Oleh pada 04 Mar 2018 kategori

Gambar sekadar hiasan

Seorang lelaki ditemui rentung setelah kediaman miliknya musnah dalam sebuah kebakaran di Jalan Wind Cave, Kampung Bau, awal pagi semalam.

Menerusi insiden sekitar pukul 2.50 pagi itu, mangsa, Voon Kim Kee (38 tahun) ditemui oleh pasukan bomba dalam keadaan meniarap, di bawah sisa kebakaran dalam tandas kediaman terbabit.

Mangsa dipercayai berusaha mendapatkan jalan keluar semasa kebakaran berlaku.

Menurut Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, pihaknya mendapat panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu daripada jiran mangsa pada pukul 2.51 pagi.

Jelasnya, berdasarkan laporan diperoleh, terdapat 2 buah kediaman satu tingkat berkembar berstruktur jenis separuh kekal terbabit dalam kebakaran berkenaan.

Justeru itu, 2 jentera berserta sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bau dikerahkan ke tempat insiden.

 

"Sepasukan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau kemudian dikerahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

"Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar dua buah rumah tersebut termasuk sebuah kereta yang diletakkan di luar kediaman tersebut," ujarnya semasa dihubungi, semalam.

Sementara itu, seorang anggota bomba, Waslie Kontil Ambi dilaporkan cedera ringan setelah dihempap struktur dinding konkrit sewaktu sedang menjalankan operasi pemadaman.

Tambahnya, pegawai itu seterusnya dibawa ke Hospital Bau dan diizinkan keluar sebaik selesai mendapat rawatan susulan.

"Keseluruhannya, dua rumah terbabit dalam insiden membabitkan lapan penghuni, dengan sebuah daripadanya musnah sepenuhnya.

"Hasil pemeriksaan lanjut kemudian menemui mangsa dalam keadaan tertiarap di dalam tandas rumah berkenaan," ujarnya.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Bau bagi menjalani proses bedah siasat.

"Tujuh lagi penghuni tidak mengalami kecederaan kerana sempat menyelamatkan diri, namun masih dalam keadaan trauma.

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pasukan forensik kebakaran," ujarnya lagi.

Sumber berita: Kosmo Online & BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)