Oleh pada 15 Jul 2022 kategori

Filem-filem blockbuster adalah istilah yang digunakan bagi menggambarkan filem yang mampu mencapai kutipan luar biasa, berbanding kos produksi yang telah dikeluarkan.

Bagaimanapun, jika dinilai daripada aspek bahasa semata-mata, 'blockbuster' bunyinya seolah-olah langsung tidak berkait dengan mana-mana terma atau frasa industri filem. 'Block' adalah 'blok' atau 'sekumpulan bangunan' dan 'buster' pula mirip kepada sesuatu yang memecahkan atau meletupkan sesuatu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jadi 'blockbuster' secara istilahnya membawa makna sesuatu yang memecahkan sesuatu blok atau bangunan. Kenapa pula istilah yang agak keras bunyinya ini digunakan untuk menggambarkan filem yang 'meletup' di pawagam?

Asal-usul dari perang dunia kedua

bom blockbuster perang dunia kedua

Bila dah berkait dengan meletupkan bangunan ni, pasti anda membayangkan istilah 'blockbuster' ada kaitannya dengan zaman perang bukan?

Memang benar! Istilah ini digunakan buat kali pertama secara rasmi dalam mana-mana penerbitan, dalam sebuah artikel majalah TIME yang diterbitkan pada 29 November 1942.

Dalam artikel itu, penulis menamakan bom yang digunakan tentera perikatan bagi meranapkan kawasan-kawasan strategik yang dikawal tentera fasis Itali sebagai 'blockbuster' disebabkan kemampuannya. Bom tersebut dikatakan mempunyai kekuatan untuk menghapuskan keseluruhan blok bangunan dalam bandar dengan hanya satu serangan.

Ekoran populariti artikel yang berkait dengan perang dunia ke 2 ke atas warga Amerika Syarikat, istilah itu mula digunakan sebagai metafor bagi merujuk kepada sesuatu yang meletup dan mengejutkan.

Dari berita ke filem

mission to moscow stalin 1943 971

Penggunaan istilah 'blockbuster' daripada merujuk kepada kekuatan bom, mula digunakan bagi merujuk kepada berita-berita sensasi yang disiarkan pihak media.

Sehinggakan semua berita berkenaan keputusan mahkamah yang sensasi atau atlet sukan yang mempamerkan prestasi cemerlang pun dilabelkan sebagai 'blockbuster.' Pemahaman 'blockbuster' sebagai sesuatu yang sensasi, akhirnya menerjah ke dalam frasa bagi menggambarkan filem - namun dalam konteks yang berbeza.

Dalam sebuah artikel pada 9 Mei 1943, sebuah filem berjudul Mission to Moscow digambarkan memaparkan elemen yang ekstrim - jadi filem itu dilabelkan sebagai sebuah filem 'blockbuster' atau sangat sensasi.

Ini menunjukkan pada awalnya, istilah tersebut bukanlah digunakan bagi merujuk kepada kutipan pecah panggung yang kita gunakan sekarang sebaliknya meneruskan pemahaman popular masyarakat Amerika Syarikat zaman tersebut, di mana apa saja yang sensasi akan dilabelkan sebagai blockbuster.

Filem-filem popular mula dilabelkan blockbuster

samson and delilah filem blockbuster

Berikutan populariti istilah ini, semakin ramai penulis mula menggunakan istilah blockbuster bagi meramalkan kadar populariti sesuatu filem yang bakal diterbitkan.

Penggunaan pertama istilah ini bagi mewakili tahap populariti sebuah filem direkodkan di dalam suratkhabar British Daily Mirror pada tahun 1950, menceritakan berkenaan penerbitan filem 'Samson and Delilah' yang dijangkakan akan menjadi blockbuster.

Penggunaan ini dipopularkan lagi selepas majalah Variety mengeluarkan artikel pada tahun 1953, menamakan tahun tersebut sebagai 'year of the box-office blockbusters' atau 'tahun filem blockbuster' kerana penerbitan lebih 135 filem dalam kalendar tahun tersebut, yang berjaya mencapai kutipan 1 juta atau lebih.

Kesesuaiannya sebagai rujukan kepada filem mula dibincangkan semula, selepas peristiwa pengeboman Nagasaki dan Hiroshima di Jepun.

Bagaimanapun ekoran daripada penggunaannya yang sudah jadi lebih kerap diguna untuk merujuk kepada filem dan kutipannya, berbanding asal-usulnya yang berkait dengan bom peletup blok bangunan - istilah ini dikategorikan selamat untuk terus digunakan oleh penyelidik linguistik.

Dengan ini secara rasminya 'blockbuster' diiktiraf penggunaannya untuk filem-filem yang mendapat sambutan luar biasa penonton, tidak lagi membawa makna asalnya.


Artikel ini adalah ringkasan dan olahan semula artikel Why Hit Movies Are Called Blockbusters diterbitkan oleh TIME pada bulan Februari 2020.




Hakcipta iluminasi.com (2017)