Kredit foto: Instagram Yassin Yahya

Pelawak Yassin Senario akui menjadi seorang pelawak bukanlah peranan yang mudah.

Apatah lagi perlu berhadapan dengan harapan tinggi penonton terhadap bahan jenaka yang disampaikan.

Yassin berpesan supaya para pelawak jangan 'over confident' kerana boleh membuatkan penonton meluat.

Sebaliknya, lawak yang dipersembahkan perlu ada kawalannya demi mengelakkan kesan yang tidak diingini.

"Sebenarnya bergelar sorang pelawak memang susah kerana setiap orang mahukan persembahan terbaik melalui bahan jenaka yang dipersembahkan.

"Pelawak juga perlu bijak mengawal situasi apabila berjenaka kerana jika lawak itu tak dikawal, kita akan jadi 'over confident' seterusnya buat orang menyampah," katanya memetik laporan portal Astro Gempak.

Yassin membuat kenyataan tersebut di Majlis Sidang Media Pengumuman Karnival Jelajah Mesra Medan Jodoh 2017 yang berlangsung di 137 Cafe Bistro Ampang, Pandan Indah, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Yassin menegaskan akan kepentingan berlawak tanpa menyinggung hati mana-mana pihak.

Ujarnya, pelawak haruslah mempersiapkan diri dengan ilmu supaya tidak dilabel 'syok sendiri'.

"Ilmu amat penting dalam mencari bahan jenaka kerana kita juga tak mahu dilihat seperti syok sendiri," katanya.

Karnival Jelajah Mesra Medan Jodoh 2017 dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 15 Oktober ini di lokasi Padang Anam, Batu Anam, Segamat Johor.




Hakcipta iluminasi.com (2017)