ossip bernstein

Catur (Chess dalam bahasa inggeris) adalah permainan strategi dan strategi terbaik akan menjanjikan kemenangan. Johan catur selalunya akan mendapat hadiah berupa wang tunai pada penghujung pertandingan, namun bagi Ossip Bernstein, hadiah yang bakal diperolehi beliau adalah lebih berharga. Ketika sebuah permainan catur pada tahun 1918, nyawa Ossip menjadi pertaruhan.

Latar Belakang Ossip Bernstein

tentang ossip bernstein

Ossip Bernstein yang mempunyai dua kewarganegaraan, iaitu Rusia dan Perancis adalah seorang pemain catur profesional, dan seorang peguam kewangan. Dengan kemenangan yang banyak sepanjang kerjayanya, Ossip menjadi terkenal di Empayar Rusia dan beliau menjadi seorang Grandmaster pada tahun 1950. Di samping memberi banyak kemenangan kepada dirinya, permainan catur juga berjaya menyelamatkan nyawa Ossip ketika berlakunya Revolusi Oktober pada 1917. 

Ossip Samoilovich Bernstein dilahirkan pada 20 September 1882 di bandar Zhytomyr, ketika era sebelum revolusi Empayar Rusia. Pada tahun 1906, Ossip memperolehi ijazah PhD dalam bidang undang-undang daripada Heidelberg University, dan memulakan kerjayanya sebagai seorang peguam kewangan. Kejadian Revolusi Oktober telah membawa banyak perubahan buruk kepada Empayar Rusia pada ketika itu. 

Ossip Bernstein Ditangkap dan Dijatuhkan Hukuman Tembak

ossip bernstein ditangkap dan dijatuhkan hukuman tembak

Antara kesan revolusi berkenaan adalah berlakunya rampasan harta persendirian, nasionalisasi bank-bank Rusia, rampasan akaun bank swasta, dan hukuman kejam terhadap mereka yang bekerjasama dengan bank dan raja. Antara yang ditangkap termasuklah Ossip sendiri.

Pada tahun 1918, selepas peristiwa Revolusi Oktober dan ketika Perang Ukrain bagi mendapatkan kemerdekaan, Ossip bekerja di Odessa, Ukrain sebagai seorang penasihat undang-undang kepada bank. Disebabkan penglibatan beliau dengan bank dan sokongnya terhadap kapitalisme, Ossip ditangkap oleh Cheka, polis rahsia Bolshevik. Cheka ditubuhkan bertujuan untuk menghapuskan musuh politik kerajaan sedia ada. Selepas ditangkap, beliau dijatuhkan hukuman melalui skuad penembak. 

Bagaimana Permainan Catur Berjaya Menyelamatkan Ossip Bernstein

bagaimana permainan catur berjaya menyelamatkan ossip bernstein

ossip bernstein tiga dari kiri

Pada hari penghukuman, ketika skuad penembak sedang bersiap sedia untuk menembak, pegawai atasan menuntut untuk melihat senarai nama banduan yang bakal dihukum. Sebagai seorang peminat permainan catur, pegawai tersebut serta merta menyedari nama Ossip Bernstein. Pegawai berkenaan serta merta bertanya kepada Ossip adakah beliau pemain catur yang terkenal itu, dan Ossip mengesahkannya. 

Jawapan beliau tidak cukup untuk meyakinkan pegawai tersebut, dan dia meminta untuk bertarung dengan Ossip dalam permainan berkenaan. Syaratnya sangat mudah, sekiranya Ossip menang, beliau akan dibebaskan, dan sekiranya tewas, nyawanya akan melayang. Ossip akhirnya menang mudah, dan dibebaskan dengan segera. 

Ossip Bernstein Berpindah Ke Paris Untuk Memulakan Hidup Baru

ossip bernstein berpindah ke paris untuk memulakan hidup baru

Berasa tidak selamat berada di negara pimpinan Soviet Union yang baru sahaja ditubuhkan, Ossip bersama keluarga melarikan diri ke Paris. Beliau meneruskan kerjayanya sebagai seorang peguam kewangan dan turut mewakili Perancis dalam permainan catur.

Ossip tinggal di Perancis sehinggalah tahun 1940, tahun yang sama negara berkenaan menyerah kalah kepada Nazi. Oleh kerana latar belakangnya sebagai seorang Yahudi, beliau telah didakwa oleh pemerintah baharu itu. Namun, pada penghujung musim panas 1940, beliau bersama keluarga berjaya melarikan diri ke Sepanyol. Ketika di sempadan negara itu, mereka ditahan oleh peronda sempadan.

Mereka bernasib baik kerana Ossip mempunyai sahabat yang berpengaruh di Sepanyol yang berjaya membuat perundingan untuk mereka sekeluarga tinggal di negara berkenaan buat sementara waktu sehinggalah perang tamat. Ossip pulang ke Paris pada tahun 1945. 

Penyertaan Ossip Bernstein Dalam Pertandingan Catur

ossip bernstein main catur

Antara penyertaan Ossip dalam pertandingan catur yang paling menarik berlaku pada tahun 1954, ketika beliau berusia 72 tahun. Pertandingan berkenaan bertempat di Montevideo, Uruguay di mana Ossip berjaya ke peringkat separuh akhir, dan bakal berdepan dengan Miguel Najdorf, seorang pemain catur yang lebih muda. Miguel berasa tersinggung kerana beliau terpaksa berlawan dengan seorang yang sudah berumur, dan beliau sangat yakin bahawa dirinya akan menang. 

Miguel terlebih yakin sehingga dia berjaya meyakinkan penganjur untuk menaikkan jumlah wang hadiah tempat pertama sebanyak sekali ganda, dan penambahan duit akan diambil daripada pemenang tempat kedua. Ossip mengalahkan Miguel yang angkuh menggunakan 37 gerakan 'Old Indian Defense' dan membuatkan lawannya malu.

Sepanjang hidupnya, Ossip Bernstein memperolehi dan kehilangan kekayaannya sebanyak 3 kali. Pertama, ketika Revolusi Oktober, kemudian beliau kerugian ketika Great Depression dan yang terakhir, beliau kehilangan harta benda ketika Nazi menyerang Perancis. Namun, beliau berjaya menjaga hartanya yang paling berharga, nyawanya. Ossip meninggal dunia pada 30 Oktober 1962 di sebuah hospital di French Pyrenees. 

Rujukan:

  1. en.wikipedia.org
  2. chessgames.com
  3. jewornotjew.com
  4. thevintagenews.com

tags : , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)