Kredit foto: siakapkeli.my
Aktor, Iqram Dinzly, yang viral selepas tampil dengan beberapa video pelik di laman Instagram, barangkali berhadapan tekanan perasaan, kemurungan dan masalah dalam kerjaya.
Ketua Unit Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Fauziah Mohd Saad memberitahu, Iqram perlu mendapatkan rawatan psikiatri untuk menyelesaikan masalah mental yang dihadapinya itu.
"Kita patut bersimpati kepada dia kerana baru kehilangan bapanya. Kematian orang tersayang boleh menyebabkan kemurungan dan tekanan apatah lagi Iqram kehilangan bapanya baru-baru ini.
"Jalan terbaik ialah dia perlu jumpa pakar sakit jiwa bagi memastikan di mana stage yang dilaluinya itu dan mendapatkan rawatan yang sesuai," ujarnya memetik portal Mstar Online.
Beliau membuat kenyataan tersebut berhubung kontroversi aksi-aksi pelik dan lucah Iqram yang tular di media sosial.
Kredit foto: kisahlogik.blogspot.my
Fauziah berkata, masalah kewangan juga mampu mempengaruhi keadaan psikologi seseorang.
Namun, berdasarkan cara Iqram berkomunikasi di laman sosial menampakkan dia masih berada di peringkat awal.
"Selain itu kurang job dan kedai di Langkawi dia ditutup juga sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada psikologinya.
"Saya kira dia boleh bercakap dengan baik mungkin kerana dia pelakon dan kita sukar untuk menjangkakan stage dia sekarang. Dulu ada juga seorang penyanyi yang mengalami masalah yang sama, malah pulih dan kembali sihat selepas mendapatkan rawatan," ujarnya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar berkata, pihaknya sedang dalam percubaan untuk mendapatkan pelakon itu.
Jelasnya, Iqram perlu meraih sokongan daripada semua pihak khususnya teman-teman rapat beliau.
"Pihak kami cuba menghubungi dia sejak pagi tadi selepas ramai yang memberitahu tentang video pelakon itu yang kini menjadi viral.
"Pendapat saya dia sangat memerlukan bantuan pada masa ini. Orang sekeliling perlu bertindak segera membantu dia sebelum perkara buruk berlaku," kata Anita yang juga pernah mempunyai sejarah masalah tekanan mental.
Tambahnya, Iqram sudah menunjukkan tanda-tanda "cry for help" berdasarkan perwatakannya.
Anita menggesa netizen supaya berhenti menghina pelakon itu kerana ia akan menambahkan lagi tekanan yang dihadapinya.
"Masyarakat perlu beri sokongan dan hentikan hinaan kerana akan membuatkan dia lebih parah. Penyanyi Kpop baru-baru ini juga mengalami perkara yang sama dan tidak mendapat bantuan sehingga menyebabkan dia membunuh diri," ujarnya.
Sumber berita: Mstar