Sekiranya anda melihat pola perubahan jumlah jangkitan dan kematian yang disebabkan oleh Covid-19 sepanjang beberapa minggu lepas, pasti anda akan menyedari satu perubahan ketara.
Entah apa yang terjadi dengan tak semena-mena negara Brazil mula mencatatkan peningkatan mendadak, sehingga pada waktu artikel ini ditulis - Brazil kini dikedudukan nombor 2 dalam senarai dunia daripada jumlah kes dan ketiga tertinggi dunia dari segi kematian.
BESARKAN TEKS A- A+
Kenapa ini berlaku? Apa yang telah terjadi di Brazil?
Kegagalan sistem politik
Sebagai sebuah negara, Brazil sejak mula berdepan dengan satu situasi yang diramal bakal meruncing - disebabkan oleh kegilaan pemimpin kerajaan mereka, khasnya Presiden negara itu sendiri Jair Bolsonaro.
Pada 25 Mac 2020, Bolsonaro secara berseloroh memperbodohkan usaha beberapa negeri di Brazil iaitu Sao Paolo dan Rio de Janeiro yang memperkenalkan kawalan pergerakan melalui arahan majlis perbandaran dan kerajaan negeri.
Bagi Bolsonaro, tindakan memperkenalkan kawalan hanya akan menyebabkan kesan buruk lebih besar ke atas ekonomi negara itu.
Apa yang lebih menyakitkan hati - Bolsonaro memainkan penyakit itu secara terbuka. Dia menyifatkan tidak ada apa yang perlu ditakuti sekiranya ada antara rakyat Brazil dijangkiti.
Bolsonaro berseloroh mengatakan jika dia dijangkiti, besar kemungkinan dia tidak akan merasai sebarang perubahan pada dirinya.
Pergelutan kuasa antara Presiden dan Menteri Kesihatan
Disebabkan oleh perbezaan pendapat dalam cara menangani pandemik yang melanda, Bolsonaro dilaporkan mula berhadapan dengan konflik dengan Menteri Kesihatan Brazil, Luiz Henrique Mandetta.
Seorang pakar ortopedik, Mandetta dipecat pada 16 April 2020 disebabkan percanggahan kedua-dua pihak dalam mewartakan polisi kawalan pergerakan di kalangan warga Brazil.
Mandetta mencadangkan agar kawalan pergerakan dilaksana di peringkat nasional, serta menggesa agar semua rakyat Brazil berkurung di rumah.
Dalam sebuah temuramah bersama media sebelum dipecat, Mandetta dilaporkan menggesa agar semua pihak di Brazil khasnya pihak kerajaan untuk memberikan kerjasama terhadap semua usaha Kementerian Kesihatan negara itu.
Selain itu, Mandetta juga menyatakan terbuka kepada mana-mana kerajaan tempatan yang sudah mengarahkan kawalan dilaksanakan - walaupun tidak mendapat arahan kerajaan pusat.
Pandangan yang diutarakan dikatakan sebenarnya kritikan terselindung yang ditujukan ke arah Bolsonaro dan Bolsonaro tidak menunggu lama untuk menumbangkan musuhnya.
Seorang yang popular di kalangan warga Brazil, pemecatan Mandetta mendapat reaksi buruk daripada orang ramai yang merasakan apa yang telah terjadi tidak patut berlaku.
Apatah lagi ketika dunia sedang menghadapi virus dan Presiden Brazil masih berkelakuan seperti biasa, berjabat tangan ke sana ke mari setiap kali melakukan lawatan kerja - melanggar sendiri saranan Kementerian Kesihatan negara mereka.
Ego pemimpin yang mengakibatkan Brazil merana
Disebabkan oleh perbezaan pandangan antara kerajaan Brazil dan kajian sains yang membuktikan berkurung di rumah adalah langkah terbaik mencegah penyebaran virus, rakyat Brazil sendiri berbelah bahagi.
Pada bulan April, muncul laporan-laporan yang menyifatkan keengganan warga Brazil untuk secara sukarela mengurung diri di rumah, kedua paling teruk di benua Amerika Latin selepas Mexico - walaupun dianggarkan kemuncak jangkitan di negara itu hanya akan berlaku pada bulan Mei.
Walau demikian, kerajaan Mexico telah mula memperkenalkan bentuk-bentuk kawalan terhad seperti penutupan pejabat dan sekolah bermula 2 April, hanya membenarkan pembukaan lokasi asas seperti pasaraya dan farmasi dibenarkan.
Kerajaan Brazil bagaimanapun terus berdegil dan kekeliruan mesej di antara kerajaan pusat dan pesanan Kementerian Kesihatan mereka, menyebabkan tidak ada penyatuan dalam gerak kerja membasmi wabak di negara itu dapat dilakukan dengan berkesan.
Dua bulan kemudian
Apa yang dapat anda baca tentang Brazil ketika ini sebagai antara negara paling terjejas teruk disebabkan pandemik, adalah hasil kegagalan negara itu dalam bersatu suara melawan virus.
Disebabkan peningkatan kes yang mendadak, bermula pertengahan bulan Mei banyak penyelidik mula menyuarakan kebimbangan adakah Brazil akan mengambil alih takhta Covid-19 daripada Amerika Syarikat, kerana sehingga kini - Presiden Brazil masih keras mempertahankan pandangan peribadinya, menolak hujah dan fakta saintifik.
Bagi penduduk Sao Paolo yang telah menjalani kuarantin selama 2 bulan, dilaporkan akan membuka kembali aktiviti bandar mereka secara beransur-ansur bagi memulihkan kembali ekonomi yang terjejas.
Bagaimana pula dengan kerajaan Brazil di bawah pimpinan Jair Bolsonaro?
Tetap angkuh mempertahankan kuasa
Pada 6 Jun 2020, Bolsonaro mengumumkan kemungkinan untuk menarik balik penyertaan Brazil daripada Badan Kesihatan Sedunia, selepas merasakan WHO banyak mencampuri urusan Brazil dalam isu arahan kerajaan melibatkan peraturan kuarantin.
Bagi menyelamatkan reputasinya, Bolsonaro juga mengumumkan kerajaan Brazil selepas ini hanya akan melaporkan angka berkaitan kes dan kematian Covid-19 yang berlaku dalam 24 jam, berbeza dengan negara lain yang melaporkan secara kumulatif.
Bolsonaro merasakan laporan jumlah kumulatif yang dihebohkan tidak menceritakan realiti sebenar apa yang dia saksikan sendiri di Brazil.
Tindakan ini walaupun dikecam banyak pihak, khasnya pengkritik kerajaan Brazil di bawah pimpinan Bolsonaro; bukanlah sesuatu aneh untuk beliau. Sejak mula lagi, Bolsonaro dilihat akan bertindak sedaya upaya mempertahankan kuasa yang dipegangnya.
Walaupun ribuan nyawa di Brazil akan terkorban, hanya disebabkan keangkuhan dan keegoan dirinya.