ilya buang sakit jantung

Kredit foto: Instagram Sepahtu Reunion Live Official

    

Pelakon dan pelawak kumpulan Sepahtu, Ilya Buang mendedahkan dia disahkan menghidap penyakit jantung selepas menjalani pemeriksaan di Hospital Putrajaya.

Bekas anggota Senario itu memberitahu Harian Metro, dia awalnya menyangka diserang gastrik ketika berasa sakit dada dan lenguh di tangan kiri dan bahu.

Sewaktu itu beliau dalam perjalanan menuju ke kedai makan miliknya yang terletak di Bangi, selepas menghadiri majlis perkahwinan saudaranya di Shah Alam, Selangor pada 14 September lalu.

"Saya sangkakan gastrik kerana pernah berdepan situasi itu sebelum ini. Secara kebetulan saya ternampak papan tanda Hospital Putrajaya lalu bergegas ke sana," kata pelawak berusia 52 tahun itu.

Ilya berkata, sejurus pemeriksaan di bahagian kecemasan, dia ditahan di wad selama tiga hari kerana disyaki menghidap sakit jantung.

"Doktor maklumkan saya bernasib baik kerana datang awal dan sekarang bermulalah episod baru dalam kehidupan," katanya yang juga penghidap diabetes dan darah tinggi sejak 10 tahun lalu.

Menurut Ilya, dia tidak lagi memikirkan soal jangka hayat, sebaliknya lebih memberi tumpuan kepada kebaikan yang dapat dilakukan sewaktu masih hidup.

"Sebaik mengetahui menghidap penyakit ini, saya hanya mendiamkan diri. Pada ketika itu saya merasakan tiada harapan untuk kembali aktif.

"Buat masa ini pergerakan saya terbatas, malah pihak produksi juga sedia maklum masalah kesihatan ini," katanya yang setakat ini hanya terlibat dengan kerja ringan.

Ilya menganggap kesibukan kerjaya seni termasuk komitmen menguruskan kedai makan menjadi faktor kesihatannya terjejas.

   

biodata pak ya

Kredit foto: Instagram Ilya Sepahtu

   

"Setakat ini saya menjalani rawatan susulan di klinik kerajaan dan pada 10 Oktober ini akan menjalani ujian tekanan di Hospital Putrajaya.

"Jika keputusan tidak memuaskan, saya mungkin dirujuk ke Institut Jantung Negara," katanya.

   

Sumber berita: Ilya Hidap Sakit Jantung

   



Hakcipta iluminasi.com (2017)