Oleh pada 26 Jun 2018 kategori

Di seluruh dunia ketika, orang ramai sedang meraikan temasya bola sepak terbesar dunia yang hanya berlangsung empat tahun sekali namun di Brazil, kajian menyatakan lebih separuh rakyat mereka tidak berminat untuk mengikuti Piala Dunia kali ini.

Bergelar negara yang 'gila bola' serta diletak sebagai pasukan pilihan, peminat-peminat bola sepak Brazil rata-ratanya boleh dikatakan kurang berminat menyatakan sokongan mereka. Kebiasaannya, warna kuning yang menjadi tradisi mereka dapat dilihat di mana-mana dengan pemasangan bendera di rumah, tempat awam dan kenderaan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Individu-individu akan berpakaian jersi kuning kebangaan mereka, namun 2018 berbeza sekali suasananya.

Latar belakang politik yang tidak menentu

tunjuk perasaan di brazil

Beberapa tahun kebelakangan ini, Brazil berada dalam keadaan terumbang-ambing. Skandal korupsi melanda negara mereka. Bekas presiden Brazil, Luiz Inácio da Silva dipenjarakan 12 tahun dalam tuduhan yang dikatakan bermotifkan politik. Presiden ketika ini, Michel Temer pula hanya mendapat 3 peratus tahap kepercayaan orang ramai.

Insiden keganasan semakin berleluasa, pengangguran mencapai tahap 13 peratus - tertinggi dalam tempoh 20 tahun, harga makanan dan minyak petrol melambung naik. Bantahan dan tunjuk perasaan akibat harga petrol menyebabkan sistem masyarakat Brazil gagal berfungsi. Sukar bagi warga Brazil menyaksikan Piala Dunia dalam keadaan sedemikian.

Malangnya, bukan setakat politik sahaja yang bergolak. Persatuan bola sepak mereka Confederação Brasileira de Futebol (CBF) turut sama berdepan skandal korupsi. Presiden CBF, Marco Polo Del Nero dihukum gantung seumur hidup serta denda RM4 juta ringgit dalam kes salahguna kuasa, pada bulan April 2018.

Langkah CBF memfokuskan permainan persahabatan Brazil diadakan di luar negara membuka jurang di antara peminat dan pasukan. Tuduhan yang pasukan kebangsaan Brazil kini hanya menjadi satu alat menjana keuntungan semakin lantang disuarakan orang ramai.

Berikutan pilihanraya yang bakal diadakan pada awal Oktober 2018 kelak, agenda salah seorang calon Presiden mereka Jair Bolosnaro membawa kempen bersifat nasionalis mempengaruhi masyarakat dan persepsi orang ramai yang bendera Brazil dan semangat negara kini mirip dengan pendapat kelompok konservatif.

Polarisasi warna dalam masyarakat

anak beranak penyokong brazil

Masyarakat Brazil pada ketika ini berpecah belah kepada beberapa kelompok besar mengikut pandangan politik mereka. Golongan berhaluan kiri Brazil mengkritik tahap pemikiran penunjuk perasaan yang dikatakan rendah kerana menyokong gerakan mendakwa Presiden mereka, Dilma Rousseff pada tahun 2015 yang naik selepas Luiz Inácio da Silva memegang jawatan tersebut.

Dakwaan Dilma Rousseff melakukan jenayah semasa melaksanakan tugasnya, termasuklah dakwaan tidak melakukan tindakan sepatutnya terhadap banyak tuduhan penyelewengan yang dihadapi badan-badan kerajaan bawah pimpinan. Roussef dilucutkan jawatan sebagai Presiden pada 17 April 2016 lalu MIchel Temer naik menggantikan beliau.

Golongan penyokong berhaluan kanan yang mahu Rousseff diturunkan kerap membawa agenda nasionalis serta memakai jersi kuning Brazil semasa menunjuk perasaan. Ini menyebabkan jersi kuning itu mula digunapakai sebagai satu simbol politik di Brazil sehingga menyebabkan puak-puak yang tidak bersetuju dengan golongan nasionalis, mengambil langkah memboikot pemakaian warna tersebut.

Jualan jersi kedua dan ketiga Brazil yang berwarna biru dan hijau menjadi pilihan orang ramai. Jersi-jersi parodi yang dihasilkan orang ramai bagi menggambarkan sentimen politik mereka juga menjadi semakin popular dengan salah satunya jersi berwarna merah dengan bahagian di mana sepatutnya logo Nike dipamerkan, digantikan dengan simbol popular gerakan komunis, tukul dan sabit.

Sukan sebagai alat pemisahan masyarakat?

tunjuk perasaan bantah fifa

Politik dan bola sepak Brazil memang tidak dapat dipisahkan namun era sebelum ini tidak pernah mengganggu gugat sokongan orang Brazil kepada pasukan kebangsaan mereka. Semasa tahun 70-an ketika Brazil diperintah rejim tentera sekalipun, bola sepak tetap menjadi alat perpaduan masyarakat mereka apatah lagi selepas Brazil memenangi Piala Dunia ketika itu.

Era 80-an menyaksikan Socrates muncul sebagai salah seorang pemain Brazil paling popular yang tidak takut untuk berbincang tentang perihal politik masyarakat mereka. Masyarakat Brazil masih mengangkat bola sepak sebagai identiti mereka serta mampu bersatu.

Bagaimanapun, untuk edisi Piala Dunia 2018 dengan politik dijadikan senjata dalam meraih sokongan orang ramai serta warna jersi tradisi kini sudah tidak lagi mampu menyatukan suara sokongan penduduk Brazil, nampaknya tidak ada jalan lain bagi Neymar serta rakan-rakannya dalam menyatukan semula negara mereka yang sudah tidak dapat lagi membezakan politik dan sukan.

Hanya kemenangan pada perlawanan akhir dengan memakai jersi berwarna kuning mampu menjadi tonik merapatkan kembali sistem sosial Brazil yang berdepan pelbagai masalah.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel asal How Brazil’s famous yellow jersey lost its glow




Hakcipta iluminasi.com (2017)