kenapa wajah kpop sama saja

Setiap kali terbuka saluran hiburan Korea Selatan percuma di kaca TV penulis, penulis beranggapan yang muncul di kaca televisyen kalau lelaki adalah kumpulan BTS,  sementara jika wanita adalah Blackpink.

Malangnya penulis selalu tersilap. Penulis mempunyai masalah dalam membezakan wajah artis-artis Korea Selatan terkenal ini. Masalahnya, bukan penulis saja yang berpandangan sedemikian rupa; rupa-rupanya banyak lagi pihak menghadapi kesukaran membezakan identiti setiap kumpulan KPOP yang ada dek wajah mereka yang seakan-akan sama.

Lebih lucu, masalah ini turut diakui berlaku oleh kerajaan Korea Selatan sendiri, jadi jelas ini bukanlah masalah disebabkan kita tidak peka atau bersikap rasis. Realitinya memang wajah 'idola KPOP' sama. Kenapa?

Cubaan campur tangan kerajaan yang gagal

menteri korea selatan mogef

Pada bulan Februari tahun 2019, Menteri kepada Kementerian Kesaksamaan Jantina dan Kekeluargaan Korea Selatan (MOGEF) Jin Sun-mee mencetuskan kontroversi selepas kementerian kendalian beliau cuba memperkenalkan beberapa garis panduan baru, bagi mengekang masalah 'wajah serupa' di kalangan artis negara itu.

Hasil daripada kajian yang telah dijalankan kementerian mereka mendapati, terdapat banyak unsur negatif dipromosikan secara terbuka di kalangan penggiat industri hiburan -  mengakibatkan wujudnya tekanan kepada karyawan dan peminat untuk menetapkan standard tatarias wajah sekata dan sama. 

Isu ini mendorong MOGEF memperkenalkan garis panduan agar jumlah artis/selebriti berstatus 'idol' (idola) dalam industri hiburan, dihadkan kemunculan mereka dalam satu-satu tayangan rancangan agar dapat dikurangkan pengaruh stereotaip wajah yang dipopularkan artis 'idola' di sana.

Menurut MOGEF, sebagai badan berkuasa wajar untuk mereka mempersoalkan kenapakah wujudnya keperluan enyamakan setiap anggota kumpulan yang ada, dengan semua anggota memperagakan gaya rambut, wajah, gaya dan solekan sama. 

MOGEF turut mempertikaikan keperluan anggota KPOP  tampil dengan tubuh sangat langsing tak kira lelaki atau wanita yang tidak realistik, serta mengkritik keperluan industri hiburan menekan artis-artis wanita untuk tidak malu mendedahkan tubuh sebagai kaedah promosi utama.

Malangnya niat baik Jin Sun-mee itu mendapat kritikan keras beberapa pihak.

Idea baik mula jadi modal politik

kumpulan apa ni

Bagi pihak yang memahami niat sebenar di sebalik saranan MOGEF, mereka beranggapan syarat tersebut mengandungi usaha kerajaan Korea Selatan dalam memastikan masyarakat mereka dapat keluar dari kepompong 'imej standard' yang telah menghantui mereka.

Ini kerana masyarakat mereka mengakui wujud satu stereotaip 'wajah' yang perlu dicapai setiap artis, baik lelaki mahupun wanita untuk bergelar seorang idola. Standard ini walaupun mencipta imej artis yang bergaya, turut sama mengakibatkan banyak masalah dan isu lain timbul.

Antaranya adalah tekanan kepada artis serta peminat untuk melakukan pembedahan plastik bagi 'menyempurnakan' wajah, mengamalkan diet yang keterlaluan sehingga membahayakan diri sendiri serta penggunaan kaedah-kaedah tidak sihat lain, dalam memastikan 'standard' yang ditetapkan mampu dicapai walau dengan apa cara sekalipun.

Garis panduan bersifat pilihan itu bukanlah satu ketetapan yang wajib diikuti pengendali TV di Korea Selatan, namun mengundang kritikan beberapa orang pemimpin pembangkang yang disokong peminat fanatik artis-artis yang ada.

Pengkritik melihat usaha itu sebagai satu usaha kerajaan campur tangan dalam menetapkan apa yang boleh atau tidak boleh dalam aspek wajah dan tubuh melibatkan individu penggiat industri hiburan tempatan. 

Satu petisyen rasmi dibuat bagi mendesak agar garis panduan itu ditarik balik.

Bagi mereka yang menandatangani petisyen ini, campur tangan kerajaan ke atas isu tersebut tidak sepatutnya berlaku dan kerajaan sepatutnya menggembleng tenaga mereka kepada isu yang dikatakan lebih bermanfaat.

Ekoran tekanan yang dihadapi - dua hari selepas diperkenalkan kertas cadangan MOGEF itu ditarik balik membuktikan betapa berkuasanya industri hiburan Korea Selatan dalam mempengaruhi tindakan peminat serta dasar kerajaan mereka sendiri.

Standard wajah yang sukar dicapai

wajah sama kembar artis kpop korea selatan

Tidak dapat dinafikan, ramai di kalangan artis Korea Selatan secara semulajadinya memang sudah dikurniakan wajah kacak dan cantik, tanpa perlu 'menambahbaik' wajah sendiri.

Tetapi bagi mereka yang 'kurang bernasib baik' dan masih mahu berjaya, jalan paling mudah adalah dengan melakukan pembedahan plastik. Populariti pembedahan plastik di Korea Selatan berada pada kadar tinggi, meletakkan negara itu dalam kedudukan teratas nisbah populasi yang betindak menjalani pembedahan.

Tekanan untuk diterima dalam peringkat sosial juga memaksa ramai rakyat Korea Selatan memilih jalan pembedahan untuk cantik, disebabkan oleh standard penerimaan masyarakat yang terlalu tinggi. Kulit mestilah terlebih cerah dan tubuh pula mesti langsing, memaksa individu yang mahu diterima melakukan banyak perkara kurang sihat.

Vokalis kumpulan Twice, Momo pernah menceritakan bagaimana dia diarahkan untuk mengurangkan berat badan sebanyak 7kg sebelum kemunculan pertama kumpulan beliau yang sudah dijadualkan.

Bagi mencapai sasaran tersebut, Momo memilih jalan sukar hanya menjamah ais dalam tempoh seminggu walaupun ketika itu masih tetap menjalani latihan setiap hari. Perkara sebegitu merupakan kisah biasa yang didengari dalam industri sana. 

Momo gagal mencapai sasaran 7kg dalam seminggu, dibenarkan untuk terus diet tambahan 3 hari - barulah penurunan yang diarahkan tercapai.

Budaya popular yang perlu dibendung

wajah artis kpop sama

Masalah standard kecantikan merupakan antara isu yang cuba diambil berat oleh pihak kerajaan Korea Selatan, malangnya industri hiburan dan penyokongnya telah bersuara; tidak mahu melihat perubahan yang sepatutnya wajar - dapat diperkenalkan.

Sekiranya anda sama seperti penulis, janganlah ingat anda berseorangan. Memang kebanyakan wajah artis KPOP baik dalam filem, drama dan muzik layak dikatakan mirip, kerana mereka mempunyai 'standard kecantikan' yang serupa.

Bukan kita saja tidak mampu membezakan mereka. Menteri dan kerajaan mereka sendiri mempunyai kesukaran sama. Tidak perlu malu atau segan sekiranya anda tidak dapat membezakan BTS dengan EXO, SEVENTEEN atau 2PM, terkeliru di antara Blackpink dengan Twice, Red Velvet atau Everglow.

Mereka dipasarkan untuk memiliki wajah dan tubuh serupa, membawa perwatakan dan identiti yang telah ditetapkan pengendali mereka melalui standard yang telah dibuat serta perlu diikuti setiap anggota untuk berjaya.

Jika anda tidak mampu kenal perbezaan wajah anggota kumpulan KPOP, anda bukanlah seorang rasis atau tidak peka. Ingatkan diri anda, masyarakat mereka pun tak mampu bezakan artis mereka.



Hakcipta iluminasi.com (2017)