Sebagaimana yang diketahui umum, Johan As'ari merupakan antara selebriti terawal yang mendekati Iqram Dinzly selepas aktor itu menjadi tular gara-gara berkelakuan pelik.
Menerusi wawancara secara langsung dalam Facebook Sinar Harian, Johan mengatakan perangai 'gila' Iqram itu sebenarnya mempunyai motif tertentu.
Katanya, sejurus memadamkan kamera, Iqram akan berkelakuan normal seperti manusia lain.
"Sebenarnya abang Iqram okay. Dia tak gila tapi dia buat gila-gila. Bila on je live video dia akan jadi karakter lain, jadi gila-gila. Tapi bila off video dia akan jadi macam kita, macam orang biasa," kata Johan.
Malah, Johan menyatakan bahawa rakannya itu telah berjaya menjana pendapatan melalui 'gimik' perniagaan yang dirancang.
"Dengan cara begini dia dapat duit. Itu bisnes yang bagus. Duduk rumah dapat duit. Beberapa produk dah masuk dengan dia. Dia dibayar. Alhamdullillah, abang Iqram bijak mencatur kehidupan dalam bisnes," beritahunya.
Johan menganggap apa yang dibuat Iqram adalah satu kelebihan yang terletak pada dirinya.
"Saya tak pandai buat begitu. Pemasaran dengan cara buat gila-gila. Bila sendiri, normal macam kita," katanya lagi.
Penjelasan Johan itu sekaligus meleraikan persoalan tentang punca sebenar Iqram menjadi 'gila'.
Kredit foto: Instagram Johan As'ari
Sumber berita: Sinar Harian