Oleh pada 29 Aug 2019 kategori

Tebing pasir merupakan satu struktur yang berbahaya kepada lalu lintas marin. Ia seringkali terbentuk akibat gelombang ombak atau mendapan pasir di sepanjang pantai.

Alexander Mitchell

Tebing pasir yang sering berubah bentuk dan kedudukan ini menimbulkan risiko besar kepada kapal-kapal yang menghampiri pantai. Oleh kerana ia cenderung untuk hanyut mengikut pasang surut air, sukar untuk meletakkan lampu peringatan pada tebing pasir ini apatah lagi untuk mendapatkan asas kukuh bagi membina sebuah rumah api.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Masalah untuk mendirikan rumah api di atas tebing pasir sebagai panduan kapal-kapal yang menghampiri pesisir pantai ini amat mengganggu Alexander Mitchell (1780 - 1868). Mitchell ialah seorang pembuat batu bata yang mempunyai perniagaan yang berjaya di Belfast, Ireland.

rumah api

Belfast mempunyai tradisi pelayaran yang kuat dan Mitchell sering mendengar banyak kisah tragik mengenai nyawa yang terkorban akibat kapal karam yang disebabkan oleh tebing pasir ini.

Mitchell memutuskan untuk melakukan sesuatu mengenai perkara ini walaupun tidak mempunyai latihan rasmi dalam bidang kejuruteraan atau pembinaan rumah api. Apa yang lebih mengagumkan ialah, Mitchell juga seorang yang cacat penglihatan.

Alexander Mitchell dilahirkan pada tahun 1780 di Dublin. Dia adalah anak kepada seorang Inspektor Jeneral Berek Tentera di Ireland dan sering berpindah ke serata negara mengikuti bapanya yang bertugas.

tiang skru rekaan alexander mitchell

Rumah api tiang skru rekaan Alexander Mitchell

Pada usia tujuh tahun, keluarganya berpindah ke Pine Hill berhampiran Belfast di mana dia menyambung pelajaran di Akademi Belfast yang berprestij. Semasa dia belajar aritmetik, geometri dan trigonometri di sekolah, Mitchell mendapati dia sukakan matematik dan begitu cemelang dalam mata pelajaran itu.

Penglihatan Mitchell sememangnya lemah tetapi ia menjadi semakin teruk apabila dia meningkat usia. Ketika berumur 16 tahun, dia sudah tidak dapat membaca lagi. Ahli keluarganya membantu Mitchell untuk belajar ketika deria penglihatannya semakin merosot.

Pada usia 22 tahun, Mitchell sudah buta sepenuhnya. Menurut beberapa laporan, kehilangan penglihatan Mitchell adalah disebabkan oleh cangkitan cacar semasa dia masih kecil.

tiang skru rekaan rekaan mitchell

Tiang Skru rekaan Alexander Mitchell

Walaupun mempunyai kekurangan, Mitchell adalah seorang yang peramah dan optimis. Dia berkahwin dengan jirannya sendiri dan mempunyai lima orang anak walaupun pilihannya itu tidak direstui ibunya.

Dia juga mempunyai perniagaan pembuatan batu bata yang berjaya di kawasan Ballymacarrett di Belfast, membolehkannya untuk membeli banyak hartanah di sekitar bandar itu.

Selain itu, dia juga mempunyai kehidupan sosial yang aktif. Dia sering menjemput ramai tetamu ternama ke rumahnya seperti ahli astronomi Thomas Romney Robinson dan ahli matematik terkenal, George Boole.

antara rumah api dibina mitchell yang masih terselamat di ireland

Antara rumah api dibina Mitchell yang masih terselamat di Ireland

Dia boleh bergaul dengan baik dan bertindak secara semula jadi di hadapan orang lain, sehingga ada yang tidak menyedari bahawa Mitchell sebenarnya buta. Malah, dia juga bermain daun terup dan backgammon sementara seorang lelaki akan membisikkan nombor dadu atau kad yang diperolehinya.

Mitchell telah menjalankan perniagaannya selama 30 tahun dan banyak memberi sumbangan penting seperti perkembangan inovatif kepada perniagaan batu bata. Dia bersara daripada perniagaannya pada 1932 dan pada tahun berikutnya dia telah mematenkan satu rekaan cerucuk skru (screw pile) ketika berusia 52 tahun.

Jalan penyelesaian Mitchell untuk masalah tebing pasir adalah mudah. Daripada mengetuk tiang besi pada lumpur lembut atau tanah liat bagi membuat asas, dia sebaliknya memutarkannya seperti skru. Setiap tiang mempunyai bilah yang boleh diputar seperti satu pemutar skru gergasi.

rumah api 2

Untuk menguji ciptaannya, Mitchell dan anaknya, John, secara diam-diam telah memasang tiang skru dan membiarkan bahagian atasnya di atas paras air laut. Pada keesokan paginya, dia kembali lagi dan mendapati tiang itu tetap kukuh pada kedudukannya. Melihat kejayaan ini, dia menuju ke London untuk mematenkan tiang skru ciptaannya.

Namun, Mitchell terpaksa meninggu selama lima tahun sebelum dia dapat meyakinkan Trinity House (badan amal yang berdedikasi untuk keselamatan kapal dan kelasi). Badan amal itu bertanggungjawab ke atas pembinaan rumah api di Britain dan Ireland.

Pada tahun 1838, pembinaan rumah api pertama menggunakan tiang skru dipasang di Maplin Sands di muara sungai Thames. Setahun kemudian rumah api dengan asas tiang skru ini dibina pula di Morecambe Bay.

binaan rumah api tiang skru

Binaan rumah api tiang skru

Sepanjang satu abad kemudian, beratus-ratus menara rumah api menggunakan asas tiang skru didirikan di Kepulauan British dan Amerika Utara. Mitchell terlibat dalam menyelia beberapa pembinaan.

Walaupun bahaya, Mitchell beberapa kali dilihat memanjat tangga dan perancah di rumah api yang sedang dibina. Dia pernah terjatuh ke dalam laut tetapi tetap juga cuba untuk menaikinya semula.

Kejayaan tiang skru ciptaannya membolehkan Mitchell memperluaskan lagi aktiviti perniagaannya ke kawasan lain seperti pembinaan dermaga dan jambatan sejauh di negara India.

tiang skru digunakan dalam pelbagai bidang pembinaan

Tiang skru digunakan dalam pelbagai bidang pembinaan

Hari ini, tiang skru masih lagi digunakan secara meluas untuk pelbagai aplikasi bangunan dari rumah api, landasan kereta api, telekomunikasi, jalan raya dan banyak industri lain di mana pemasangan pantas diperlukan.

Kebanyakan industri menggunakan kaedah tiang skru ini kerana kos yang efisyen dan mengurangkan kesan kepada alam sekitar. Memasang tiang skru pada tanah bermakna, kurang lebihan tanah yang dikorek dan tidak perlu diangkut keluar dari tapak. Ini menjimatkan kos pengangkutan dan kesan karbon projek yang dilakukan.

Kejayaan Alexander Mitchell membuatkannya terpilih sebagai anggota Institusi Jurutera Awam pada tahun 1848 dan menerima Pingat Telford pada tahun berikutnya. Dia meninggal dunia pada usia 88 tahun di rumahnya pada 1868.

Rujukan:

1. Sumbangan jurutera buta terhadap pembinaan rumah api

2. Ciptaan jurutera buta ini menjadi asas pembinaan yang efektif

3. Bagaimana jurutera buta membantu penglihatan para kelasi kapal




Hakcipta iluminasi.com (2017)