis rap sering disebut.

Rajin bersuara membincangkan apa saja isu sehingga kadangkala dirinya sendiri terpalit kontroversi, jentikan dan teguran yang dibuat anak muda ini mampu mendapat reaksi banyak pihak baik dari kalangan orang ramai, selebriti serta tokoh negara kita.

Dalam kehangatan isu berkait beliau, istilah 'topi beras' muncul menjadi sebutan pihak yang sengaja menterjemahkan nama vokalis tersebut secara terus atau sebagai sindiran. Terjemahan itu memang lucu bunyinya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jadi kami ajukan satu soalan serius kepada anda; apakah makna sebenar 'caprice'? Anda tahu?

Dari mana datang perkataan 'Caprice'?

buat keputusan pilihan tanpa berfikir caprice

'Caprice' (disebut kuh-prees) bukanlah bermaksud 'topi beras' atau 'topi nasi'.

Mungkin jika diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu mengikut bait struktur istilahnya, begitulah maknanya tetapi istilah 'caprice' bukanlah istilah bahasa Inggeris asal.

'Caprice' dari segi versi dan penggunaannya yang ada sekarang ini merupakan satu istilah pinjaman dari bahasa Itali 'capriccio,' yang membawa makna perasaan atau emosi yang berlaku atau berubah secara tiba-tiba dan spontan.

Orang Perancis meminjam istilah ini untuk digunakan, meringkaskan ejaannya berdasarkan struktur tulisan mereka kepada 'caprice' sambil mengekalkan maksudnya.

Sekitar tahun 1660, orang Inggeris akhirnya meminjam istilah dari Perancis untuk dijadikan istilah rasmi, mengekalkan ejaan orang Perancis tetapi memperhaluskan lagi makna penggunaannya.

Istilah 'caprice' yang direkodkan dalam daftar kata bahasa Inggeris membawa makna :

'Sesuatu perubahan emosi yang berlaku secara spontan atau tiba-tiba, tanpa mempunyai sebarang motif jelas.' 

Inilah istilah dan makna yang diguna pakai sekarang.

Dalam bahasa Inggeris, perkataan sinonim yang sama maksudnya dengan caprice adalah whim. Kedua-duanya menggambarkan tindakan seseorang yang bertindak tanpa perancangan.

Dalam teori gubahan muzik, mana-mana komposisi melodi yang dihasilkan secara spontan serta mempunyai sifat yang laju, kuat dan rawak dimainkan mengikut jiwa pemainnya ketika itu, dikategorikan sebagai sebuah komposisi 'caprice'.

Senang cerita apa saja yang terhambur keluar spontan dari hati baik dalam bentuk kelakuan, emosi, percakapan, melodi dan sebagainya mempunyai ciri-ciri 'caprice.' 

Dalam bahasa kita, istilah paling dekat rasanya pada pandangan penulis adalah 'suka bertindak melulu' atau 'suka bertindak membabi buta.'

Sesuai ke pada anda?

Ini kerana istilah 'caprice' tidak didaftarkan secara rasmi sebagai salah satu istilah perbendaharaan bahasa kita dan tidak ada istilah ganti satu perkataan yang wujud, mampu menggantikannya dalam bahasa Melayu.

'Caprice' sebagai jenama produk

produk jenama caprice

Dari segi penggunaan kata nama, istilah 'caprice' diletakkan dalam kategori istilah bersifat maskulin.

Istilah ini mampu mewakili perubahan emosi yang agak ekstrim; seseorang yang tiba-tiba mengamuk atau mengalami 'tantrum' boleh dirujuk sebagai seseorang sedang mengalami 'caprice.'

Disebabkan bunyinya yang agak liar dan mudah disebut, istilah 'caprice' kerap dipilih untuk digunakan sebagai jenama.

Jenama automobil Amerika Syarikat, Chevrolet memasarkan sebuah kereta sedan di bawah siri Chevrolet Caprice sejak tahun 1965 sehinggalah ditamatkan pada tahun 2017. 'Caprice' juga merupakan sebuah jenama kasut wanita terkenal dari Jerman yang boleh didapati di negara kita.

Harganya sepasang? Seorang suami pasti akan 'caprice' kalau isteri 'ter-caprice' beli sepasang.

Selain itu, Caprice juga merupakan sebuah jenama wafer sebuah pengeluar makanan dari Greece bernama Papadopoulous, yang memasarkan wafer Caprice berisi coklat. Satu tin wafer ini mampu dijual sehingga RM85 oleh pengimport tempatan.

Dengan harga setinggi itu, sukar untuk penulis ter-caprice membelinya.

Spesis kambing Caprice

kambing capra itali

Beberapa pendapat tidak rasmi menyebut istilah dan makna 'caprice' sebenarnya datang daripada istilah Latin 'capreolus' yang membawa makna kambing liar.

Bagi mereka yang memegang pendapat ini, 'capreolus' wujud hasil gabungan dua istilah berbeza iaitu 'capo' merujuk kepada kepala dan 'riccio' merujuk kepada bentuk lengkung, dikatakan menyerupai tanduk kambing.

Dalam istilah sains, penyelidik mengekalkan penggunaan istilah ini tetapi diringkaskan kepada 'capra', bagi merujuk genus kambing liar yang tinggal di Itali serta beberapa negara Eropah lain.

Pendapat tidak rasmi ini mengaitkan perangai dan sifat kambing bertanduk lengkung yang suka meloncat ke sana ke mari tidak tentu arah, akhirnya digunakan bagi menggambarkan sifat seorang manusia yang gemar bertindak secara spontan tanpa berfikir...sama seperti kambing.

caprice keju kambing itali

Oleh kerana popular di Itali bagi merujuk kambing, 'caprice' turut digunakan bagi merujuk sejenis keju tradisional masyarakat mereka iaitu keju caprice yang diperbuat dari susu kambing, berpandukan resipi turun temurun orang Itali.

Begitulah bagaimana penggunaan bahasa dan dialek mampu memperkembangkan makna dan penggunaan satu perkataan. Sama ada benar atau tidak pendapat ini, kita belum tahu tetapi hubungannya ada secara hipotesis.

Versatilkan istilah 'caprice' ni?

topi beras caprice

Sama ada merujuk kepada penyanyi rap, wafer, kambing, emosi, gubahan lagu dan sebagainya, jelas wujud banyak makna dari satu istilah 'caprice' sahaja.

Dengan artikel ini kami sudah membuktikan secara akademik bahawa makna 'caprice' bukanlah topi beras atau topi nasi.

Kami harap penjelasan ini dapat mencerahkan kepada anda yang belum tahu apakah makna sebenar istilah 'caprice.' 

Walaupun tidak layak digunakan untuk urusann rasmi, tak salah kalau kita guna istilah 'caprice' sebagai slanga harian kita kan?

Kami tinggalkan anda semua dengan pesanan: janganlah selalu sangat ter-caprice. Fikir dulu sebelum melakukan sesuatu. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.

Susah nak kembali ke pangkal jalan kalau dah terlalu mengikutkan caprice. Kurangkan caprice, tingkatkan produktiviti dan paling penting jangan suka caprice-kan orang lain.




Hakcipta iluminasi.com (2017)