pelancong china di malaysia

Patricia Li merupakan antara warga China yang memilih untuk menetap di Malaysia.

Kemasukan warga China kelas pertengahan seperti Patricia menyebabkan wujudnya jualan hartanah yang rancak di kalangan warga China, memilih menjadikan Malaysia rumah kedua mereka.

Keinginan mereka dipacu pemaju perumahan China yang melabur secara besar-besaran di beberapa negeri di Malaysia khasnya di Johor, disebabkan hubungan negeri itu yang terletak berdekatan Singapura.

Patricia hadir dari Yunnan sejak tahun 2017 di Johor, membuka perniagaan kafe bagi mengambil kesempatan ke atas kemasukan ribuan warga China ke negeri tersebut, ekoran daripada program Malaysia My Second Home (MM2H) yang dilancarkan pada tahun 2002.

Bagi Patricia serta warga China lain yang hadir ke Malaysia, Johor lengkap segalanya. Malang bagi mereka - Covid-19 berlaku dan perubahan dasar kerajaan ke atas program MM2H turut bertukar disebabkan pandemik yang melanda.

Perubahan dasar mendesak warga China pulang

kenapa rakyat china mula kembali ke tanah besar

Pada bulan Ogos tahun 2020 kerajaan Malaysia mengumumkan penangguhan sementara program MM2H, bagi membolehkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan mengkaji semula keberkesanan program yang telah dijalankan hampir dua dekad lamanya.

Perubahan ini mewujudkan rasa bimbang di kalangan warga China yang sudah memiliki kediaman di Johor, disebabkan ketiadaan tarikh tetap kebenaran untuk kembali ke Malaysia yang sahih dikeluarkan kerajaan.

Ketidaktentuan ini menyebabkan ramai di kalangan warga China berstatus pemilik hartanah di Johor memilih untuk menjual kediaman mereka pada harga yang agak rendah.

Aplikasi WeChat pengguna di China mula aktif dengan iklan-iklan hartanah di Johor, kebiasaannya dijual pada harga separuh daripada harga pembelian asal.

Bagi Patricia yang baru tiba di Johor tak sampai lima tahun, perubahan ini membimbangkan dirinya. Harapannya melihat kafe yang dibuka berkembang seiring dengan pertambahan warga China yang hadir ke sini tak kesampaian, mengakibatkan perniagaannya itu terpaksa ditutup.

Fantasi hidup yang dijanjikan pihak pemaju sebelum itu berubah dan realitinya tidaklah seindah yang digambarkan.

Rancangan yang terpaksa dipinda

forest city johor pilihan rakyat china

Patricia hadir ke Johor kali pertama dalam tahun 2016, dibawa oleh kumpulan rombongan percuma yang menjanjikan peluang pelaburan hartanah berpotensi tinggi di Malaysia.

Rata-rata yang hadir kebiasaannya akan tertarik dengan tawaran yang diberikan, ekoran suasana Johor yang jauh berbeza berbanding negara sendiri. Lokasinya dekat dengan Singapura, udaranya lebih bersih dan kawasannya tidak sepadat bandar-bandar di China.

Yang lebih menarik, harga yang ditawarkan kebiasaannya hanya suku daripada nilai hartanah jenis sama yang dijual di Beijing.

Bagi Patricia, sistem pendidikan yang lebih baik serta peluang menghantar anak-anaknya ke sekolah antarabangsa di Johor merupakan punca utama dia memberanikan diri membeli kediaman di sini.

Johor dilihat sempurna untuk seorang pelabur sepertinya - kerana Patricia percaya nilai hartanah yang ditawarkan akan meningkat, sementara aspek pendidikan anak-anak terjamin kerana kewujudan sekolah-sekolah antarabangsa yang kosnya lebih rendah berbanding di negara asal mereka.

Penangguhan MM2H mengubah semuanya

malaysia china pelaburan hartanah

Dimulakan pada tahun 2002 sehinggalah 2018, program MM2H telah meluluskan lebih 43,900 permohonan visa jangka masa panjang dari pemohon yang hadir dari 131 buah negara, 30% daripadanya adalah warga China.

Bagaimanapun tidak lama sebelum bermulanya pandemik lagi, kerajaan Malaysia dilaporkan mula mengamalkan peraturan ketat dalam menapis masuk pemohon apabila lebih 90 peratus permohonan ditolak bermula September 2019.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan pandemik yang melanda.

Pelbagai perkara yang berlaku memburukkan hubungan kerajaan China dengan negara lain termasuklah Malaysia, turut dilihat membawa risiko penerimaan orang tempatan terhadap kemasukan warga China ke negara mereka.

Pelaburan membabi buta

mainland chinese malaysia pelancong pelaburan

Pandangan seorang penyelidik bernama Simon Zhao dari BNU-HKBU United International College  di Guangdong, menyifatkan kebanyakan pelabur yang memberanikan diri melabur hartanah di luar negara; sebenarnya kurang bersedia untuk berhadapan dengan risiko pelaburan mereka.

Kebanyakan pelabur menurut beliau tidak pernah merasai era ekonomi menjunam sebaliknya hanya berpengalaman merasai suasana ekonomi melonjak, mengakibatkan tiadanya persediaan para pelabur dari segi kewangan dan psikologi bagi menghadapi situasi di mana pelaburan mereka tidak menjadi.

Atas sebab itulah majoriti warga China yang cuba berpindah ke Johor untuk tempoh beberapa tahun sebelum ini, terpaksa kembali semula ke China atas faktor kewangan yang semakin mendesak.

Pelajar-pelajar sekolah antarabangsa yang sebelum ini sudah mula belajar di Johor juga terpaksa pulang ke China, meninggalkan pelajaran mereka tanpa tahu bila mereka akan dibenarkan kembali mampukah kos pendidikan mereka ditanggung, agar dapat diteruskan -  seandainya kebenaran untuk menetap di Malaysia dibuka semula.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel China’s middle-class dream of a second home in Malaysia dashed by coronavirus and geopolitical tensions yang diterbitkan pada 20 September 2020.



Hakcipta iluminasi.com (2017)