Tiada siapa yang gemar berhadapan dengan kesesakan trafik jalan raya ketika memandu. Adakalanya, kesesakan trafik memang tidak dapat dielakkan disebabkan beberapa perkara antaranya kemalangan dan juga kerja-kerja membaiki jalan raya.

Di Malaysia, kesesakan jalan raya juga biasanya terjadi ketika musim perayaan dan musim cuti sekolah dimana kebanyakan rakyat Malaysia akan pulang ke kampung atau pergi bercuti. Kesesakan jalan raya ini semestinya akan melambatkan perjalanan anda. Sebagai contoh, perjalan daripada Kuala Lumpur ke Alor Setar yang biasanya mengambil masa 6 jam mungkin akan mengambil masa 10 - 12 jam ketika musim perayaan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kesesakan trafik jalan raya ini adalah sesuatu yang normal dimana-mana negara sekalipun kerana pertambahan penduduk dan bilangan kenderaan yang menggunakan jalan raya. Malah, di kebanyakan negara kesesakan trafik ini seolah-oleh tidak mempunyai solusi untuk dikurangkan.

Kali ini, kami ingin berkongsi pula kes kesesakan trafik paling dahsyat yang pernah dilaporkan.

Kesesakan jalan raya di China

kesesakan trafik

Mengikut statistik, China merupakan negara yang mempunyai populasi terbesar di dunia. Dengan penduduk melebihi 1 bilion, kesesakan jalan raya sudah semestinya akan berlaku terutamanya di bandar utama seperti Beijing.

Dalam sejarah, kes kesesakan jalan raya paling dahsyat yang pernah dilaporkan berlaku pada tahun 2010 di China. Ianya melibatkan jarak sepanjang 100 kilometer dan terjadi selama 12 hari! Kebanyakan kereta yang terlibat dalam keseakan trafik tersebut hanya bergerak sekitar 1 kilometer sahaja sehari.

jualan makanan ketika kesesakan trafik

Akibat daripada kesesakan trafik tersebut, sesetengah pemandu terpaksa tinggal di dalam kereta 5 hari. Sepanjang kes kesesakan trafik tersebut, peniaga-peniaga berdekatan telah pergi daripada kereta ke kereta untuk menjual makanan dan mengambil kesempatan dengan menjualnya pada harga yang lebih mahal.

Kes kesesakan yang dahsyat ini berlaku pada cuti panjang sempena hari kebangsaan negara tersebut. Kesesakan trafik yang dahsyat ini melibatkan 50 laluan jalan raya dan dilaporkan 125,000 buah kenderaan terlibat dimana kebanyakannya hendak pulang daripada bercuti.

Sebab kesesakan jalan raya di China

Kes kesesakan yang sangat dahsyat ini terjadi disebabkan pelbagai faktor antaranya kerja-kerja pembinaan jalan raya. Selain itu, pertambahan jumlah penduduk dan kenderaan telah menyebabkan jalan rayanya tidak dapat menampung kapasiti kenderan yang menggunakannya.

Seterusnya, sikap pemandu juga dikatakan sebagai punca kejadian ini. Kadar kematian akibat kemalangan jalan raya juga sangat tinggi, dua kali ganda daripada kadar kematian jalan raya di Amerika Syarikat.

Sistem belajar memandu di China juga sememangnya bermasalah. Mereka yang mengambil lesen memandu hanya diajar memandu di dalam kawasan tertutup, iaitu di dalam pusat latihan memandu sahaja. Oleh itu, apabila sudah mendapat lesen memandu, pemandu baru ini biasanya akan memandu buat pertama kali di jalan raya terbuka. 

Korupsi juga merupakan antara penyebabnya. Di China, lesen memandu boleh diperolehi tanpa perlu pergi ke kelas memandu sekiranya anda kenal seseorang yang boleh mendapatkannya dengan sedikit bayaran. Pemandu yang tidak terlatih dan tidak cekap ini semestinya sedikit sebanyak menyumbang kepada kes kemalangan, seterusnya menyebabkan kesesakan jalan raya ini.

Kredit:

  1. Global News
  2. Digital Trends
  3. Daily Mail Online



Hakcipta iluminasi.com (2017)