Sejarah dunia telah menunjukkan bukti berlakunya banyak perpecahan sesebuah masyarakat.

Sebagai contoh, Vietnam dahulu ada Vietnam Utara dan Vietnam Selatan. Jerman Timur dan Barat dipisahkan melalui tembok Berlin. Sementara negeri-negeri Itali telah melalui proses unifikasi panjang yang menyatukan mereka semua di bawah satu sistem pentadbiran.

Namun bukan semua masyarakat dunia berjaya menjalani proses penyatuan ini dengan berjaya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Korea Utara dan Korea Selatan

sejarah perang korea

Salah satu pembelahan negara yang menimbulkan kontroversi besar, 'perang dingin' antara kedua-dua negara Korea yang sebenarnya serumpun terus berjalan hingga kini.

Kami pun sudah melaporkan tentang insiden pengeboman bangunan yang dikongsi kedua-dua buah negara yang berlaku pada 17 Jun 2020. Kenapa dua negara serumpun ini mereka berpecah dua?

Sejarahnya, Korea merupakan satu empayar sejak bermulanya Dinasti Silla pada abad ke 7 dan terus kekal sehinggalah era Dinasti Joseon, pada awal abad ke 20. Empayar Korea jatuh ke tangan Jepun bermula 1910 sebelum Jepun tewas tahun 1945, menyebabkan Amerika Syarikat dan Soviet mula berebut kuasa pentadbiran di situ.

Kerajaan Amerika Syarikat melukis garis sempadan, membahagikan Korea kepada dua - utara milik Soviet untuk mentadbir sementara Selatan diletak di bawah kuasa mereka, dengan perancangan untuk kedua-duanya disatukan pada tahun 1948 di bawah pentadbiran warga tempatan.

korea utara dan selatan dmz

Namun perang ideologi terus memisahkan kedua-dua kawasan, selepas Amerika melantik Presiden Syngman Rhee yang anti komunis sebagai Presiden pertama Korea Selatan.

Soviet pula melantik pemimpin pro Komunis, Kim Il-sung yang juga seorang tentera berpangkat Mejar dalam angkatan Red Army Soviet, sebagai pemimpin utama Korea bahagian utara.

Usaha Kim Il-sung menyatukan Korea di bawah pentadbiran Komunis pada tahun 1950 memulakan Perang Korea, yang akhirnya menyebabkan kedua-dua negara kini membawa haluan berbeza serta mengalami nasib yang sangat berlainan sekali.

Cyprus dan Cyprus Utara

cyprus dan cyprus utara

Kewujudan dua buah negara berbeza iaitu Cyprus Utara dan Cyprus di sebuah pulau yang terletak berhampiran Greece, Lebanon dan Turki, merupakan solusi yang digunakan bagi menyelesaikan konflik antara kedua-dua komuniti yang ada di dalamnya.

Bagaimanapun, perlu kita ketahui - masyarakat antarabangsa secara rasmi hanya mengiktiraf kewujudan negara Republik Cyprus. Ini menandakan kewujudan Cyprus Utara yang setakat ini hanya diiktiraf oleh Turki, dianggap tidak sah dan isu kewujudan Cyprus Utara kekal bergolak sehingga ke hari ini.

Selepas kejatuhan Empayar Uthmaniah, Pulau Cyprus bertukar hak milik kepada Empayar British menyebabkan komuniti etnik Turki yang sudah mendiami pulau tersebut bertindak meninggalkan rumah mereka, menjadikan penduduk beretnik Turki di situ sebagai kumpulan minoriti.

Kemerdekaan berjaya dicapai Cyprus pada tahun 1960 setelah melalui beberapa siri rundingan, dengan dua syarat utama kerajaan Britain perlu dipatuhi.

Dua syarat utama itu adalah etnik Greek Cyprus yang majoriti tidak boleh mengusahakan penyatuan semula Cyprus dengan Greece dan etnik Turki Cyprus pula harulsh berhenti untuk memisahkan wilayah utara yang didiami mereka.

pemisahan cyprus

Pada awal tahun 1963 Presiden Cyprus, Archbishop Makarios memperkenalkan pindaan kepada 13 perkara yang dilihat akan melemahkan pengaruh etnik Turki di Cyprus.

Walaupun mendapat tentangan serta dianggap tidak sah di mahkamah, pada 30 November 1963 pindaan tersebut tetap dilaksanakan kerajaan Cyprus sebelum rancangan kerajaan yang dikuasai etnik Greece di situ untuk menyatukan semula Cyprus dengan Greece, terbongkar.

Dalam rancangan tersebut, pemimpin etnik Greece di Cyprus dilihat memberi kebenaran untuk melaksanakan pembersihan etnik ke atas komuniti Turki yang ada bagi memastikan tiada halangan ke atas usaha untuk Cyprus diletakkan di bawah naungan Greece.

Pada 21 Disember 1963, insiden pembunuhan dua orang etnik Turki oleh polis berketurunan Greek berlaku, memulakan konflik panjang yang akhirnya menyebabkan Cyprus terbahagi kepada dua secara tidak rasmi.

Turki kekal menjadi kerajaan dunia yang terus menyokong Cyprus Utara dari segi ekonomi, biarpun kerajaan Cyprus Utara dianggap sebuah kerajaan haram.

Ireland dan Ireland Utara

queen elizabeth dan presiden ireland

Nampak tak tema sama terhadap yang berlaku kepada Korea dan Cyprus; bagaimana campur tangan penjajah akhirnya menyebabkan perbalahan di kalangan ahli masyarakat, yang akhirnya menyebabkan sebuah negara terbelah dua?

Kesan peninggalan yang sama kelihatan cukup jelas kepada masyarakat Ireland, selepas mereka melalui era yang dinamakan sebagai 'The Troubles' atau 'Era Masalah', yang berlangsung hampir 30 tahun.

Pulau Ireland diperintah oleh England sejak abad ke 12, menyebabkan masyarakat mereka perlu berdepan dengan dominasi pihak luar beratus-ratus tahun lamanya. Perseteruan antara England dan masyarakat Ireland didorong oleh isu agama, kerana Ireland dikuasai gerakan Katolik sementara England pula mahu memperkembangkan ajaran Protestan.

Bagi mematikan terus gerakan Katolik, England mengambil langkah kejam, membunuh penduduk asal Ireland dengan alasan enggan bertukar kepada Protestan.

Disebabkan oleh kewujudan tanah-tanah kosong baru tidak bertuan di Ireland, England membawa masuk keluarga-keluarga dari England dan Scotland ke Ireland. Ini menyebabkan kemasukan ramai rakyat luar ke situ menyebabkan pegangan ideologi agama di Ireland, mula dikuasai Protestan sekitar abad ke 18.

Bagi penduduk baru Ireland, mereka mendapat bantuan penuh England kerana memperbaiki kehidupan mereka.

Tindakan ini melahirkan rasa setia kepada England dan juga aliran Protestan, menjadikan penduduk Ireland (yang asalnya pendatang) mula marah apabila penduduk asal Ireland memulakan gerakan 'Home Rule' pada 1870 bagi menyatukan semangat nasionalisme orang asal Ireland serta pendokong Katolik.

Bagi penduduk asal, Ireland milik mereka dan sepatutnya diperintah mereka.

republik ireland bs335

Semangat nasionalisme mendorong penyatuan orang Ireland menyebabkan permintaan gerakan 'Home Rule' mula diterima sebagai sebahagian daripada undang-undang Ireland.

Kumpulan yang setia dengan England dan Protestan tetap enggan menyerah kalah menyebabkan perang saudara mula tercetus antara kedua-duanya iaitu kumpulan pro penduduk pribumi melawan kumpulan berketurunan pendatang.

Pada tahun 1916, pejuang asal Ireland berjaya merampas Dublin, mengisytiharkan penubuhan Republik Ireland yang bebas daripada campur tangan England.

Tindakan itu ditangani dengan keras oleh England, namun gerakan warga asal Ireland tidak lagi dapat disekat kerana telah menjadi terlalu besar.

ireland dan ireland utara peta

Orang asal Ireland berjaya menubuhkan sebuah kerajaan yang berpusat di Dublin pada tahun 1921 selepas pilihanraya.

Perjanjian di antara kerajaan yang berjaya dibentuk dengan England memberikan pilihan kepada 32 wilayah yang ada, sama ada mahu menyertai Republik Ireland atau kekal di bawah penguasaan England.

6 wilayah memilih untuk kekal di bawah England iaitu Fermanagh, Tyrone, Derry, Antrim, Armagh dan Down membentuk Ireland Utara yang terus dibawah pemerintahan Ratu Elizabeth II sehingga kini.

26 lagi wilayah menyertai 'Negeri-Negeri Ireland Bebas' yang akhirnya menjadi Republik Ireland.




Hakcipta iluminasi.com (2017)