Oleh pada 01 Jan 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Iqram Dinzly

Tampil berperangai pelik di laman Instagram, Iqram Dinzly akui berasa tertekan.

Bagaimanapun, aktor ini nafi dia tertekan kerana pemergian arwah bapanya, sebaliknya kerana kecaman netizen di media sosial.

“Tekanan? Adalah sedikit mengalami tekanan. Bagaimanapun, tekanan itu bukanlah berpunca daripada pemergian arwah bapa saya, sebaliknya saya tertekan dengan manusia bernama netizen ini.

“Mereka sesuka hati mahu mengecam orang dan menabur fitnah yang bukan-bukan. Siapa mereka untuk berbuat demikian? Pelbagai kata-kata yang tidak sepatutnya dilemparkan kepada saya, jadi saya pulangkan semula kepada mereka, tetapi ada pula yang berasa diri mereka terancam,” ujarnya kepada Kosmo Online.

Sebelum ini, pelakon sensasi ini dilempar dengan pelbagai spekulasi, termasuk ada yang mengatakan dia mempunyai masalah mental.

Iqram berkata, jika benar dakwaan yang diperkatakan, dia rela menerima kedatangan mana-mana pihak ke rumahnya untuk menghulurkan bantuan.

“Kalau betul ada pihak yang ingin membantu daripada aspek kaunseling, saya mengalu-alukan kedatangan mereka. Bagaimanapun, dengan syarat bukanlah hanya perjumpaan kosong, sebaliknya mempunyai inisiatif untuk bersama-sama dalam membantu netizen di luar sana dengan memberi motivasi kepada mereka agar jangan sewenang-wenangnya menabur fitnah,” kongsinya sambil mengatakan dia masih belum bertemu mufti selepas dipelawa tempoh hari.

Dalam pada itu, Iqram mengakui ada di kalangan rakan artis yang prihatin menghubunginya secara peribadi.

“Ada yang menghubungi saya termasuklah Erma Fatima, Usop Wilcha dan lain-lain lagi. Mereka memang mengenali diri saya, jadi tahu kedudukan sebenar,” katanya.

Sementara itu, Iqram berkata, dia tidak mempunyai perancangan untuk menutup akaun laman sosial walaupun sering dihentam netizen di ruangan komen.

“Untuk apa saya tutup? Saya tak perlu takut dengan netizen,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Iqram bersama ibunya, Lalitol Akmar Mohamed Shaffie, 67, bakal mengembangkan bisnes pakaian di bawah jenamanya, Bawaabata Merebucks.

“Saya memang mahu mempopularkan jenama tempatan sendiri terutamanya di Ipoh, Perak. Insya-Allah, mungkin satu hari nanti saya mahu kembangkan koleksi bersama ibu saya pula,” katanya yang akur dilabel netizen sebagai seorang yang gemarkan perhatian.

Sumber berita: Kosmo Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)