budaya 996 pekerja dikerah dan diperah di china

Kenaikan negara China sebagai kuasa besar dunia banyak didorong oleh perkembangan teknologi negara mereka dalam bidang ICT dan elektronik. Perkembangan ini banyak didokong oleh kenaikan syarikat gergasi yang menjadi pengasas kepada kekuatan ekonomi China sekarang iaitu Alibaba, Baidu dan Tencent, tiga nama terbesar yang menguasai pasaran di serata dunia tanpa kita sedar.

Disebalik kejayaan ketiga-tiga syarikat itu, sesuatu yang jarang diperkatakan adalah budaya yang diamalkan sehingga membawa mereka ke tahap tersebut. Budaya yang dikenali sebagai 'budaya kerja 996' walaupun bukan eksklusif kepada tradisi kerja China; sangat kuat diamalkan mereka.

Walau bagaimanapun, permintaan daripada golongan pekerja yang rata-ratanya mahu budaya kerja itu diubah menimbulkan kontroversi terhadap amalan kerja masyarakat negara tersebut.

Apa itu budaya kerja 996?

pekerja china overtime

Dua angka yang digunakan itu mewakili waktu mula dan tamat kerja di negara China, iaitu 9 pagi hingga 9 malam. Angka terakhir '6' pula merujuk kepada jumlah hari bekerja dalam seminggu jadi budaya kerja 996 memerlukan seorang pekerja bekerja selama 12 jam sehari, 6 hari seminggu.

Selain daripada 996, majoriti negara mengamalkan budaya kerja 955 iaitu mula kerja pada 9 pagi hingga 5 petang, dengan hari kerja 5 hari seminggu.

Generasi pertama usahawan internet China seperti Robin Li daripada Baidu, Pony Ma daripada Tencent dan Jack Ma daripada Alibaba merupakan penyokong kuat kepada budaya kerja 996. Jack Ma khasnya secara terbuka menyatakan dalam mesyuarat syarikatnya bahawa mana-mana pekerja yang mahu waktu kerja lebih rendah, menyerupai waktu kerja harian negara lain tidak sepatutnya bekerja di situ.

Ini kerana bagi beliau, kemampuan untuk bekerja mengikut formula 996 merupakan satu peluang yang perlu diambil setiap individu. Mana-mana pekerja syarikat Alibaba perlu mempersiapkan diri mereka untuk bekerja selama 12 jam sehari tatkala mereka menyertai syarikat tersebut dan 72 jam seminggu, merupakan tempoh minima yang diwajibkan ke atas semua pekerja.

Kes-kes kematian pekerja yang semakin kerap berlaku

grafik pekerja china

Apa yang membimbangkan, budaya ini telah membawa keburukan yang nyata pada golongan pekerja di China. Dengan jangkaan bahawa semua pekerja perlu mampu bertahan dengan jadual kerja 996 sebagai keperluan minima, kebanyakan pekerja terpaksa mengorbankan kehidupan mereka dalam mematuhi arahan syarikat.

Kes-kes kematian semakin kerap dilaporkan melibatkan golongan pekerja sama ada disebabkan tekanan mental atau fizikal. Sejak tahun 2016, dianggarkan lebih 600,000 orang pekerja di China meninggal dunia setiap tahun.

Amalan budaya ini tidak dibantu oleh undang-undang kerajaan China yang kelihatan lebih menyebelahi majikan, walaupun tertulis syarat bahawa semua pekerja hanya boleh diminta bekerja 8 jam sehari dan 44 jam seminggu maksima.

Undang-undang China tidak membenarkan berlakunya diskriminasi dalam pemilihan kerja melibatkan faktor agama, kaum dan adat. Bagaimanapun, ekoran budaya kerja yang tidak sihat serta memerlukan pekerja sentiasa bekerja lebih masa khasnya melibatkan pekerjaan dalam bidang teknologi; menyebabkan wujud syarat tidak rasmi yang diperkenalkan majoriti syarikat di sana.

Kebanyakan syarikat hanya akan menggajikan pekerja di bawah umur 35 tahun, enggan mengambil pekerja lebih tua bagi memastikan arahan waktu kerja lebih masa dapat dipatuhi kesemua dalam syarikat.

Protes pekerja yang semakin rancak

996 icu

Berikutan tekanan yang dihadapi semakin mendesak melibatkan pekerja dalam bidang teknologi, gerakan protes semakin kuat kedengaran. Satu gerakan yang dinamakan sebagai '996.ICU' mengambil istilah tempoh kerja mereka dan 'instensive care unit' - mula dijalankan oleh golongan pekerja teknologi melalui media sosial dan internet.

Bagaimanapun, usaha mereka ketika ini mendapat tentangan daripada kerajaan China sendiri, yang mempunyai kuasa menapis kandungan dan saluran internet negara tersebut. Laman web Github yang menjadi lokasi berkumpulnya pengaturcara serta pekerja ICT China yang menjalankan kempen 996.ICU mula ditapis.

Selain itu syarikat-syarikat internet China seperti Tencent dan Alibaba mengehadkan akses kepada mana-mana laman internet yang didapati mengandungi mesej melibatkan gerakan tersebut, menerusi tapisan pada aplikasi WeChat dan juga pelayar internet UC Browser dan 360 Browser.

pekerja china pakai topeng

Usaha itu walaupun dilihat baik bagi golongan pekerja - turut sama mendapat tentangan daripada sesetengah golongan pekerja sendiri. Wujud kelompok pekerja yang merasakan budaya kerja 996 merupakan satu platform yang baik untuk mereka mencapai kejayaan setinggi Alibaba dan Tencent.

Bekerja di dalam sebuah firma yang besar serta bertaraf gergasi antarabangsa serta mengamalkan tempoh kerja 996, dilihat sebagai satu keistimewaan dan pengorbanan yang perlu dihadapi untuk mereka berjaya.

Jika anda berada di tempat mereka, apa pula pandangan anda?

Rujukan

Fortune


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)