Oleh pada 23 Dec 2017 kategori

Kredit foto: Beautifulnara

Aktor Iqram Dinzly, 36, mendedahkan aksi pelik dalam beberapa rakaman di media sosial yang dimuat naiknya hanyalah sekadar gimik awal untuk mempromosikan perniagaan.

Demi memperkenalkan perniagaan barunya di bawah jenama Bawaabata Merebucks, Iqram sanggup 'menggadaikan diri' dan berhadapan kecaman netizen.

"Lebih sedekad dalam industri hiburan, saya akur jika kita berbuat baik tiada siapa yang akan ambil peduli. Tetapi apabila sesekali berkelakuan aneh, mereka akan berterusan memperkatakannya hingga mencetuskan kontroversi.

"Mungkin ada yang melihat cara saya ini sebagai pemberontakan, tetapi saya ada sebab tersendiri mengapa berbuat demikian. Saya perlu melakukan anjakan dengan niat untuk memperkenalkan perniagaan merangkumi fesyen dan seni dengan lebih jauh," katanya memetik laporan portal BH Online.

Sikap pelik Iqram kebelakangan ini yang ada kalanya menyentuh sensitiviti masyarakat bukan sahaja menimbulkan kecaman daripada netizen, malah ramai mula menganggap dia sudah tidak waras.

peminat tertipu rupanya aksi pelik iqram dinzly hanya gimik 2

Kredit foto: Instagram Iqram Dinzly

"Cara netizen mengadili saya seolah-olah mereka terlalu suci dan sempurna. Alang-alang menyakitkan hati, lebih baik saya teruskan. Lagipun, apa yang saya buat ini hanya sementara nanti saya akan berhenti," kata Iqram.

Tentang isu dia membalas kritikan netizen dengan melontarkan kata-kata kesat, Iqram menjelaskan tindakan itu menjadi cermin kepada pemikiran masyarakat hari ini yang terlalu obses dengan media sosial.

"Jika mereka dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan perkataan kesat, mengapa saya tidak boleh? Saya mahu sedarkan masyarakat perbuatan itu tidak elok. Jika mereka sakit hati dengan kata-kata yang dilemparkan, saya juga begitu," katanya yang kini menetap bersama ibunya di Ipoh.

Dalam perkembangan lain, Iqram menyuarakan minat untuk kembali ke bidang lakonan. 

"Tawaran berlakon masih ada, tetapi saya menolak kerana menghormati pemergian arwah bapa pada 10 Oktober lalu. Saya masih bersedih dan kehilangannya membuatkan saya tidak lagi kuat mengharungi dugaan hidup," ujarnya.

Iqram berkata, jika ada tawaran, dia akan mempertimbangkan terlebih dahulu watak yang diberikan.

"Jika ada naskhah filem atau drama yang baik dan bayaran diberikan pula setimpal, saya akan pertimbangkan," katanya.

Sumber berita: BH Online 




Hakcipta iluminasi.com (2017)