polis india kostum dinosaur sepanyol spain

Kerajaan Malaysia berhadapan dengan kritikan pihak tertentu, selepas beberapa saranan yang diumumkan khasnya melibatkan wanita - menampakkan sisi kelemahan dalam cara kerajaan kita menguruskan perintah kawalan pergerakan.

Saranan agar golongan wanita meniru suara kartun Jepun popular dan juga beberapa ketidaktentuan dalam langkah atau peraturan yang diperkenalkan, sedikit sebanyak mencalarkan usaha kerajaan Malaysia - yang sebenarnya kita semua akui sedang bertungkus lumus membantu menangani masalah wabak.

Malangnya, kritikan yang dihamburkan pula ada kalanya layak dikatakan bersifat terlalu agresif, tidak berpadanan dengan kegelinciran yang berlaku. Itu masalah era media sosial agaknya.

Jika di negara kita, kita ada keunikan peraturan dan saranan PKP sendiri yang disokong atau ditentang - bagaimana pula dengan negara lain di seluruh dunia? Apa pula cerita mereka?

1. Kerajaan Belarus memandang rendah situasi wabak

liga bolasepak belarus

Di antara semua negara-negara dunia, Belarus adalah negara yang paling sennag lenang menghadapi wabak Covid-19; sehinggakan liga bola sepak mereka menjadi satu-satunya liga yang masih berlangsung setakat artikel ini ditulis di Eropah.

Mentaliti memandang ringan ancaman Covid-19 ini bukan saja menyusup di kalangan penyokong dan pemain bola sepak, bahkan sebenarnya kelihatan dalam segenap lapisan masyarakat mereka - berpunca daripada kerajaan mereka sendiri yang menganggap semuanya hanya reaksi berlebihan masyarakat luar terhadap wabak.

Presiden Belarus, Alexander Lukashenko tidak mengambil serius apa yang berlaku - menganggap ancaman wabak kali ini hanyalah ibarat penyakit yang biasa berlaku setiap hari. Tempat-tempat awam masih dibuka seperti biasa dan stadium masih boleh dikunjungi.

Bagi kerajaan Belarus, perintah darurat atau kawalan pergerakan merupakan sesuatu yang tidak perlu dilakukan. Mereka percaya wabak itu boleh dikawal, dengan menggunakan dasar merawat kes yang berlaku seperti kes-kes jangkitan biasa.

Oleh kerana kerajaan mereka sendiri mengambil langkah sebegitu, pihak hospital yang sedang berhadapan dengan 3,000 kes dan 29 kematian terpaksa bergantung kepada tajaan pihak swasta untuk mendapatkan kelengkapan. Tak tahu lah nak tepuk tangan atau nak simpati pada Belarus.

2. Sweden mengambil sikap terbuka

suasana di sweden lockdown

Seandainya Belarus langsung tidak mengendahkan wabak, Sweden memilih jalan selamat - membenarkan kehidupan normal berjalan dan cuba mengharapkan agar jangkitan Covid-19 berjaya dihapuskan dengan sistem 'imuniti berkelompok.'

Cadangan itu pernah diutarakan oleh kerajaan Britain pada bulan Mac tahun 2020 namun mendapat kritikan orang ramai, tetapi Sweden merupakan antara negara yang berpegang bahawa vaksinasi semula jadi ahli masyarakat yang berlaku seandainya semakin ramai dijangkiti - akan memberikan kesan positif tanpa perlu melaksanakan perintah kawalan.

Walaupun jurucakap kerajaan Sweden menafikan strategi itu yang diamalkan, pendekatan mereka menampakkan kecenderungan ke arah itu.

Sekolah rendah masih dibuka dan hanya perhimpunan melibatkan 50 orang atau lebih tidak dibenarkan. Warga tua berusia atas 70 tahun dinasihatkan untuk lebih banyak duduk di rumah.

Strategi yang digunakan oleh Sweden sebenarnya diambil berikutan rasa bimbang kesan kawalan atau darurat yang dilaksanakan, bakal menjejaskan ekonomi negara mereka. Kedudukan ekonomi Sweden yang tidak berkembang memaksa kerajaan Sweden mengambil pendekatan berbeza.

Malangnya, kaedah yang dilaksanakan Sweden agak kurang berkesan dengan lebih 10,000 kes dicatatkan membawa kepada hampir 1,000 kematian. Berlaku kenaikan bilangan penganggur pada minggu pertama bulan April, selepas banyak syarikat mengambil langkah berhati-hati dalam meneruskan operasi mereka, menutup syarikat dan mengambil langkah penjimatan kos.

3. India mengambil tindakan keras yang drastik

india lengang akibat darurat

Anda tahu apa yang berlaku di India?

Perdana Menteri India, Narendra Modi muncul di kaca televisyen pada 24 Mac 2020 jam 8 malam - mengumumkan bahawa seluruh negara India akan dikenakan di bawah perintah kawalan pergerakan, lebih mirip dengan darurat.

Semua individu tidak dibenarkan keluar rumah. Semua perniagaan dilarang beroperasi. Semua sistem pengangkutan awam diarahkan berhenti, tak kiralah pesawat, keretapi atau bas. Modi menasihatkan agar penjarakkan sosial dijadikan tabiat utama dan dia juga berjanji akan mengumumkan dana bantuan bagi membantu masyarakat yang terkesan di negara itu.

Bila perintah itu berkuatkuasa? Tepat jam 12 malam 25 Mac 2020.

Ini bermakna rakyat India hanya mempunyai 4 jam untuk mempersiapkan diri menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku. Dalam ucapan sama, Modi mengumumkan darurat itu akan dilaksanakan selama 3 minggu.

Boleh anda bayangkan, anda diberikan masa 4 jam untuk mempersiapkan diri anda bagi menghadapi perintah kurungan selama 3 minggu?

Apa yang lebih memburukkan keadaan - majoriti orang ketika itu masih di tempat kerja dan mana-mana individu yang tiada pengangkutan, terpaksa berjalan kaki berpuluh kilometer untuk pulang ke kediaman masing-masing.

Kami pun boleh rasa menyirap membaca tindakan yang dilakukan kerajaan India.

4. Panama bahagikan pelepasan penduduk mengikut jantina

panama hari wanita keluar

Pada fasa awalnya, Panama memperkenalkan peraturan kawalan pergerakan mirip negara kita di mana mereka masih dibenarkan keluar pada bila-bila masa, untuk mendapatkan makanan.

Bagaimanapun, peraturan itu menyebabkan kawalan yang agak longgar dan masih ramai yang memandang ringan undang-undang yang diperkenalkan. Selepas lebih 2,000 orang ditahan kerana tetap tidak mahu mematuhi peraturan baru itu, kerajaan Panama terpaksa memperkenalkan peraturan yang lebih drastik.

Bermula 1 April 2020, semua golongan lelaki hanya dibenarkan keluar rumah pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu. Sementara golongan wanita pula diberikan kelonggaran keluar untuk membeli barangan pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat.

Hari Ahad merupakan hari di mana tidak ada mana-mana pihak dibenarkan keluar langsung.

Semua individu yang dibenarkan keluar mengikut hari yang dibenarkan, hanya diberikan masa dua jam sahaja untuk menyempurnakan urusan mereka.

Tidak lama untuk muncul berita golongan transgender disaman di Panama, kerana melanggar perintah yang telah ditetapkan - enggan keluar mengikut jadual jantina kelahiran mereka.

5. Undang-undang Sepanyol yang ketat tapi haru-biru

dinosaur maskot sepanyol kejar kereta

Anda pasti sudah maklum tentang situasi Sepanyol ketika ini dalam menghadapi wabak Covid-19.

Disebabkan oleh kadar kematian yang terlalu tinggi serta jumlah kes yang seakan tidak mahu reda - Sepanyol merupakan antara negara yang paling ketat peraturan kawalannya, sehinggakan ada berlaku beberapa kes tak masuk akal melibatkan penguatkuasaan di negara tersebut.

Larangan untuk melakukan riadah ditempat awam turut sama merangkumi aktiviti berbasikal, jadi berlaku beberapa kes di mana pekerja yang perlu berbasikal ke tempat kerja - disaman kerana melanggar peraturan.

Oleh kerana peraturan yang dijalankan di Sepanyol terlalu ketat, orang ramai cuba mencari jalan bagi memastikan kebajikan mereka dan keluarga mereka tetap terjaga. Salah satu cara paling unik dan ganjil yang dilakukan ahli masyarakat Sepanyol bagi mengelakkan peraturan itu, adalah keluar rumah dengan berpakaian seperti seekor dinosaur.

Ini kerana dinosaur tidak tertakluk bawah peraturan yang ketat, hanya manusia saja perlu mematuhi peraturan itu. Bagaimanapun, taktik itu gagal kerana dinosaur sudah pupus.



Hakcipta iluminasi.com (2017)