Oleh pada 27 Feb 2018 kategori

Gambar sekadar hiasan

Mayat pelajar undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Gombak, Selangor yang dikhuatiri lemas sewaktu mandi di Air Terjun Lata Hammer dekat Jalan Lama Bentong, Batu 7, Bentong di Pahang pada Jumaat lalu, ditemui pada pukul 10 pagi kelmarin.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Sani Harul memberitahu, mayat Mohamad Faizal Yusri (23 tahun), yang berasal dari Felda Sungai Tiang, Pendang, Kedah dijumpai tenggelam pada kedalaman 3.65 meter, sekitar 5 meter dari lokasi dia kali terakhir dilihat.

"Mayat mangsa ditemukan pasukan menyelam bomba pada kedalaman 12 kaki selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung pagi ini," ujarnya kepada pemberita, kelmarin.

Menerusi insiden itu, Mohamad Faizal yang berasal dari Pendang, Kedah dilaporkan hilang setelah dihanyutkan arus deras pada pukul 11.30 pagi Jumaat lalu, ketika beriadah di air terjun itu bersama-sama 4 kawannya yang lain.

Mohd Sani memberitahu, 4 kawan mangsa turut difahamkan hampir lemas, namun sempat diselamatkan orang awam yang berada di tempat insiden.

Operasi SAR terpaksa ditamatkan pada pukul 6 petang Jumaat lalu kerana khuatir terjadi insiden kepala air akibat hujan di kawasan bukit.

Tambah beliau, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Bentong untuk proses bedah siasat.

Sumber berita:

1.    Kosmo Online

2.    Bernama

3.    Astro Awani




Hakcipta iluminasi.com (2017)