Oleh pada 07 Jul 2019 kategori

Pada jam 4.43 pagi 1 Jun 2008, pengawal keselamatan mendapati api yang marak menyambar bumbung salah sebuah bangunan di New England Street.

Sejam sebelum itu pekerja penyelenggaraan baru saja melakukan proses pembaikian pada bahagian bumbung bangunan tersebut dengan menggunakan penyembur api. Sekitar jam 3 pagi, mereka memeriksa bahagian besi yang telah disambungkan bagi memastikan sambungannya telah selamat. Mendapati semuanya selesai, pasukan penyelenggaraan pun pulang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

40 minit kemudian, di bahagian yang baru saja dibaiki - haba daripada pematerian menyebabkan percikan api mula timbul jatuh ke bawah memulakan kebakaran kecil yang merebak cepat.

Bermula daripada satu bangunan, api mula hinggap di beberapa buah studio lain serta taman tema yang terletak bersebelahannya. Ratusan anggota bomba yang hadir gagal mengawal kebakaran disebabkan beberapa faktor - tekanan air yang rendah, kegagalan paip penyembur air keselamatan berfungsi dan yang paling berbahaya - kesan haba yang sukar ditanggung sesiapa pun walaupun mereka berpakaian lengkap.

Tidak lama selepas itu, api mula sampai ke sebuah gudang bersebelahan sebesar 22,320 kaki persegi. Dari luarannya gudang itu tidak nampak apa keistimewaannya. Dikenali dengan nombor blok 6197 oleh mereka yang bertugas di situ - ramai menyangkakan gudang itu menempatkan koleksi arkib video.

Panggilan telefon di pagi buta

randy aronson dedah rahsia

Randy Aronson dikejutkan dengan panggilan telefon sekitar jam 5 pagi, memaklumkan apa yang berlaku. Aronson seorang eksekutif bersama kumpulan Universal selama 25 tahun, bertanggungjawab menyelia proses arkib yang dilakukan di blok 6197.

Mengantuk, dia membiarkan panggilan masuk ke peti mesej - sebelum pemanggil memberitahu gudang di mana Aronson bertugas sedang terbakar. Ini membuatkan Aronson terus melompat, bingkas berkejar ke Universal. Tibanya di sana, dia melihat sendiri kesukaran pihak bomba mengawal api. Gudang yang selama ini diselia, masih marak dijilat api.

Pihak bomba akhirnya membawa masuk jentolak kerana semua cara yang digunakan tidak berhasil. Jentera itu digunakan bagi menjatuhkan mana-mana bahagian struktur yang terbakar yang menghalang anggota bomba masuk, namun tidak banyak yang berjaya mereka selamatkan. 24 jam selepas api dilaporkan, barulah kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Timbul banyak kekeliruan dalam laporan media yang cuba melaporkan berita tentang kebakaran itu. Tidak ada pihak berjaya melaporkan dengan tepat kerugian yang ditanggung oleh Universal dalam insiden itu, kerana tiada siapa tahu isi sebenar yang disimpan di dalam gudang 6197.

Universal sendiri dilihat cuba menyembunyikan apa yang telah berlaku, sehinggakan salah seorang wartawan yang berjaya mengagak korban sebenar dalam kerugian itu, diminta menarik balik dan memperbetulkan tulisan beliau keesokannya tanpa penjelasan diberikan.

Kecuali Randy Aronson dan pasukannya yang menyelia bangunan tersebut.

Legasi muzik berdekad lamanya hilang dijilat api

kebakaran api marak universal

Blok 6197 sebenarnya adalah arkib di mana Universal Music Group (UMG) menyimpan rakaman asli muzik melibatkan ribuan artis. Diistilahkan sebagai 'master copy', rakaman itu adalah sumber utama semua terbitan muzik, versi pertama rakaman setiap sesi yang dilangsungkan. Mengikut dokumen rasmi UMG, blok 6197 menyimpan semua rakaman master artis sejak tahun 1940 versi pita analog serta semua rakaman berbentuk 'outtakes' atau 'session master' - versi berbeza lagu-lagu popular yang kita dengar tetapi tidak diedarkan kepada umum.

Walaupun mempunyai beberapa buah arkib di sekitar Amerika Syarikat dan negara luar, majoriti rakaman asal album terkenal dan terlaris ditempatkan di sini. Ini termasuklah rakaman-rakaman sub-label di bawah kendalian UMG seperti MCA, ABC, A&M, Geffen dan Interscope.

UMG mengisytiharkan kerugian sekitar 118,320 buah aset tanpa memberikan sebarang penjelasan lanjut. Randy Aronson menganggarkan angka itu kurang tepat, sepatutnya melebihi angka yang dilaporkan. Sebuah laporan lain menyebut lebih 500,000 rakaman asal lagu musnah dalam insiden itu dengan kerugian melebihi RM620 juta keseluruhannya daripada segi nilai fizikal.

Bagaimanapun, daripada segi nilai sebenarnya iaitu faktor karya - kehilangan yang berlaku disebabkan oleh kebakaran itu jauh melebihi angka yang dilaporkan, apatah lagi apabila elemen sejarah, pembangunan budaya popular dan masyarakat dipertimbangkan.

Kini semua koleksi asal muzik hasil figura besar Amerika Syarikat seperti Louis Armstrong, Chuck Berry, Judy Garland, Aretha Franklin dan Buddy Holly musnah. Artis dan kumpulan muzik era moden yang turut sama mengalami nasib serupa adalah REM, Guns N' Roses, No Doubt, Snoop Dogg, Soundgarden, Nirvana dan ramai lagi yang kerap kali menjadi siulan kita, semasa era 90-an.

Kepentingan salinan rakaman asal

gudang arkib simpanan

Tidak ramai yang faham kepentingan salinan rakaman asal di dalam era di mana kita boleh memuat turun muzik dengan sangat mudah. Rakaman asal adalah satu-satunya versi di mana bunyi yang didengari dapat menyalurkan suasana sebenar apa yang berlaku semasa rakaman dijalankan.

Era digital memudahkan pertukaran format muzik daripada satu versi ke satu versi lain. Setiap kali berlakunya proses ini, kejelasan audio asal akan semakin menurun sehinggakan pendengar tidak lagi mampu merasai kualiti bunyi sebenar yang dirakam sejak mula. Nada yang kita dengari tidak lagi berada pada tahap optimal, menyebabkan tona sebenar sesebuah karya boleh menjadi kabur menyembunyikan banyak elemen yang sepatutnya membantu menyampaikan apa yang ingin disampaikan pemuzik.

Satu-satunya jalan bagi memperbetulkan kelemahan ini - adalah dengan melakukan pengedaran semula album yang disalin daripada salinan rakaman asal 'master'. Permintaan peminat muzik zaman sekarang yang mahukan muzik dalam resolusi tinggi juga perlu dilakukan dengan mendigitalkan salinan asal daripada bentuk analog ke bentuk digital dan rakaman asal diperlukan sebagai asas kepada salinan tersebut.

Sekiranya ingin dibezakan dalam bahasa mudah - mendengar karya daripada bentuk master ibarat kita melihat sebuah lukisan asal. Mendengar salinan daripada rakaman asal, samalah seperti kita melihat gambar kepada lukisan itu.

UMG menyembunyikan kisah sebenar

kebakaran di universal

8 tahun selepas insiden kebakaran itu, Randy Aronson diberhentikan daripada tugasnya di UMG tanpa sebarang alasan. Gosip-gosip tentang kerugian sebenar yang ditanggung serta apa yang musnah dalam kebakaran itu, tidak dilaporkan sepenuhnya walaupun sudah bertahun sudah berlalu.

Tindakan itu dikatakan terpaksa diambil oleh pengurusan UMG menurut pendapat Aronson, disebabkan UMG bimbang kesan insiden itu akan mengakibatkan tindak balas besar-besaran oleh pengkarya, khasnya pemegang-pemegang estet artis.

Perjanjian di antara artis dengan syarikat rakaman seperti UMG kebiasaannya akan memihak kepada UMG, di mana hak cipta rakaman asal akan menjadi hak milik syarikat rakaman sementara artis atau pengkarya hanya mempunyai hak sebagai pencipta asal. Sebagai UMG, mereka memegang tanggungjawab melindungi salinan asal karya yang dirakamkan.

Lebih satu dekad kebakaran itu berlaku, tidak ramai pengkarya melakukan tuntutan atau saman terhadap kecuaian UMG dalam menyelia dan menguruskan karya mereka. Besar kemungkinan kerana tidak ramai pengkarya yang mengetahui apa yang sudah berlaku - rakaman asal karya mereka telah musnah dan langkah-langkah yang diambil UMG berjaya melindungi berita ini sampai pada mereka.

Kebakaran pada tahun 2008 bukanlah kali pertama blok 6197 mengalami risiko hampir dimusnahkan api. Pada tahun 1990, seorang pengawal sekuriti telah menyebabkan kebakaran yang mengakibatkan kerugian bernilai RM125 juta dan hampir mengenai blok tersebut, sebelum pihak bomba berjaya mengawal api.

Tahun 1997, kesan percikan api daripada lampu limpah studio mencetuskan kebakaran besar tetapi blok 6197 terselamat. Pertunjukan bunga api di taman tema Universal bagi memeriahkan suasana juga pernah menyebabkan kebakaran-kebakaran kecil sekitar blok 6197.

Selepas satu kejadian lebih buruk berlaku di sebuah arkib UMG lain pada tahun 2004 yang memusnahkan keseluruhan rakaman milik studio lagenda Motown Records tersimpan di situ, Aronson menyedari risiko yang ditanggungnya.

Aronson mencadangkan kepada UMG untuk mengalihkan gudang arkib mereka di blok 6197 ke kawasan yang lebih selamat. Permintaan itu tidak dipenuhi sepenuhnya UMG namun UMG tetap bertindak memindahkan lebih 250,000 pita rakaman asal ke sebuah gudang lain di Pennsylvania. 175,000 pita asal terus disimpan di blok 6197 secara rasmi. Aronson menganggarkan jumlah sebenarnya sekitar 500,000 ribu unit.

Pengkarya mula menyedari apa yang berlaku

jerry cantrell robby krieger krist novoselic

Hanya selepas akhbar New York Times menerbitkan temuramah bersama Randy Aronson pada 11 Jun 2019, baru tersebar pengesahan di kalangan pengkarya yang terlibat bahawa rakaman asal mereka, yang dipegang oleh UMG telah musnah lebih 10 tahun lepas.

Salah seorang yang baru menyedari apa yang telah berlaku adalah artis Kanada, Bryan Adams.

Pada tahun 2013, sempena ulangtahun ke 30 album beliau 'Reckless' yang memacu namanya sebagai salah seorang nama besar industri hiburan, Adams berhasrat mahu menerbitkan semula album itu daripada rakaman asal.

Bagaimanapun selepas menghubungi bagi meminta salinan dikeluarkan, UMG tidak memberikan sebarang maklum balas kepada beliau. Ini menyebabkan dia terpaksa menggunakan salinan sendiri album yang belum siap diadunkan untuk menerbitkan semula album beliau.

Pada 24 Jun 2019, beberapa pengkarya seni sebulat suara bersatu bertindak mengambil tindakan saman ke atas UMG, atas kerugian yang telah disembunyikan selama ini. Saman berjumlah lebih RM450 juta itu dimulakan oleh beberapa pemegang estet pengkarya terkenal seperti mendiang Tom Petty dan Tupac Shakur, kumpulan Soundgarden dan beberapa orang pengkarya lain.

Beberapa artis lain masih lagi menunggu maklum balas daripada UMG berkenaan status rakaman asal mereka.

Setakat ini, UMG melalui CEO mereka Lucian Grainge berjanji akan mengambil pendekatan terbuka dalam menjelaskan perkara sebenar, berbeza dengan tindakan syarikat itu selama ini yang menyembunyikan apa yang telah berlaku, sebelum dibocorkan oleh Randy Aronson semasa temuramahnya.

Beberapa pengkarya sudah pun memberikan maklum balas, antaranya pemain bass kumpulan Nirvana, Krist Novoselic yang percaya rakaman asal album 'Nevermind', salah satu album paling penting dalam sejarah industri muzik moden telah pun musnah dalam kebakaran tersebut.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel The Day the Music Burned yang diterbitkan pada 11 Jun 2019.

Rujukan

Smithsonian




Hakcipta iluminasi.com (2017)