Oleh pada 10 Jan 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Iqram Dinzly & Instagram Caprice

Penyanyi, Caprice, menganggap aktor Iqram Dinzly yang mencetuskan sensasi di media sosial sebenarnya sedang berada dalam keadaan tidak sihat.

Meluahkan pendapatnya di laman Instagram, penyanyi rap itu berkata, Iqram memerlukan bantuan dalam bentuk rawatan.

"Iqram Dinzly telah menjadi viral. Dia menari di depan kamera, bercakap bukan-bukan di depan kamera, dan saya melihat dia sebagai seorang yang tidak sihat. Dia sebenarnya sedang meminta pertolongan," kata Caprice dalam sebuah kiriman video yang menjadi tular.

Merasakan Iqram sedang dibelenggu penyakit kemurungan, Caprice bagaimanapun turut menyalahkan mereka yang berada di sekeliling aktor itu sebagai sebahagian daripada masalah berkenaan.

Beliau menuding jari kepada pihak media yang menemubual Iqram, pendakwah yang menyerangnya termasuk netizen yang mengecam di media sosial.

"Pihak media telah menemubualnya, dan terbaru, dia muncul di Melodi dan memanggil baginda Rasulullah ‘Che Mat’. Kini masyarakat yang kuat agama menyerangnya.

"Sekiranya anda menyerang dan menimbulkan provokasi terhadapnya di media sosial, andalah sebahagian dari masalah ini (kurang kesedaran mengenai penyakit kemurungan).

"Sekiranya anda ialah pihak media yang membenarkan dia bercakap pelik-pelik di televisyen, sekiranya anda seorang ustaz dan anda kini menyerangnya, anda juga adalah sebahagian dari masalah ini," katanya.

Caprice turut tampil dengan penjelasan di sebalik teori yang diutarakan.

"Anda sepatutnya tidak menyerang dan memprovokasi seorang yang seorang yang ‘tidak sihat’. Anda boleh lihat semua ini. Memang jelas dia tidak sihat. Sepatutnya anda tidak mempersendakan dia. Tidak perlu tanya dia apa-apa soalan, dia perlukan pertolongan.

"Sekiranya anda kumpulkan semua orang gila di KL, biarkan mereka muncul di televisyen, berikan mereka mikrofon seorang satu, dan mereka bercakap benda-benda yang pelik, adakah anda salahkan mereka kerana cakap benda pelik, atau salahkan stesen TV yang menjemput mereka?

"Dia hanya perlukan pertolongan dan rawatan," katanya.

Terdahulu, Iqram ditemubual dalam rancangan siaran langsung Melodi untuk segmen baharu, Cerita Sini Habis Sini.

Dalam wawancara bersama penerbit Michelle Wee itu, Iqram menggelarkan Nabi Muhammad SAW sebagai Che Mat, lantas menerima kecaman hebat daripada netizen kerana tindakannya yang dianggap melampau.

Malah, seorang ustaz menganggap gelaran yang diberikan pelakon itu adalah penghinaan terhadap Nabi Muhammad.

Sumber berita: Beautifulnara




Hakcipta iluminasi.com (2017)