Kita biasa menggunakan 1, 2, 3 atau 4 lorong satu hala semasa memandu.

Kecuali dalam beberapa situasi melibatkan plaza tol apabila lorong mula dipecahkan untuk memudahkan penyuraian kenderaan agar urusan tol lebih lancar sehingga laluan menjadi lebih daripada 4 lorong. Tahukah anda di manakah terletaknya jalan raya yang paling banyak jumlah lorongnya di dunia?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima jalan raya/lebuh raya yang mempunyai jumlah lorong terbesar setakat ini yang ada.

5. Interstate 75, Amerika Syarikat - 16 lorong

laluan terbesar lebuhraya di dunia

Lebuhraya Interstate 75 atau i-75 yang menghubungkan beberapa negeri di Amerika Syarikat ini, iaitu Florida sehinggga Michigan melalui 6 buah negeri semuanya.

Dibuka pada tahun 1957 dengan keseluruhan jarak perjalanan 2,875 km, satu laluan yang terletak di bandar Marietta memerlukan 15 lorong. Sementara di satu bahagian di Atlanta sepanjang 12.8 km perjalanannya, lorong bertambah menjadi 16 lorong - merupakan bahagian paling besar jumlah lorongnya sepanjang lebuhraya gergasi ini.

Lebuh raya ini dibina secara berperingkat, memakan masa hampir 20 tahun pembinaannya dengan fasa terakhir selesai pada tahun 1973. Sehingga ke hari ini, i-75 menjadi antara laluan ikonik dalam sejarah Amerika Syarikat, disebabkan kewujudan banyak lokasi pelancongan menarik sepanjang laluan tersebut.

Untuk benar-benar menghayati dan menikmati perjalanan, dianggarkan pengguna patut meluangkan masa 2 ke 3 hari atas jalan raya agar dapat berkunjung ke banyak lokasi bersejarah yang masih dipelihara.

4. New Jersey Turnpike, Amerika Syarikat - 18 lorong

new jersey turnpike wikipedia

Salah sebuah jalinan lebuhraya yang sering dijadikan contoh ikutan negara-negara lain dalam pembinaan laluan berkelajuan tinggi, New Jersey Turnpike merupakan sebuah laluan bersejarah dibuka pada tahun 1951, sepanjang 188 km keseluruhannya.

Bukan semua kawasan sepanjang laluan ini memerlukan jumlah lorong yang banyak, majoritinya di antara 4 lorong (2 satu hala) dan 6 lorong (3 satu hala), tetapi dibeberapa lokasi sibuk - jumlah lorongnya ditambah kepada 12 (6 satu hala) atau 14 lorong.

Dilaluan 14 dan 15E, jumlah lorongnya meningkat kepada 18 laluan.

Uniknya, pengurusan lebuhraya ini tidak tertakluk kepada kawalan selia mana-mana kerajaan, baik kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri di Amerika Syarikat.

Sistem lebuhraya ini dikawalselia sebuah badan dinamakan The Turnpike Authority, yang bersifat bebas sehinggakan mereka juga mempunyai pasukan peronda polis sendiri seramai 200 orang bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin.

3. King Highway 401, Kanada -  18 lorong

lebuhraya paling lebar dalam dunia

Mempunyai jarak perjalanan sejauh 828 km keseluruhannya, lebuhraya ini merupakan laluan paling sibuk di Kanada menghubungkan Windsor di bahagian barat negara itu ke Ontario-Quebec di bahagian timur.

Dibuka pada tahun 1953 bermula dengan dua lorong untuk perjalanan sehala, kadar penggunaannya yang terlalu tinggi memerlukan kerajaan Kanada menambah jumlah lorong yang ada. Pada tahun 1963, laluan ini dijadikan laluan 12 lorong, dengan 6 lorong satu hala di beberapa bahagian yang kerap sesak.

Salah satu bahagian paling teruk kesesakannya, adalah laluan yang terletak berdekatan Toronto Pearson International Airport - jadi kerajaan Kanada menambah 6 lagi lorong di situ, menjadikan laluan tersebut 9 lorong untuk perjalanan sehala.

Ini menjadikan bahagian tersebut mencapai 18 lorong kesemuanya, tetapi situasi kesesakan dilaporkan masih teruk (pautan PDF).

2. Lebuhraya Naypyidaw, Myanmar - 20 lorong

jalan paling banyak lorong luas dan lebar

Kerajaan Myanmar berusaha keras membangunkan Naypidaw untuk dijadikan pusat pentadbiran negara mereka, namun tersilap selepas gagal merancang bagaimana untuk memenuhkan bandar baru tersebut dengan penduduk.

Salah satu usaha besar-besaran yang dijalankan adalah membina sebuah lebuhraya yang mempunyai 20 lorong, 10 lorong untuk satu hala yang menghubungkan bangunan parlimen mereka dengan pusat bandar.

Sekiranya semua lebuhraya dalam senarai ini dibina untuk menyuraikan kesesakan, lebuhraya yang dibuka di Naypidaw ini adalah lebuhraya yang paling banyak lorong untuk kegunaan, tetapi lengang daripada kenderaan.

1. Interstate 10, Amerika Syarikat - 26 lorong

katy freeway interstate 10

Nama rasmi bagi lebuhraya ini adalah Interstate 10 atau I-10, tetapi turut dikenali dengan nama Katy Freeway.

Dibina pada era 1960-an, pada awalnya lebuh raya ini hanya menempatkan 6 ke 8 lorong sebelum rancangan membesarkannya untuk meningkatkan kapasiti penggunaannya kepada 200,000 buah kenderaan sehari menjadikan laluan ini bertambah kepada 16 lorong.

Bagi membantu aliran trafik menjadi lebih baik, beberapa lorong tambahan ditambah dengan status lorong khas diperkenalkan bermula awal dekad 2000.

Dalam versi sedia ada sekarang ini selepas pelebarannya selesai dijalankan, I-10 yang mempunyai kepanjangan 1,412 km merentasi Texas mempunyai 12 lorong utama dibahagikan kepada 6 lorong untuk setiap satu hala, 8 lorong penyurai trafik dan 6 lorong khas.

6 lorong khas dengan 3 lorong di setiap hala dikhaskan untuk kegunaan kenderaan pengangkutan awam dan kenderaan yang sarat penumpang pada waktu puncak.

Bagaimanapun, semua pelebaran jalan yang dilakukan nampaknya tidak membawa kesan yang diharapkan.

Masa yang diambil oleh pemandu setelah lorong ditambah menjadi lebih panjang, menandakan tambahan lorong semata-mata sebenarnya melambatkan lagi masa perjalanan. 

Jadi sekiranya anda tersekat di jalan atau lebuh raya dan mengharapkan agar kerajaan kita menambah jumlah lorong; statistik dan kajian yang telah dijalankan ke atas pendapat tersebut sebenarnya telah menunjukkan andaian itu salah. Lebih lorong akan membawa kepada lebih kesesakan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)