Di antara kebanyakan negara yang menjalankan perintah kawalan pergerakan atau perintah darurat, Kenya merupakan antara negara yang paling ketat menjalankan perintah tersebut.

Kami sudah menceritakan kepada anda secara ringkas bagaimana kerajaan Kenya menerusi polis dan askar mereka, menggunakan bom pemedih mata serta peluru getah bagi meleraikan penduduk yang masih degil berhimpun.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Langkah itu masih belum cukup untuk mengendurkan kedegilan - jadi seorang lelaki bernama Mbuzi Seller mengorak langkah mengaktifkan senjata utama mereka yang cukup digeruni; menjadikan puak etnik Maasai yang misteri dan menjadi igauan ngeri masyarakat mereka topik utama dalam video ciptaannya.

Siapa orang Maasai?

puak maasai mewarnakan kulit merah

Kumpulan orang Maasai yang tinggal di bahagian selatan Kenya serta utara Tanzania merupakan sebuah kumpulan orang asal yang masih lagi menjalankan hidup secara nomad, dalam hutan-hutan di sana sehingga ke hari ini.

Sudah terdedah kepada arus kemodenan, masih banyak adat resam mereka seakan tidak dapat dilupakan - walaupun kerajaan Kenya sebenarnya sudah berbuih mulut mengajak mereka meninggalkan cara hidup mereka.

Walaupun menolak kemodenan, bilangan orang Maasai di Kenya telah mengalami pertumbuhan mendadak dengan pertambahan hampir 3 kali ganda populasinya, dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini.

Hidup dengan cara nomad, satu-satunya harta atau benda yang paling disanjungi oleh masyarakat ini adalah haiwan lembu, sebagai ternakan mereka. Lembu menjadi simbol kepada ukuran nilai seseorang dalam puak Maasai serta dianggap bertuah, seandainya seseorang itu memiliki banyak ekor lembu.

Disebabkan oleh status lembu dalam masyarakat mereka yang tinggi - lembu pun memainkan peranan yang besar dalam hidup mereka.

Budaya meminum darah lembu segar

orang maasai pemburu singa

Orang Maasai mempunyai adat yang unik dan menakutkan - bagi mereka, meminum darah lembu merupakan salah satu ritual keraian yang diamalkan mereka. Sama ada diminum secara segar, direbus terlebih dahulu atau dijadikan kuah hidangan; darah lembu merupakan antara diet utama orang Maasai.

Simbolik menyanjung lembu dapat dilihat dalam upacara khas orang Maasai. Darah lembu akan dijadikan sajian utama bagi meraikan perkahwinan yang berlangsung, amalan berkhatan kanak-kanak yang mereka amalkan dan juga meraikan keseronokan menimang cahaya mata.

Lembu yang terpilih akan ditebuk di bahagian lehernya, agar membolehkan darah yang keluar ditadah tanpa membunuhnya.

Oleh kerana lembu dilihat sebagai warisan yang perlu dipelihara sebaik mungkin, mana-mana warga tua Maasai yang merasakan dirinya sudah terlalu uzur akan memastikan lembu yang ada dijaga dalam keluarganya - akan mewasiatkan penjagaan lembu-lembu itu pada anak lelaki sulungnya.

Anak lelaki sulung itu pula akan diberikan tanggungjawab membahagikan lembu-lembu itu kepada adik-beradiknya - seterusnya naik menjadi ketua keluarga, bagi menggantikan ayahnya.

Digeruni masyarakat setempat dan singa

maasai singa kenya

Lelaki dalam puak Maasai sepanjang hidupnya, selain daripada bertanggungjawab menjaga haiwan ternakan - turut sama ditugaskan memburu. Sejak kecil mereka akan diajar untuk pergi berburu, dibekalkan dengan semua ilmu pengetahuan yang ada agar dapat berburu dengan berjaya serta melindungi diri mereka.

Ini kerana pantang-larang orang Maasai memerlukan mereka memburu singa secara berdepan-depan. Singa tidak boleh diburu senyap-senyap, sebaliknya singa perlu diberitahu yang mereka sedang diburu orang Maasai.

Pantang-larang ini mewajibkan semua lelaki Maasai mempersiapkan diri bagi melawan singa yang diburu, kerana bagi mereka hanya lelaki Maasai sebenar berani berdepan dengan seekor singa - lalu menaklukinya.

Puak Maasai memburu singa atas kepercayaan mereka bahawa ritual itu perlu dijalankan bagi mempersiapkan diri seorang lelaki yang bakal menjadi dewasa. Bangkai singa yang berjaya dibunuh akan dibiarkan, dengan hanya kuku, ekor dan 'rambut' singa itu akan diambil.

maasai warrior and lion

Kukunya akan dijadikan rantai perhiasan yang akan dipakai lelaki yang berjaya menawan singa itu. Rambut itu pula akan digunakan bagi membuat sebuah mahkota yang akan dipakai pahlawan paling kuat dalam puak mereka.

Ekor singa pula akan dijadikan salah satu peralatan dalam ritual pengisytiharan bermulanya era dewasa bagi kumpulan lelaki, yang telah berjaya memenuhi syarat untuk menjadi dewasa.

Disebabkan oleh adat resam mereka inilah, orang Maasai yang hanya merangkumi sekitar 1 ke 2% daripada keseluruhan masyarakat Kenya - mempunyai aura yang mistik serta digeruni, kerana lelaki Maasai semuanya dilatih untuk menjadi pahlawan yang tegas dan garang sejak kecil, tidak takut pada sesiapa.

Mistik orang Maasai dijadikan video teladan

orang maasai kenya

Berikutan keengganan orang Kenya mematuhi perintah kawalan pergerakan sempena Covid-19, yang diwartakan di negara mereka - seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Mbuzi Seller menerbitkan satu video di halaman Youtube, pada 2 April 2020.

Video itu yang memaparkan 'seorang lelaki Maasai' bertindak menyerang penduduk Kenya yang masih bersiar-siar dengan sebat - menjadi tular, sehingga banyak pihak menganggap bahawa video itu benar berlaku.

Pihak-pihak yang tidak tahu kesahihannya mula melaporkan bahawa disebabkan kedegilan masyarakat Kenya, kerajaan Kenya telah mula menggunakan khidmat orang Maasai bagi menghalau penduduk pulang ke rumah masing-masing.

Watak lelaki Maasai yang dimainkan dalam video itu sebenarnya bukanlah seorang lelaki daripada puak tersebut, sebaliknya hanyalah seorang lelaki Kenya biasa yang berpakaian ala puak Maasai. Itu tidak menghalang pihak media daripada mula melaporkan bahawa 'tindakan drastik' itu diambil kerajaan memandangkan arahan masih diingkari.

Berdasarkan kepada video yang tular dan diambil semasa perintah kawalan dilaksanakan, masih ramai yang dilihat enggan mematuhi kawalan sebaliknya terus hidup seperti biasa.

Kreatif juga orang Kenya menggunakan elemen-elemen masyarakat setempat mereka, dalam mendidik orang ramai tentang pentingnya menjarakkan diri dan mengelakkan tempat awam. Malangnya - ramai yang tersalah sangka, menganggap perkara itu benar-benar berlaku seperti yang didakwa.

Rujukan

Maasai Association




Hakcipta iluminasi.com (2017)