Pada pagi 5 September 1986, pesawat Pan Am Flight 73 berlepas dari Mumbai, India dan akan melakukan persinggahan rutinnya di Karachi, Pakistan serta Frankfurt, Jerman Barat sebelum sampai ke destinasi terakhir di New York, Amerika Syarikat. 

neerja bhanot

Neerja Bhanot

Neerja Bhanot yang merupakan seorang pramugari kanan untuk Pan American World Airways telah dijadualkan bertugas dalam penerbangan itu. Neerja tidak mengetahui bahawa penerbangan itu akan dirampas pengganas dan bakal menjadi penerbangan terakhirnya.

Walaupun baru berusia 23 tahun ketika itu, pemikiran pantas Neerja telah menyelamatkan ratusan penumpang dalam tragedi yang memakan masa hampir 17 jam. Dia menjadi wira sehinggalah nyawanya sendiri menjadi korban. Berikut adalah kisah Neerja Bhanot.

Latar belakang Neerja Bhanot

Neerja dilahirkan pada 7 September 1963 di Chandigarh sebelum keluarganya berpindah ke Mumbai, India. Ketika dia baru menghadiri pengajian di Kolej St. Xavier, seorang jurugambar telah menawarkan pekerjaan sambilan sebagai model kepadanya.

Dia yang dibesarkan dalam keluarga yang penuh adat telah bersetuju dengan pernikahan yang diaturkan kedua ibu bapanya. Pada Mac 1985, Neerja berkahwin dengan seorang lelaki dari UAE tetapi pernikahan mereka tidak bertahan lama apabila dia didera suaminya.

neerja bhanot vespa ad

Hanya dua bulan selepas berkahwin, Neerja diceraikan dan dia memutuskan untuk memberi tumpuan kepada kerjaya sendiri. Berdasarkan rupa parasnya yang menawan dan pengalamannya menjadi model, Neerja terpilih untuk menjadi pramugari untuk syarikat penerbangan Pan American.

Pada masa yang sama juga, Organisasi Abu Nadal dari Palestin dilihat semakin hebat menentang Israel dan sekutunya terutamanya Amerika Syarikat kerana menyokong penahanan pemberontak Palestin.

Kejadian rampasan Pan Am Flight 73

Neerja baru sahaja setahun bekerja dengan Pan Am apabila Organisasi Abu Nadal melancarkan rancangan mereka untuk merampas pesawat Pan Am Flight 73. Mereka ingin menukar haluan pesawat itu ke Cyprus dan Israel untuk membebaskan tahanan Palestin.

Pan Am Flight 73 membawa seramai 394 penumpang dewasa, 9 kanak-kanak, seorang kakitangan Amerika dan 13 pembantu penerbangan India dari Mumbai. Seramai 109 penumpang turun di Karachi sementara penumpang baru masih lagi berada di dalam bas yang membawa penumpang dari terminal ke pesawat.

pan am flight 73

Kira-kira pada jam 6 pagi, empat orang pengganas yang menyamar sebagai pasukan keselamatan telah memandu sebuah van yang diwarnakan seperti kenderaan lapangan terbang dan menghampiri pesawat Pan Am Flight 73.

Mereka telah melepaskan tembakan di luar pesawat yang telah mengorbankan dua kakitangan Kuwait Airlines yang berada berhampiran. Selepas memasuki pesawat, mereka melepaskan tembakan amaran dan mengarahkan pembantu penerbangan menutup pintu pesawat.

Tindakan pantas dan berani Neerja Bhanot

Mendengar bunyi tembakan, Neerja segera memberi amaran kepada juruterbang melalui alat perhubungan. Juruterbang telah menghubungi pihak berkuasa lapangan terbang sebelum keluar melalui pintu kecemasan sekali gus menggagalkan pesawat itu untuk berlepas. 

Apabila salah seorang pengganas membuka pintu kokpit, dia terkejut apabila mendapati ruangan memandu itu kosong. Berang dengan keadaan itu, pengganas mengugut untuk membunuh tawanan jika pihak lapangan terbang tidak menyediakan juruterbang untuk mereka.

neerja bersama rakan setugasnya

Neerja (atas, kanan) bersama rakan setugasnya

Pengarah Pan Am di Karachi iaitu Viraf Doroga telah memberikan janji kosong untuk menyediakan juruterbang baru dalam tempoh sejam. Apabila tiada juruterbang seperti yang dijanjikan, pengganas mengotakan janji mereka.

Mereka telah menarik seorang rakyat Amerika bernama Rajesh Kumar ke pintu pesawat. Disaksikan oleh pihak berkuasa, Kumar telah ditembak di kepala dan tubuhnya dicampakkan ke bawah.

Empat jam kemudian, para pengganas mengarahkan petugas pesawat untuk mengumpulkan kesemua pasport penumpang yang ada. Neerja telah menyembunyikan pasport milik penumpang Amerika sebelum membuangnya ke dalam tong sampah.

Dia mendakwa tiada penumpang warganegara Amerika sambil terus menyediakan makanan dan minuman supaya para penumpangnya tenang.

pan am flight 73 hijacking

Salah seorang pengganas bernama Safarini malah memberitahu bahawa dia tidak suka keganasan dan pembunuhan seperti ini tetapi mendakwa Israel dan Amerika telah merosakkan kehidupan dan negara Palestin.

Terkorban kerana menyelamatkan penumpang

Setelah 17 jam yang menggerunkan, bekalan kuasa pesawat itu tiba-tiba terputus. Dalam keadaan gelap gelita, Neerja mengambil kesempatan itu dengan membuka salah satu pintu kecemasan dan mengarahkan penumpangnya keluar menggunakan gelongsor yang telah disediakan pasukan keselamatan di luar pesawat.

Keadaan gelap itu juga menggagalkan pengganas untuk menembak bahan letupan yang cukup membunuh kesemua penumpang. Mereka hanya berjaya meletupkan sebahagian kecil sahaja bom yang dibawa.

Pengganas kemudian melepaskan tembakan rambang ke tempat duduk penumpang. Neerja terkorban dalam tembakan itu ketika sedang melindungi tiga orang penumpang kanak-kanak. Neerja meninggal dunia sehari sebelum ulang tahunnya yang ke-24.

filem neerja 2016

Filem Neerja yang diterbitkan pada 2016

Menurut salah seorang mangsa yang terselamat, Neerja bukanlah terkena tembakan rambang tetapi dibunuh dengan sengaja. Apabila salah seorang pengganas mendapati pramugari itu melindungi penumpang, dia menarik rambut Neerja dan menembak wanita itu dari jarak dekat. Namun, dakwaan ini masih lagi diperdebatkan.

Satu unit khas tentera Pakistan telah berjaya menangkap empat orang pengganas dan seorang lagi yang menjadi rakan subahat mereka di luar. Malangnya, seramai 53 orang terkorban dalam kejadian itu.

neerja bhanot wirawati india pramugari

Walaupun terkorban, Neerja Bhanot telah dianugerahkan pelbagai pingat atas tindakan beraninya. Satu filem mengenainya berjudul Neerja juga telah dihasilkan pada tahun 2016 sebagai memperingati jasa wirawati itu.



Hakcipta iluminasi.com (2017)