Oleh pada 05 Dec 2021 kategori

Nama Shavarsh Karapetyan mungkin tidak begitu dikenali dalam dunia sukan namun dia adalah seorang wira yang lebih hebat berbanding atlet ternama lain. Shavarsh dilahirkan di Armenia pada 19 Mei 1953 dan menunjukkan bakat sebagai seorang atlet sejak kecil lagi.

Atas dorongan bapanya, Shavarsh mula berlatih sebagai ahli gimnastik. Malangnya, dia agak tua untuk dilatih menjadi juara. Dia kemudian berusaha untuk menjadi seorang perenang tetapi tidak mempunyai fleksibiliti yang diperlukan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dia akhirnya memilih sukan finswimming iaitu berenang menggunakan sirip di mana kekuatan badan dan tenaganya menjadi kelebihan baginya. Shavarsh berlatih dengan keras demi membuatkan bapanya bangga.

Dia berlari sejauh 29km setiap hari dengan membawa beg dipenuhi pasir dan melakukan latihan menahan nafas. Usahanya membuahkan hasil apabila Shavarsh memenangi pingat emas dalam acara 50 dan 100 meter sukan finswimming pada Kejohanan Eropah 1972 di Moscow.

Kejadian yang mengubah hidup

Pada tahun 1976, Shavarsh mengalami kejutan apabila dia disingkirkan daripada pasukan Kesatuan Soviet tanpa sebarang penjelasan. Menurutnya, keputusan itu mungkin disebabkan dia seorang rakyat Armenia (walaupun sebahagian daripada Kesatuan Soviet tetapi rakyat Armenia sering didiskriminasi).

shavarsh finswimming

Pada 16 September 1976, atlet berusia 23 tahun itu melepaskan kekecewaannya dengan berlari di sekitar tasik buatan di ibu negeri Armenia iaitu Yerevan. Dia bersama abangnya, Kamo, dan jurulatihnya melakukan larian sejauh 21km.

Ketika berlari, dia terdengar bunyi yang sangat kuat dan mendapati sebuah bas troli (bas yang dikuasakan dengan kabel elektrik) terbabas dan terjunam ke dalam tasik.

Tanpa berfikir panjang, Shavarsh berlari ke arah bas itu dan terjun ke dalam tasik. Dia menyelam sedalam 15 kaki dan menendang cermin bas untuk menyelamatkan mangsa. Kaki kirinya luka akibat terkena serpihan cermin.

Selamatkan seramai yang mungkin

Walaupun mengalami luka teruk tetapi Shavarsh tahu dia kesuntukan masa. Dia menyelam lebih daripada 40 kali dan menyelamatkan mangsa seramai yang boleh. Abangnya iaitu Kamo yang juga jaguh renang berada di permukaan air bagi membantu membawa naik mangsa yang diselamatkan Shavarsh.

shavarsh karapetyan

Shavarsh terus menyelam sehingga anggota penyelamat merayu supaya dia berhenti. Pada selaman terakhirnya, Shavarsh timbul membawa kusyen tempat duduk kerana mengalami halusinasi akibat kekurangan oksigen dan hampir pengsan.

Shavarsh berjaya menarik naik sebanyak 37 penumpang tetapi hanya 20 daripadanya sahaja yang selamat. Sembilan penumpang lagi berjaya menyelamatkan diri sendiri melalui tingkap yang pecah.

Jaguh renang itu hanya membalut luka di kakinya dan pulang ke rumah. Pada petang yang sama, suhu badannya naik mendadak dan dia mengalami sawan. Shavarsh dibawa ke hospital dan dirawat dalam unit kritikal.

Suhu sejuk, air tercemar dan luka di kakinya menyebabkan Shavarsh mengalami radang paru-paru dan keracunan darah. Dia terlantar selama tiga minggu sebelum mampu berjalan. Walaupun selamat, karier sukannya hampir musnah.

Wira yang tidak didendang

Beberapa akhbar mahu menyiarkan berita kejadian itu tetapi tidak dibenarkan. Menurut Shavarsh, berita bas troli jatuh ke dalam tasik itu disekat bagi menjaga nama baik Kesatuan Soviet di mata dunia.

shavarsh karapetyan

Shavarsh cuba kembali dalam sukan finswimming tetapi sistem pernafasannya telah terjejas akibat kejadian bas troli itu. Walau bagaimanapun, dia masih mampu mencipta rekod dunia dalam acara 400 meter di Kejohanan Kesatuan Soviet serta satu pingat emas dan gangsa di Kejohanan Eropah di Hungary.

Shavarsh akhirnya bersara awal pada usia 24 tahun dengan 11 rekod dunia, 17 pingat kejuaraan dunia, 13 pingat kejuaraan Eropah dan 7 pingat kejuaraan Kesatuan Soviet.

Namun, kisah Shavarsh sebagai wira hanya diketahui umum pada 1982 apabila seorang wartawan menerbitkan berita itu dalam akhbar Komsomolskaya Pravda di Moscow. Berita itu tidak menyebut tentang kematian penumpang tetapi menonjolkan keberanian yang ditunjukkan Shavarsh.

Seorang wira sejati

Dalam sekelip mata, nama Shavarsh Karapetyan diangkat sebagai wira Kesatuan Soviet. Dia diberikan pelbagai anugerah dan menerima ribuan surat penghargaan daripada orang ramai.

Walaupun terkenal, Shavarsh masih tetap suka memberikan pertolongan kepada orang ramai. Pada tahun 1985, Kompleks Sukan dan Konsert di Yerevan mengalami kebakaran. Shavarsh yang berada berhampiran meluru masuk untuk menyelamat mangsa yang terperangkap.

Sebelum kejadian bas karam lagi, Shavarsh pernah menjadi wira. Pada 1974, pemandu bas yang dinaiki Shavarsh terlupa untuk menarik brek tangan ketika keluar untuk memeriksa enjin. Shavarsh sempat meluru ke tempat pemandu dan menarik brek ketika bas berundur dengan sendirinya di jalan yang agak curam.

shavarsh karapetyan olimpik

Shavarsh kemudian berpindah ke Moscow dan menjalani kehidupan biasa dengan membuka sebuah syarikat kasut. Namun, dia tidak pernah dilupakan malah diberikan penghormatan untuk membawa obor Olimpik Musim Sejuk di Sochi pada tahun 2014.

Walaupun kejadian di Tasik Yereven telah mengorbankan karier sukannya, Shavash berkata dia masih orang yang sama dan akan mengulanginya lagi jika perlu. Dia dianggap ramai sebagai "Superman" bukan sahaja kerana kekuatannya tetapi juga keberaniannya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)