Salah satu isu yang sering melanda masyarakat Cina bukan saja di negara kita malahan di seluruh dunia; adalah pertikaian tentang kesetiaan mereka terhadap negara yang mereka diami.
Isu ini dikeruhkan lagi dengan gejala sinofobia yang melanda dunia, disebabkan persepsi negatif dibawa oleh kemasukan pelancong-pelancong China ke negara luar serta penularan pandemik Covid-19 yang bermula dari sana.
BESARKAN TEKS A- A+
Banyak pihak dalam negara kita sendiri sudah mula mempersoalkan kesetiaan segelintir masyarakat Cina Malaysia, apatah lagi apabila beberapa pimpinan politik tempatan tidak takut untuk menyuarakan sokongan kepada usaha negara China memperluaskan jajahannya serta mengiktiraf Laut China Selatan sebagai milik negara itu.
Dari mana datangnya persepsi yang mempertikaikan kesetiaan etnik Cina kepada negara kelahiran mereka? Persoalan yang lebih spesifik; wajarkah kita sebagai rakyat Malaysia mempersoalkan ideologi sebenar etnik Cina di Malaysia berdasarkan iklim politik semasa?
Konsep Huaqiao & Huaren
Satu konsep yang perlu difahami tentang hubungan di antara China dengan masyarakat Cina di seluruh dunia, adalah konsep jalinan yang dipercayai menghubungkan mereka.
Selepas Presiden Deng Xiaoping naik mengambil alih tampuk daripada Mao Zedong, kerajaan China memperkenalkan konsep yang dinamakan 'huaqiao' dan 'huaren', bagi membezakan antara setiap individu berketurunan Cina di luar negara.
'Huaqiao' mewakili warganegara China yang tinggal di luar China sementara 'huaren' pula merujuk kepada individu etnik Cina yang telah menjadi warganegara luar China.
Dasar kewarganegaraan China pada ketika itu jelas - mereka hanya mengiktiraf etnik Cina warganegara China, termasuklah 'huaqiao.' Sementara golongan 'huaren' pula tidak lagi dianggap mempunyai hubungan dengan mereka menerusi pewartaan undang-undang kewarganegaraan China tahun 1980.
Fenomena globalisasi membuka peluang untuk ramai warga China berkunjung ke dunia luar bermula penghujung dekad 1980-an ke 90-an, membuatkan ramai rakyat China merantau ke luar khasnya ke negara maju.
Pengaruh kerajaan negara maju seperti di Eropah mula memperkenalkan konsep dua kewarganegaraan, menyebabkan permintaan terhadap sistem serupa dapat diperkenalkan di China.
Ini kerana ramai rakyat China yang merantau merasa sayang untuk melepaskan kewarganegaraan mereka, tetapi dalam masa yang sama mahu menjalani hidup lebih baik di negara-negara maju.
Desakan ini bagaimanapun tidak dihiraukan kerajaan China yang terus berkeras untuk meneruskan sistem mereka. Bagi mereka ketika itu, orang Cina adalah warga China. Namun insiden yang berlaku di Indonesia dipercayai mula melembutkan hati mereka.
Insiden rusuhan anti Cina Indonesia 1998
Dalam insiden yang dikenali dengan nama 'Kerusuhan Mei 1998', beberapa negeri di Indonesia berdepan rusuhan anti masyarakat Cina yang akhirnya menyebabkan kejatuhan kerajaan Indonesia.
Masyarakat Cina di Indonesia ketika itu berdepan serangan, rompakan dan harta mereka dibakar, termasuklah kenderaan dan kediaman. Kaum wanita Cina dirogol individu-individu bernafsu buas. Dianggarkan seramai 11,888 orang majoritinya Cina terbunuh dengan 168 kes rogol dilaporkan.
Insiden bulan Mei itu bagaimanapun pada awalnya tidak mendapat reaksi kerajaan China. Reaksi ini selari dengan pegangan kerajaan China yang tidak mahu mencampuri urusan negara lain, namun tekanan kumpulan 'huaren' yang mahu China melindungi etnik Cina yang menjadi sasaran pemberontak dan pengganas seperti di Indonesia mula kedengaran.
Walau demikian, untuk masuk campur urusan Indonesia pasti akan memberikan kesan besar pada China.
China gusar tindakan mereka menyuarakan pandangan akan menyebabkan Indonesia mula lebih akrab dengan Taiwan. Selain itu peranan Indonesia dalam menguasai sebahagian besar Laut China Selatan juga menjadi isu penting yang dibincangkan.
Jadi China melakukan dua perkara serentak - menyuarakan kebimbangan mereka terhadap nasib etnik Cina di republik itu secara terbuka, buat kali pertama mencampuri urusan negara lain.
Dalam masa yang sama bagi menjaga hati Indonesia, China menawarkan kerjasama ekonomi, pelaburan serta pinjaman kepada Indonesia.
China mula kembali menerima etnik Cina di luar China
Taktik itu berjaya mendiamkan Indonesia dan dalam masa yang sama, membuatkan kumpulan huaren di seluruh dunia mula percaya bahawa China sudah sedikit-sebanyak mengiktiraf wujud hubungan antara semua etnik Cina dengan China - walaupun secara tidak rasmi.
Pertemuan di antara Presiden Jiang Zemin dengan Presiden B.J. Habibie berjaya meyakinkan Indonesia bahawa mereka tidak akan sama sekali menggunakan etnik Cina warganegara Indonesia sebagai alat untuk mencipta tekanan bersifat politik atau ekonomi di negara itu.
Bagaimanapun tidak dapat dinafikan insiden rusuhan tahun 1998 telah menjadi titik tolak utama pembinaan semula kerjasama di antara China dengan etnik Cina yang lain di seluruh dunia.
Penubuhan Overseas Chinese Affairs Office (OCAO) atau namanya di China 'Quaioban' dan Federation of Returned Overseas Chinese Association (FROCA) atau 'Qiaolian' menjadi titik tolak kerjasama antara etnik Cina bukan warganegara China dengan kerajaan China secara rasmi, pada tahun 2001.
Penglibatan kumpulan bukan warganegara China dalam pertubuhan itu dikritik banyak pihak khasnya melibatkan negara Asia Tenggara, tetapi kritikan itu tidak diendahkan. Bermula dengan hanya 31 penasihat luar negara, kedua-dua pertubuhan itu akhirnya dianggotai oleh 581 orang ahli mewakili 94 buah negara - majoritinya datang daripada golongan huaren.
Bagi menyatukan kerjasama antara 'huaren' dan 'huaqiao,' kerajaan China menubuhkan Conference of World Federation of Huaqiao Huaren Associations (CWFHHA). Persidangan yang dihadiri gabungan etnik Cina bukan warganegara dan warganegara China, digunakan sebaik mungkin Presiden China ketika ini Xi Jinping, sebagai medan penyatuan kesemua etnik Cina di seluruh dunia.
Pada ucap tama beliau dalam persidangan tahun 2014 CWFHHA, Jinping mula menggelarkan kesemua etnik Cina tanpa mengambil kira kewarganegaraan mereka sebagai 'keluarga besar Zhonghua'; disifatkan petanda kerajaan China mula melihat etnik Cina sebagai satu keluarga yang mempunyai pertalian, tanpa mengambil kira dari mana mereka datang.
Gagasan besar dalam menyatukan dunia bawah China
Perubahan penerimaan ini dikatakan selari dengan perancangan China dalam memajukan semua visi pembangunan yang telah mereka rancangkan. Keupayaan kumpulan huaren di seluruh dunia membekalkan apa yang diperlukan China adalah satu aset yang amat berharga dan perlu diguna sebaik mungkin.
Peranan kumpulan huaren di negara-negara sasaran China dalam projek gergasi One Belt One Road dalam mempengaruhi kerajaan atau masyarakat setempat, juga dilihat boleh membantu China merealisasikan impian mereka.
Gesaan untuk etnik Cina di seluruh dunia mempertahankan tradisi Cina yang mereka amalkan seperti cara hidup, bahasa dan identiti mula dibuat merentasi sempadan negara, dengan golongan huaren mula diletakkan sebagai komuniti penting yang boleh menyumbang kepada pengukuhan ekonomi dan etnik Cina.
Dalam ucapan pada tahun 2015, Perdana Menteri China Li Keqiang menggariskan 3 aspek utama bagaimana kerjasama di antara kerajaan China dengan komuniti huaqiao dan huaren boleh dibentuk :
Menjadi tenaga kerja efektif yang mampu memperkembangkan ekonomi China, kedua untuk menjadi 'jambatan pelangi' yang membantu kerjasama antara kerajaan China dengan kerajaan negara asal mereka dalam projek One Belt One Road dan yang ketiga, untuk membawa imej baru kumpulan peniaga etnik Cina yang menyanjung tinggi visi penyatuan Dunia Cina yang positif dan harmoni.
Konflik diplomasi Malaysia dan China pada tahun 2015
Bagaimanapun, bukan semua pihak suka dengan apa yang China lakukan - apatah lagi apabila China mula mencampuri urusan dalaman negara lain.
Negara kita juga pernah mengalami konfrontasi serupa pada tahun 2015 akibat perubahan dasar China ini - apabila Duta China ke Malaysia, Huang Huikang direkodkan mengkritik tindakan beberapa pihak pro-etnik Melayu yang mahu melakukan tunjuk perasaan di Petaling Street, kawasan yang didominasi peniaga etnik Cina.
Huikang dalam kenyataannya menyebut bahawa China tidak bersetuju dengan mana-mana pihak yang mengganggu ketenteraman awam. Tindakan beliau menjadualkan lawatan ke Petaling Street, dilihat sebagai tanda sokongan ke atas kumpulan etnik Cina yang ada di Malaysia.
Walaupun kerajaan China menafikan insiden itu sebagai satu bentuk campur tangan langsung mereka ke dalam urusan politik negara mereka, sudah pastilah apa yang berlaku akan memberikan kesan ke atas komuniti masyarakat Cina di negara kita.
Kami sudah mengulas panjang kenapa China berubah, berusaha menyatukan semula komuniti huaren dengan warganegara China di seluruh dunia di bawah panji mereka, sebab-sebabnya kenapa perubahan itu dilakukan dan faedahnya yang sangat selari dengan gagasan pembangunan negara tersebut.
Jadi kami tinggalkan anda dengan satu soalan;
Adakah wajar rakyat Malaysia berusaha untuk memajukan kepentingan negara China, hanya kerana dia berketurunan Cina dan China secara terbuka menerima mereka sebagai sebahagian daripada 'orang mereka'?
Rujukan