Sebut sahaja lobster atau udang laut pasti anda terbayang restoran makanan mewah kan? Penulis pun. 'Lobster War' bukanlah perang sesama udang laut mahupun udang laut melawan manusia. Sebaliknya, ianya adalah sebuah konflik yang melibatkan manusia berakal sendiri. 

Pertelingkahan antara negara-negara di dunia selalunya melibatkan isu-isu yang serius dan besar, namun dalam kes Lobster War, sebabnya adalah sangat tidak masuk akal. Pada tahun 1960an, berlakunya konflik antara Brazil dan Perancis disebabkan udang laut, dan siapa yang lebih berhak untuk menangkapnya. Nasib baik tiada sesiapa yang tercedera dalam 'perang' berkenaan. Jadi, apa semuanya ni?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimana Konflik Lobster War Boleh Bermula

udang galah lobster war

Insiden ini bermula pada tahun 1961 apabila nelayan Perancis yang selama ini melakukan penangkapan hasil laut di barat laut perairan Afrika membuat keputusan untuk mencuba nasib mereka di tempat baharu. Selepas mencuba di beberapa lokasi, mereka akhirnya menemui sebuah lokasi yang terbaik kerana dipenuhi dengan udang laut, hanya beberapa batu daripada perairan Brazil.

Kehadiran beberapa kapal nelayan di kawasan berkenaan telah disedari oleh nelayan tempatan Brazil. Mereka membuat laporan kepada pihak berkuasa tentang kemunculan banyak kapal nelayan negara asing yang cuba untuk menangkap udang laut secara haram di perairan Pernambuco. Tentera laut Brazil serta merta bertindak balas kepada aduan tersebut, di mana Laksamana Arnoldo Toscano mengarahkan 2 buah kapal perang untuk mengesahkan hal berkenaan. 

Campur Tangan Kerajaan Brazil dan Kerajaan Perancis

kapal perang brazil lobster war

Mereka mengesahkan bahawa pertuduhan tersebut adalah sah, dan kemudiannya mengarahkan rombongan kapal nelayan Perancis itu untuk pulang ke kawasan air dalam, lebih jauh daripada perairan Brazil. Malangnya, nelayan-nelayan tersebut tidak mahu bekerjasama dan mereka percaya bahawa mereka berhak untuk menangkap udang laut di kawasan berkenaan. 

Mereka serta merta membuat aduan kepada kerajaan Perancis, dan meminta mereka untuk menghantar armada kapal tentera ke kawasan berkenaan. Tindakan ini memaksa tentera laut Brazil untuk menggerakkan kapal mereka sekiranya sesuatu insiden di luar jangkaan berlaku. 

Walaupun selalunya sesebuah konflik antara 2 buah negara melibatkan perkara yang serius, kita harus mengakui bahawa konflik ini adalah sangat mengarut. Apabila Brazil menggerakkan armada mereka, Menteri Luar mereka, Hermes Lima telah dilaporkan berkata bahawa sikap Perancis ini tidak dapat diterima, and kerajaan Brazil tidak akan berundur, dan udang laut tidak boleh ditangkap. 

Perancis Menghantar Kapal Tentera Pemusnah Ke Brazil

tartu kapal perang pemusnah perancis

Pada masa yang sama, Presiden Perancis pada ketika itu, Charles de Gaulle berasa sangat marah dengan situasi berkenaan. Beliau percaya bahawa Brazil tidak menghormati Perancis. Pada 21 Februari 1961, Charles membuat keputusan untuk menghantar sebuah kapal perang pemusnah, iaitu Tartu untuk memastikan keselamatan nelayan-nelayan mereka. 

Tartu walaubagaimanapun, tidak sempat menemui rombongan kapal nelayan Perancis, selepas dipintas oleh tentera laut Brazil ketika dalam perjalanan ke destinasi mereka. Dalam konflik tersebut, Brazil mempunyai kelebihan. Presiden Brazil, João Goulart memberi ultimatum kepada tentera Perancis untuk keluar daripada perairan mereka dalam masa 48 jam, namun mereka degil. Tidak lama kemudian, Brazil berjaya menangkap sebuah kapal Perancis. 

Walaupun tiada sebarang tembakan dilepaskan, situasi berkenaan menjadi semakin tegang. Brazil menghalang kemasukan kapal-kapal nelayan Perancis daripada melebihi jarak 100 batu daripada persisiran pantai negara berkenaan.

Antara hujah Brazil mengapa kapal nelayan Perancis tidak boleh memasuki kawasan mereka adalah kerana udang laut 'merangkak' di sepanjang dasar laut berhampiran pantai Brazil, jadi udang laut tersebut adalah milik Brazil. Perancis pula mendakwa bahawa udang laut 'berenang', jadi hidupan laut itu bukan milik sesiapa dan mereka berhak untuk menangkapnya di laut. 

Konflik Lobster War Akhirnya Tamat Secara Rasmi

charles de gaulle dan jo o goulart lobster war

Pada April 1963, konflik tersebut masih belum diselesaikan. Kedua-dua pihak berfikir sama ada berbaloi untuk berperang disebabkan udang laut. Brazil dan Perancis bersetuju untuk menggunakan cara diplomasi bagi menyelesaikan konflik berkenaan, dan isu tersebut dibawa ke mahkamah antarabangsa. 

Konflik Lobster War akhirnya tamat secara rasmi pada 10 Disember 1964, selepas Brazil dan Perancis menandatangani sebuah perjanjian. Konflik ini berjaya diselesaikan apabila Brazil diberikan hak dan kuasa ke atas zon perairan 200 batu daripada perairan mereka, yang meliputi lokasi udang laut. Perjanjian tersebut turut membenarkan 26 kapal nelayan Perancis untuk menangkap udang laut di kawasan berkenaan selama tempoh 5 tahun. 

Walaupun konflik ketenteraan tersebut berakhir dengan perjanjian rasmi, kedua-kedua negara terus bertelingkah secara saintifik sehingga tahun 1966. Saintis daripada Brazil dan Perancis mempunyai teori masing-masing tentang pergerakan sebenar hidupan krustasea itu. 

udang galah perang lobster

Saintis Perancis masih percaya bahawa pergerakan udang laut adalah seperti ikan, yakni mereka berenang di lautan, dan atas dasar ini udang laut dianggap bebas dan bukan milik mana-mana pihak. Brazil pula masih dengan hujah mereka, di mana udang laut hidup dengan merangkak di dasar laut yang cetek. 

Konflik ini mungkin kelihatan remeh dan agak kelakar, namun ianya memainkan peranan penting dalam menubuhkan Undang-Undang Laut ketika sebuah konvensyen anjuran United Nation. Bagi penulis, kerajaan Perancis seharusnya tidak terlalu ego dalam membuat keputusan, dan perlu menghormati kedaulatan negara Brazil.  

Apa kata anda? Udang laut merangkak atau berenang?

Rujukan:

  1. en.wikipedia.org
  2. thevintagenews.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)