filem berkaitan agama yang kontroversi

Filem-filem bertemakan agama seringkali akan berdepan kontroversi tersendiri. Sama ada visual atau paparannya akan diselidik, mesej yang terkandung akan dikaji malahan latar belakang mereka yang terlibat dalam pembikinannya turut sama akan menjadi fokus masyarakat.

Oleh kerana sensitiviti yang timbul berkait dengan filem bertemakan agama, semua projek filem-filem yang memaparkan elemen-elemen keagamaan, tak kiralah agama mana sekalipun - perlu dipastikan tidak menjentik mana-mana pihak, sebaik mungkin.

Namun ada juga filem-filem bertemakan agama yang memilih sejak dari awal pembikinannya untuk memulakan kontroversi dan tidak mempedulikan sensitiviti mereka yang menonton. Berikut adalah lima filem bertemakan agama yang kami rasakan dibentuk secara sengaja untuk menjentik atau lebih teruk, memburukkan agama-agama yang ada di dunia.

1. Innocence of Muslim

innocence of muslim 562

Filem pendek ini yang dibuat secara persendirian, mencetuskan kontroversi yang agak dahsyat kerana paparan dalam filem itu dilakukan secara terbuka, tanpa berselindung lagi motif pembikinnya - yang jelas anti Muslim dan anti Islam.

Ditulis oleh seorang pengarah bernama Nakoula Basseley Youssef, seorang warga Amerika Syarikat yang lahir di Mesir - filem ini dikritik hebat komuniti Muslim seluruh dunia kerana bukan sahaja berani memaparkan figura Rasulullah saw., malahan menggambarkan Baginda dengan pelbagai jenis sifat prejudis dan buruk.

Hasil penerbitan filem itu menyebabkan penentangan kepada Nakoula dalam skala sangat besar, sehinggakan seorang menteri dari Pakistan, Ghulam Ahmed Bilfour menawarkan $100,000 wang ganjaran pada sesiapa yang berjaya membunuh Nakoula, di atas $500,000 ganjaran emas diberikan oleh gerakan Taliban.

2. Noah

noah russell crowe

Memaparkan aktor terkenal Russell Crowe, Jennifer Connelly dan Emma Watson serta pelakon legenda Anthony Hopkins, filem 'Noah' cuba menceritakan semula pengalaman 'Noah' semasa hidupnya, dugaannya mengajak manusia untuk kembali kepada norma kehidupan yang asal dan banjir besar yang menimpa seluruh dunia.

Namun nyata sekali skrip filem tersebut agak menyimpang jauh berbanding kisah yang diceritakan dalam kitab Bible, sehinggakan lebih layak digelarkan sebuah kisah fiksyen semata-mata. Dikritik kerana gagal memaparkan realiti etnik dan kaum yang sebenar tidak menjejaskan populariti filem ini, yang mencatat kutipan sangat memberangsangkan di seluruh dunia.

Komuniti Kristian dan Yahudi menentang sekerasnya penataan yang ada dalam filem ini. Negara-negara Islam seperti Bahrain, Arab Saudi, UAE, Malaysia dan Indonesia pula bertegas berkenaan tentang pemaparan susuk tubuh seorang berpangkat Rasul dan Nabi dalam bentuk lakonan, melarang tayangannya di pawagam.

3. Dogma

dogma filem kontroversi kristian

Filem komedi memaparkan dua malaikat yang turun ke bumi, lakonan Ben Affleck dan Matt Damon mendapat reaksi keras komuniti Kristian di seluruh dunia kerana dikatakan cuba mempermainkan kepercayaan mereka - ekoran daripada pemaparan pelbagai jenis elemen keagamaan yang dijadikan bahan lelucon.

Ini kerana jalan ceritanya menggambarkan penentangan pengarah filem tersebut, Kevin Smith terhadap sistem kepercayaan masyarakat Katolik serta mencabar beberapa logik pegangan yang diwarisi sekian lama. 'Dogma' menjadi isu besar kerana berani menampilkan teori bahawa kewujudan Tuhan sebenarnya boleh disangkal hanya dengan menggunakan logik akal semata-mata.

Cabaran-cabaran yang dibentangkan dalam filem ini terhadap sistem kepercayaan Katolik, paparan figura Jesus Christ dalam keadaan luar biasa serta adegan-adegan lucu yang mempersoalkan ketiadaan orang kulit hitam dalam kitab Bible menjadi tema utama filem ini. Dipersembahkan dalam bentuk komedi yang agak provokatif tidak menghalang filem ini yang mempunyai bajet rendah - mendapat pulang 3 kali ganda bajet asalnya.

4. Submission (2004)

filem submission kontroversi

Kurang dikenali berikutan statusnya sebagai sebuah filem terbitan bebas hasil tangan karyawan Belanda bernama Theo Van Gogh dan seorang wanita murtad kelahiran Somalia bernama Ayaan Hiirsi Ali yang juga salah seorang ahli parlimen Belanda, 'Submission' diterbitkan pada tahun 2004 dan ditayangkan di siaran televisyen awam Belanda.

'Submission' memaparkan seorang wanita yang memainkan empat watak - dengan kesemua watak itu menghadapi masalah yang sama; penderaan oleh orang lelaki disebabkan oleh tafsiran ayat-ayat al-Quran dipercayai membenarkan keganasan terhadap wanita dilakukan.

Van Gogh mati dibunuh seorang warga Belanda-Maghribi bernama Mohammad Bouyeri pada 2 November 2004, selepas lebih sebulan penayangan filem tersebut. Atas kesalahan itu, Bouyeri dikenakan hukuman penjara seumur hidup namun sempat menghantar surat ugutan kepada Aayan sebelum dipenjarakan.

Aayan terpaksa disembunyikan di beberapa lokasi berbeza, sehingga di bawa ke ke Amerika Syarikat pada bulan Februari tahun 2005. Berikutan sumbangannya sebagai seorang aktivis yang terkenal sebagai pejuang hak asasi manusia dan kewanitaan, Aayan dianugerahkan tokoh 'European of the Year' bagi tahun 2006 serta dicalonkan dalam senarai Anugerah Nobel Keamanan bagi tahun tersebut.

Berikutan populariti yang timbul, latar belakang Aayan mula diselidik. Pada pertengahan tahun 2006, kontroversi sekali lagi melanda selepas dia dibuktikan menipu maklumat diri, semasa melakukan permohonan kewarganegaraan. Parlimen Belanda memutuskan untuk memecat beliau dari jawatan tetapi membenarkan dia menyimpan status kewarganegaraan. Dia memilih untuk berpindah ke Amerika Syarikat dan kini terus menetap di sana.

5. The Passion of the Christ

adegan passion of the christ

Selepas lebih 15 tahun diterbitkan, filem 'The Passion of the Christ' terus menjadi bualan membuktikan tarikan utama filem itu serta kesannya dalam dunia hiburan masakini. Dikatakan sebuah projek berisiko tinggi untuk pelakon dan pengarah Mel Gibson, filem ini meupakan sebuah filem yang bermain dengan kontroversi sejak mula dicetuskan ideanya.

Dari segi visualnya saja sudah memadai untuk membuat banyak pihak kurang senang. Imej-imej ganas, darah dan luka ditonjolkan tanpa halangan, membuatkan banyak pihak mengatakan bahawa filem ini merupakan antara filem paling ganas pernah mereka tonton.

Walau demikian, projek filem ini mendapat cop mohor paling utama di kalangan masyarakat Kristian, setelah Pope John Paul II sendiri bertindak membenarkan apa yang terkandung dalam filem tersebut sebagai salinan sebenar paling tulen kisah penyeksaan yang perlu dilalui Jesus Christ. Reaksi Pope John Paul II itu bagaimanapun mula dinafikan pihak dari Vatican sebagai tidak menampilkan pandangan sebenar Vatican, hanya selepas 5 minggu dilaporkan.

Berikutan kisahnya yang memaparkan serta menyalahkan orang Yahudi sebagai punca kematian Jesus Christ, diterbitkan dengan tujuan menyemarakkan lagi agenda anti-semitik; seringkali dikaitkan dengan Mel Gibson sendiri yang terkenal anti orang Yahudi.

Sama seperti filem Noah, paparan watak Jesus Christ dianggap satu kesalahan, jadi filem ini diharamkan di banyak negara termasuklah negara kita. Larangan tayangan ini bagaimanapun ditentang komuniti Kristian yang percaya paparan yang berlaku, sepatutnya tidak menyentuh sensitiviti masyarakat Muslim di Malaysia.



Hakcipta iluminasi.com (2017)