Jangkitan-jangkitan penyakit pada zaman sekarang kebiasaannya berlaku dalam skala kecil serta tidak menyebabkan kematian secara besar-besaran. Ini disebabkan oleh perkembangan sains dan teknologi yang membolehkan manusia membangunkan kemampuan dalam memahami serta merawat wabak penyakit.

Bagaimanapun, masyarakat zaman dahulu tidak mempunyai kemampuan serupa khasnya daripada segi komunikasi dan perubatan dalam menangani masalah wabak - sehingga menyebabkan wabak mudah merebak dari satu tempat ke satu tempat lain. Wabak-wabak penyakit zaman dahulu berlaku secara besar-besaran mengorbankan banyak nyawa yang tidak bernasib baik.

Pernahkah anda membaca tentang wabak-wabak besar dunia? Berikut adalah tujuh insiden wabak besar yang pernah melanda tamadun manusia setakat ini.

1. Wabak Antonine (165-185)

Berlaku pada tahun 165 hingga tahun 180 - wabak Antonine turut sama dikenali dengan nama Wabak Galen, sempena nama pakar perubatan Rom, Galen of Pergamon adalah wabak yang merebak dikalangan masyarakat Rom era tersebut.

Wabak Antonine mampu menyebabkan kematian lebih 2,000 orang dalam tempoh satu hari, sehinggakan jumlah kematian keseluruhannya dianggarkan sekitar 5 juta orang; menghapuskan lebih satu per tiga populasi di beberapa kawasan jajahan Rom serta benar-benar melemahkan tentera Rom.

Dikatakan berlaku disebabkan penyebaran penyakit cacar air, wabak ini bukan saja tersebar di kalangan masyarakat Rom malahan turut sama sampai ke masyarakat Cina berikutan kedatangan orang Rom ke sana dalam usaha menjalinkan hubungan diplomatik dan ekonomi.

2. Wabak Athens (429SM/BC)

Wabak Athens menyerang orang Athens semasa era peperangan saudara mereka menentang Liga Peloponnesian yang diketuai oleh orang Sparta.

Dipercayai berpunca daripada kemasukan barangan makanan melalui pelabuhan mereka di Pireaus, wabak ini menyerang masyarakat Athen tiga kali daripada tahun 429SM/BC sehinggalah 426SM/BC.

Tidak dapat dipastikan dengan jelas apa yang menyerang mereka. Banyak pendapat mengatakan mereka dijangkiti 'wabak bubonik' yang berpunca daripada jangkitan bakteria, menyebabkan bengkak-bengkak pada kulit.

Ada juga pendapat-pendapat lain yang mengatakan masyarakat Athens ketika itu diserang cacar, typhoid atau rubela. Sebanyak 25% daripada jumlah keseluruhan populasi Athens meninggal dunia.

Penemuan lebih 1000 kubur individu dan sebuah kubur besar pada tahun 1994 menempatkan hampir 250 jasad, menunjukkan masyarakat Athens ketika itu terpaksa menanam mayat mereka yang mati dalam keadaan tidak terurus.

3. Wabak Besar Itali (1629-1631)

Bermula tahun 1629 sehingga 1631, masyarakat Itali dikejutkan dengan wabak penyakit yang mula melanda Milan - berpunca daripada kemasukan tentera Jerman dan Perancis ke kawasan itu yang lari ke Milan bagi mengelakkan perang.

Berlaku dalam beberapa gelombang jangkitan, kegagalan pihak pemerintah Milan mengawal keadaan menjadikan wabak ini merebak mudah. Dalam serangan wabak jenis bubonik ini, 60 ribu orang meninggal dunia mengorbankan hampir separuh daripada jumlah keseluruhan populasi Milan, yang berjumlah 130 ribu orang.

Selepas keadaan reda di Milan, wabak ini menyerang Venice, Bologna, Modena dan Parma mengorbankan lebih 46 ribu nyawa.

Jangkitan itu kemudian sampai ke bandar Florence menambah korban berjumlah 9 ribu orang. Dianggarkan jumlah keseluruhan kematian wabak Milan adalah sekitar 140 ribu orang degan sesetengah bandar seperti Verona hilang 60% jumlah penduduk.

4. Wabak New Spain (1545-1576)

Pada awalnya, penduduk yang tinggal di kawasan yang dikenali sebagai Mexico ketika ini dianggarkan berada pada tahap 25 juta orang. Mereka yang dikenali dengan nama orang Aztec mempunyai sejarah yang cukup gemilang.

Namun sekitar abad ke 16 hanya 1.2 juta orang populasi mereka tinggal.

Rekod menunjukkan dalam tempoh 2 kali pada tahun 1545 dan 1576, berlaku serangan wabak yang mengorbankan lebih 17 juta nyawa sehingga berlakunya keruntuhan tamadun Aztec.

Catatan seorang pengkaji perubatan bernama Fransisco Hernandez yang sempat melihat sendiri serangan itu mengatakan mangsa diserang demam, sakit dada dan sawan, sementara darah mengalir keluar dari telinga dan hidung mereka.

Dipercayai demam tersebut datang daripada jangkitan tikus yang membiak di kawasan tersebut semasa musim tengkujuh.

Penyakit yang dikenali dengan nama cocoliztli oleh masyarakat etnik Mexico pada mulanya dipercayai serupa dengan penyakit cacar air, namun penemuan saintis pada tahun 2018 menunjukkan besar kemungkinan mereka diserang penyakit demam tifoid.

5. Wabak Justinian (541-542)

Wabak Justinian menyerang masyarakat yang tinggal di Constantinople (kini Istanbul, Turki) pada tahun 541, semasa zaman pemerintahan Empayar Byzantine.

Selain Constantinople, wabak ini menyerang beberapa bandar pelabuhan di sekitar laut Meditteranean dan juga sebahagian daripada Empayar Sasan di Persia. Dengan anggaran 25 ke 50 juta orang menjadi mangsa semasa serangan wabak ini, hampir 13 ke 26% jumlah populasi bumi ketika itu meninggal dunia.

Dinamakan sempena Raja Justinian I yang memerintah Empayar Roman timur ketika bermulanya wabak ini, Raja Justinian turut dijangkiti. Bagaimanapun nasib beliau baik berjaya pulih.

Wabak besar ini adalah kali pertama dalam sejarah direkodkan serangan organisma yang dinamakan 'yersinia pestis', bakteria yang bertanggungjawab menyebabkan banyak kematian-kematian besar di seluruh dunia.

Berdasarkan kajian, bakteria ini berpunca daripada Asia tengah serta merebak melalui serangga.

6. Wabak besar Yunnan 1855

Dipercayai aktif sehingga tahun 1960, wabak panjang ini berlaku dalam tempoh lebih 100 tahun bermula daripada wilayah Yunnan di China pada tahun 1855.

Wabak Yunnan bermula disebabkan pertambahan bilangan jumlah tikus yang tidak dikawal serta kemasukan orang-orang Han ke kawasan Yunnan disebabkan keperluan melombong bekalan bahan mineral seperti bijih besi - menyebabkan penyebaran wabak ini dikalangan manusia berlaku dengan pantas.

Berikutan perkembangan ekonomi, penduduk wilayah Yunnan telah mencecah sehingga 7 juta orang ketika itu ekoran kehadiran kumpulan pekerja.

Populasi migran yang besar ini apabila pulang ke kampung halaman masing-masing, mengakibatkan pembiakan wabak ini ke beberapa kawasan lain seperti Guangxi dan Guangdong, gugusan kepulauan Hainan, Canton dan juga Hong Kong.

Di Canton sahaja, 60,000 orang meninggal dunia.

Aktiviti ekonomi dan perdagangan menyebabkan penyebaran mula menular ke India pada tahun 1896, dipercayai daripada hubungan dengan peniaga Hong Kong. Dalam tempoh 30 tahun, dianggarkan seramai 12.5 juta orang India meninggal dunia disebabkan penyakit ini.

Laporan berkenaan jangkitan serupa turut dilaporkan di negara-negara lain seperti Jepun, Soviet Union, Burma, Tunisia, Brazil dan banyak lagi. Hanya pada tahun 1897, vaksin penyakit ini berjaya dibangunkan, mengambil masa lebih 60 tahun sebelum wabak ini diisytiharkan terkawal.

7. The Black Death (1346-1665)

Masih ingat nama bakteria 'yersinia pestis' yang kami sebutkan di atas?

Bakteria ini memberikan impak buruk yang sangat besar dalam sejarah tamadun manusia dan salah satu 'hasil tangannya' adalah wabak terburuk pernah berlaku dalam sejarah, yang dikenali dengan nama The Black Plague atau The Black Death.

Dianggarkan membunuh 30 ke 60% daripada keseluruhan populasi Eropah ketika itu, kesan wabak ini sangat besar kepada dunia dalam pelbagai aspek, mempengaruhi perkembangan ekonomi dan sistem sosial manusia.

Bermula pada tahun 1346, kesan jangkitannya berterusan dirasai selama beberapa abad dan hanya diisytiharkan berakhir semasa wabak besar London pada tahun 1665.

Wabak besar London dipercayai sebagai peringkat terakhir wabak ini, membunuh lebih 100,000 orang sehingga menyebabkan London hilang hampir suku jumlah populasi asalnya.

Secara keseluruhan, 75 ke 200 juta orang meninggal dunia dalam serangan paling dahsyat pernah dilalui oleh masyarakat seluruh dunia bermula daripada Asia Tengah, sehingga merebak ke Eropah dan juga Timur Tengah.



Hakcipta iluminasi.com (2017)