Jika beberapa tahun dahulu, usahawan dari Asia berebut-rebut hendak meletakkan diri menjadi pemilik kelab bola sepak di Eropah, kini dah tiba giliran selebriti-selebriti terkenal melakukannya.

Banyak pihak melihat pelaburan dalam kelab bola sepak, sama ada sebagai pemilik atau sebagai seorang pemegang saham mampu memberikan pulangan yang lumayan kepada mereka yang berani mengambil risiko.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mungkin itulah sebabnya kerajaan Qatar dan Arab Saudi turut mengikut langkah sama. Berikut adalah lima selebriti yang telah melabur wang dalam kelab bola sepak, bergelar tuan punya sebuah pasukan profesional serta semua fasiliti yang ada.

1. Ryan Reynolds - Wrexham AFC

ryan reynolds wrexham afc

Nama Ryan Reynolds tidak perlu diperkenalkan lagi, kerana beliau sedang berada di puncak karier.

Terkenal sebagai pelakon utama siri filem Deadpool, Reynolds memanfaatkan pendapatannya dengan menceburi bidang perniagaan sebagai pelabur dalam syarikat minuman keras Aviation American Gun, syarikat telekomunikasi Mint Mobile dan terbaru adalah menjadi pemilik bersama kelab bola sepak profesional Wrexham AFC dari Wales.

Bersama rakan kongsi dan juga pelakon Rob McElhenney, permohonan Reynolds dan McElhenney untuk menjadi pemegang saham utama kelab itu diluluskan pada bulan Februari tahun 2021, dengan nilai pembelian sebanyak £2 juta atau sekitar RM10.39 juta.

Ketika ini Wrexham AFC sedang bersaing dalam divisyen ke-5 liga di England.

Ditubuhkan sejak tahun 1864, Wrexham AFC mempunyai stadium dengan kapasiti penonton 10,770 orang, adalah kelab bola sepak tertua di Wales serta merupakan kelab ke-3 paling awal ditubuhkan dalam sejarah sukan bola sepak dunia.

2. Elton John - Watford

elton john pemilik watford

Penglibatan vokalis legenda Elton John dengan bola sepak, mempunyai sejarah yang sangat panjang khususnya sebagai peminat kelab Watford FC. Beliau sudah dibawa ke stadium milik Watford, dinamakan Vicarage Road sejak kecil oleh ayahnya ketika baru berusia 5 tahun.

Kejayaan dalam industri hiburan membawa kepada undangan untuk John menyertai pentadbiran kelab itu dalam dekad 1970-an sebagai timbalan presiden, sebelum dia naik menjadi pemilik Watford FC pada tahun 1976, turut bertindak sebagai presiden.

Semasa baru dilantik, Watford duduk ditangga terbawah divisyen jadi John melantik pengurus legenda England, Graham Taylor untuk mengemudi pasukan tersebut sehingga kelab itu berjaya ke liga Perdana Inggeris, selain layak menyertai Piala UEFA.

John menjual hak milik kelab itu pada tahun 1990, membelinya semula pada tahun 1997 dan akhirnya mengumumkan mahu bersara daripada kelab itu sepenuhnya pada tahun 2002.

Dia kekal aktif menjayakan konsert bagi mengumpul dana kelab, sering mengatur konsert-konsert di Vicarage Road sehingga ke hari ini. Watforfd ketika ini sedang bersaing dalam divisyen kedua England, selepas disingkirkan daripada liga perdana dalam musim 2021-2022.

Berikutan prestasi turun naik Watford, Elton John sudah menyatakan minat untuk kembali membantu kelab itu dalam apa saja kapasiti yang boleh.

3. Will Ferrell - LAFC

lafc will ferrell

Sukar kan untuk mempercayai pelawak Will Ferrell telah dilantik sebagai pemilik kelab bola sepak Los Angeles FC, sehinggakan ketika pengumuman itu dibuat pada 8 Januari 2016 - banyak pihak menganggap kenyataan itu adalah satu jenaka.

Los Angeles FC atau LAFC adalah sebuah kelab yang baru ditubuhkan pada tahun 2014, beroperasi di Los Angeles, California dengan stadium berkapasiti 22,000 orang penonton.

Berbeza dengan kebanyakan kelab bola sepak lain, LAFC membuka pelaburan kepada umum membolehkan sesiapa saja yang mereka rasakan layak untuk melabur, sebagai pemilik bersama LAFC. Tiga orang dilantik sebagai pentadbir, bertanggungjawab mengurus perjalanan kelab atas persetujuan bersama.

Tahukah anda apakah hubungan LAFC dengan Malaysia? Vincent Tan, pemilik kumpulan Berjaya merupakan antara bekas pemilik terbesar LAFC namun pegangan sahamnya telah selamat dijual sekitar tahun 2020.

Ruben Gnanalingam, anak kepada Pengerusi Westports Malaysia Sdn. Bhd, G. Gananalingam juga merupakan antara pemilik bersama kelab ini.

4. Natalie Portman - Angel City FC

natalie portman angel city fc

Jika anda rasa Will Ferrell dilantik sebagai pemilik bersama kelab bola sepak, anda pasti rasa lebih aneh mengetahui pelakon cantik Natalie Portman bukan saja pemilik tetapi juga pengasas sebuah kelab bola sepak Amerika Syarikat bernama Angel City FC.

Angel City FC ditubuhkan untuk bersaing dalam Liga Bola Sepak Kebangsaan Wanita Amerika Syarikat, selepas Portman melihat wujud jurang yang besar di antara ketidaksamaan dalam isu pendapatan dan hak atlet bola sepak lelaki berbanding wanita.

Idea Portman untuk menyediakan platform lebih baik kepada pemain wanita dalam sebuah kelab, diajukan kepada beberapa orang wanita usahawan berpengaruh di Los Angeles.

Mendapat maklum balas positif atas idea itu, usaha untuk mewujudkan kelab itu mendapat sokongan kerajaan tempatan Los Angeles sendiri kerana belum ada kelab wanita khusus dari sana bertanding dalam liga kebangsaan.

Kelab itu mendapat suntikan dana daripada selebriti lain seperti pemain tenis Serena Williams, pelakon Eva Longoria, dan juga bintang bola sepak Amerika Syarikat, Mia Hamm dalam usaha memulakan penubuhan kelab tersebut.

Kini Portman bersama dua lagi rakannya (kesemuanya wanita) sibuk menguruskan pergerakan kelab bola sepak tersebut. Mereka selamat menyertai liga kali pertama dalam musim 2022, berkongsi stadium dengan LAFC sebagai rumah mereka.

5. Matthew McConaughey - Austin FC

matthew mcconaughey austin fc

Austin FC merupakan sebuah kelab bola sepak yang baru bermula pada tahun 2018, bertapak di bandar Austin, Texas.

Tertubuhnya kelab ini adalah sinambungan kepada perubahan yang dilakukan sebuah konglomerat sukan bernama Precourt Sports Venture, mahu memperkembangkan pembangunan jenama sukan mereka ke Austin, selepas membangunkan kelab Colombus City SC di Ohio.

Bagi membantu perkembangan kelab di Austin, suntikan dana yang besar diperlukan. Jadi Matthew McConaughey, seorang warga tempatan berasal dari Texas yang mempunyai pengaruh besar serta poket besar - ditawarkan peluang untuk menjadi salah seorang pemilik bersama kelab yang bakal ditubuhkan itu.

Dia menerima tawaran tersebut, dengan harapan usaha membangunkan kelab bola sepak profesional di sana dapat membantu perkembangan bandar tersebut dengan lebih baik. Persetujuan kerjasama itu diumumkan pada bulan Ogos tahun 2019.

Sebagai pemilik bersama, McConaughey dikatakan tidak banyak terlibat dalam urusan pentadbiran kelab.

Sebaliknya dia lebih gemar menggunakan pengaruh dan kredibiliti beliau, untuk mencorak budaya kelab itu seiring dengan kehendak penduduk tempatan serta menjadi maskot tidak rasmi kelab itu ketika perlu di stadium.




Hakcipta iluminasi.com (2017)