Oleh pada 27 Feb 2019 kategori

Josef Mengele adalah seorang Doktor Nazi yang terkenal kerana kekejamannya dan mendapat gelaran sebagai "Angel of Death". Misi utamanya adalah untuk membangunkan satu kaum terulung untuk kerajaan Nazi.

Dia adalah seorang doktor perubatan yang bertugas di Auschwitz dari May 1943 sehingga Januari 1945 dan telah melarikan diri ketika Kesatuan Soviet mula merancang untuk menyerang Jerman.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tugasnya adalah untuk menjalankan eksperimen dan mengetahui kaedah bagaimana kelahiran kembar berlaku supaya secara saintifiknya dia dapat meningkatkan kelahiran bangsa Aryan untuk tuannya, Adolf Hitler. Kini, sebahagian ahli sejarah mendakwa, eksperimen terkenal Mengele itu mungkin telah berhasil.

josef mengele 222

Josef Mengele

Selama bertahun-tahun lamanya para saintis gagal untuk mengenal pasti bagaimana sebuah bandar kecil di Brazil dapat menghasilkan begitu banyak kelahiran kembar. Kadar kelahiran kembar di bandar Candido Godoi itu ialah 1 dalam 10 dan kebanyakan kembar yang dilahirkan berambut perang dan bermata biru.

Segalanya menjadi lebih misteri apabila penduduk Candido Godoi mendakwa bahawa Mengele pernah melakukan lawatan berkali-kali di sana pada awal tahun 1960-an. Pada awalnya dia mendakwa dirinya adalah doktor haiwan tetapi kemudian mula menawarkan rawatan perubatan kepada wanita di bandar itu.

Mengele yang kerap berpindah randah dari Argentina, Paraguay dan Brazil itu berjaya mengelak daripada dibawa mengelak daripada dibawa ke muka pengadilan sebelum kematiannya pada 1979. Akan tetapi, impiannya untuk membina bangsa Aryan seakan tidak dipenuhi.

jorge camarasa

Jorge Camarasa

Dalam sebuah buku yang diterbitkan bertajuk Mengele: the Angel of Death in South America, seorang ahli sejarah Jorge Camarasa yang juga merupakan pakar sejarah Nazi selepas WWII cuba untuk mengumpul segala bukti mengenai aktiviti Doktor Nazi itu yang masih menjadi misteri.

Namun, selepas bercakap dengan para penduduk Candido Godoi, dia yakin bahawa Mengele telah meneruskan eksperimen genetiknya terhadap kembar selepas tamat perang dan hasilnya amat mengejutkan.

Camarasa juga mendedahkan bagaimana para penternak lembu di Argentina berjaya meningkatkan penghasilan lembu mereka selepas bekerjasama dengan Mengele. Doktor Nazi itu melarikan diri dari Argentina selepas salah seorang rakan Nazi iaitu Adolf Eichmann diculik oleh perisik Israel di sana.

penduduk candido godoi

Camarasa mendakwa bahawa Mengele kemudian mendapat perlindungan di Colonias Unidas, Paraguay. Pada tahun 1963, dia sering melakukan lawatan ke salah satu lagi daerah yang dipenuhi komuniti Jerman berdekatan sempadan Brazil iaitu Candido Godoi.

Tidak lama selepas itu, bandar Candido Godoi mula menyaksikan fenomena kelahiran kembar. Camarasa berpendapat bandar Candido Godoi mungkin menjadi makmal baru kepada Mengele, di mana akhirnya berjaya memenuhi impiannya untuk mewujudkan bangsa Aryan berambut perang dan bermata biru.

Terdapat banyak testimoni bahawa Mengele pernah merawat kaum wanita di bandar itu, mengikuti perkembangan kehamilan mereka, menyediakan pelbagai ubat dan kaedah rawatan yang baru.

lembu kembar

Selain itu, Mengele juga pernah membincangkan tentang persenyawaan sperma buatan manusia dengan menyatakan dia telah melakukannya terhadap lembu dan berjaya menghasilkan kelahiran lembu kembar.

Salah seorang petani tempatan, Aloisi Finkler, memberitahu ketika ditemubual oleh Camarasa, Mengele pernah bertanya tentang penyakit yang ada pada haiwan ternakan mereka. Doktor itu juga memberi jaminan supaya tidak berasa risau kerana dia dapat menyembuhkan haiwan peliharaan mereka itu. Ketika itu Mengele dipandang tinggi dan dihormati penduduk setempat.

Seorang lagi petani iaitu Leonardo Boufler berkata bahawa Mengele pergi dari satu ladang ke ladang yang lain untuk memeriksa haiwan ternakan mereka. Doktor itu menyuntik ubat pada haiwan yang dijangkiti penyakit.

josef mengele ketika tua

Josef Mengele ketika usia tua

Doktor itu mendakwa dia boleh melakukan persenyawaan sperma untuk haiwan dan manusia tetapi para petani berfikir ia adalah mustahil kerana mereka pertama kali mendengar tentang perkara itu.

Akan tetapi, doktor yang pakar dalam penyelidikan untuk meningkatkan kualiti penghasilan populasi manusia itu tidak hanya menumpukan kajiannya pada haiwan sahaja.

Seorang doktor dan bekas Datuk Bandar Candido Godoi iaitu Anencia Flores da Silva berusaha untuk menyelesaikan misteri di bandar itu. Dia telah menemuduga beratus-ratus orang dan siasatannya tertumpu kepada seorang pakar perubatan yang menggelarkan dirinya sebagai Rudolph Weiss.

kembar mengele

Doktor da Silva berkata, dalam kebanyakan testimoni yang diberikan menunjukkan ramai wanita telah menerima rawatan daripada Doktor Rudolph Weiss ini.

Doktor itu akan melawat dari rumah ke rumah dan dia akan memberikan wanita yang mempunyai masalah urat varikos dengan ubat yang dibawanya dalam botol atau dalam bentuk tablet. Doktor itu juga akan melakukan rawatan pergigian dan semua pesakitnya mendakwa doktor itu pernah mengambil sampel darah mereka.

Sebahagian besar penduduk Candido Godoi kini sedar bahawa Doktor Rudolph Weiss sebenarnya adalah Josef Mengele, seorang penjenayah perang Nazi dan merupakan tetamu yang tidak diundang ke bandar mereka selama beberapa tahun pada awal 1960-an.

pintu gerbang candido godoi

Kini, lencana bandar Candido Godoi memaparkan dua identiti yang dikenali oleh pelawat yang berkunjung iaitu "Komuniti Pertanian dan Bandar Kembar". Di bandar itu juga terdapat sebuah muzium yang dinamakan sebagai House of the Twins.

Walaupun kadar kelahiran kembar adalah berbeza-beza di setiap negara iaitu 1 dalam 80 kelahiran, namun statistik 1 dalam 10 kelahiran di Candido Godoi telah membuatkan Camarasa berasa yakin dengan tuntutannya bahawa Mengele telah melakukan ujikajinya untuk menghasilkan satu bangsa terulung di sini.

Tidak ada sesiapa begitu pasti bilakah Mengele tiba di Candido Godoi tetapi kembar pertama dilahirkan pada tahun 1963, tahun di mana penduduk bandar itu pertama kali mendengar tentang kehadiran Doktor Rudolph Weiss.

Rujukan:

1. Telegraph

2. BBC

3. New York Times




Hakcipta iluminasi.com (2017)