Gabungan Warner Bros dan DC Comics membuat penampilan pertama mereka melalui filem Joker arahan Todd Phillips yang bakal ditayangkan pada Oktober ini.
Walaupun projek filem itu sering kali kedengaran seperti eksperimentasi, namun menonton treler filem ini sahaja sudah boleh membuatkan kita sedar betapa menariknya filem ini.
BESARKAN TEKS A- A+
Lebih menarik, ia juga memaparkan versi Joker yang tidak pernah kita lihat sebelum ini. Yang pasti ianya kelihatan lebih cool berbanding The Joker versi Jared Leto. Berdasarkan treler filem, iluminasi.com kongsikan 8 sebab kenapa filem Joker dijangkakan bakal meletup dan menghantui pemikiran penonton.
1. Penghargaan kepada Bob Kane
Salah satu individu legenda di sebalik penciptaan Batman, Bob Kane adalah salah seorang daripada 2 lelaki yang membentuk wira Bertopeng itu sendiri.
Perkara yang sama berlaku terhadap musuh ketat Batman iaitu The Joker, juga merupakan salah satu ciptaan legenda Bob Kane. Pada permulaan treler, Arthur (The Joker) bertemu dengan seorang pekerja sosial, yang pada lencananya tertera nama Debra Kane.
Bob Kane
Walaupun ia mungkin satu kebetulan, namun kemungkinan besar adalah penggunaan nama keluarga Kane merupakan satu penghormatan kepada Bob Kane. Dia juga mempunyai anak perempuan yang bernama hampir serupa, iaitu Deborah Kane.
2. Arkham State Hospital
Dalam treler ini, Arthur melawat ke Arkham State Hospital, yang lebih dikenali sebagai Elizabeth Arkham Asylum for Criminally Insane, atau hanya digelar Arkham Asylum di dalam komik mahupun permainan video. Di sinilah lokasi tempat penjenayah-penjenayah banyak dilahirkan ataupun ditangkap masuk ke dalam yang mana pesakitnya terdiri daripada penjahat seperti Two-Face, The Riddler, Poison Ivy dan The Joker sendiri.
Dalam treler ini, digambarkan Arthur yang pergi sendiri ke Arkham Asylum secara sukarela. Tidak seperti filem-filem Batman sebelum ini di mana penjahat berusaha keras untuk lari keluar dari Arkham Asylum yang dilengkapi teknologi hebat bagi mengelakkan pesakit atau tahanan lari.
3. Wayne Hall
Juga dipaparkan satu scene bangunan gah serba mewah milik keluarga terkaya dan paling menyerlah di bandar Gotham iaitu Wayne Hall milik Thomas Wayne bapa kepada Bruce Wayne (Batman). Dijangkakan keluarga Wayne akan memainkan peranan besar dalam filem ini.
Ditambah pula adegan Arthur dicampak keluar dari Wayne Hall. Berkebarangkalian tinggi berlaku tragedi yang tak diingini terhadap Arthur melibatkan keluarga Wayne. Namun tidak dapat dipastikan scene ini memaparkan ramai orang yang hadir di hadapan Wayne Hall untuk menonton filem, protes, atau meraikan perasmian Wayne Hall.
Untuk point seterusnya, perhatikan pada gambar Wayne Hall di atas, anda dapat melihat poster filem Charlie Chaplin bertajuk "Modern Times".
4. Agenda Filem Modern Times
The Tramp dalam Modern Times
Penampilan Arthur yang dilakonkan oleh Joaquin Phoenix sebenarnya agak mirip dengan karakter Charlie Chaplin dalam Modern Times ketika Arthur menari sebagai pemegang papan tanda di awal treler.
Jadi, salah satu pengaruh komedi The Joker sudah tentulah watak The Tramp yang dilakonkan Charlie Chaplin dalam Modern Times.
Lebih Mengujakan lagi adalah hakikat bahawa filem Modern Times adalah satu ironi yang keterlaluan terhadap zaman kesulitan ekonomi yang dihadapi oleh masyarakat era "Great Depression". Filem ini juga dianggap sangat kontroversi pada zaman itu kerana meracuni minda masyarakat dengan agenda tersendiri berserta kritikan-kritikan halus.
Ada yang mengatakan scene orang ramai berkumpul di hadapan Wayne Hall Ini berkebarangkalian tinggi sebagai tanda protes mereka terhadap Thomas Wayne yang tidak mempedulikan sensitiviti masyarakat dan tidak hirau akan agenda yang dibawa oleh filem Modern Times.
5. The Killing Joke
Arthur menari dengan ibunya
Salah satu aspek yang perlu diingat tentang Joker adalah Arthur berusaha kerasa untuk menjadi pelawak di sepanjang perjalanan filem ini.
Kita dapat melihat beberapa babak di mana dia menghadiri ke Kelab Komedi Pogo, ketawa berdekah, dan akhirnya berdiri di atas pentas utama. Ini sama seperti Joker dalam siri animasi "Batman: The Killing Joke".
Sebahagian kisah daripada asal-usul Joker dalam siri animasi oleh Alan Moore ini, memaparkan Arthur sebagai seorang pelawak yang kecewa, dengan harapan akan menjadi pelawak profesional dalam pada masa menjaga isterinya yang hamil.
Dalam filem Joker ini, "isteri yang hamil" digantikan dengan "ibu yang sakit". Dan seperti dalam beberapa babak dalam treler ini, ia kelihatan seperti Arthur akan berjaya sampai ke tahap yang lebih tinggi sebagai pelawak mengatasi Amir Rajalawak.
6. Bruce Wayne dalam penjara
Sama seperti yang dibincangkan tentang peranan besar keluarga Wayne dalam filem ini, terdapat satu teka-teki yang cukup aneh iaitu di mana Arthur berkawan dengan seorang budak lelaki.
Budak yang dilihat dalam treler ini sebenarnya tak lain dan tak bukan adalah Bruce Wayne, yang dilakonkan oleh Dante Pereira-Olson.
Dipisahkan oleh pagar besi, Arthur cuba untuk membuatkan rakannya yang bermuka bagaikan tiada perasaan itu tersenyum menggunakan tangannya sendiri. Bagaimana hubungan persahabatan ini akan berakhir masih belum diketahui. Yang pasti ia tidak akan bertahan lama.
Perbezaan umur diantara Arthur dan Bruce Wayne juga menjadi perdebatan hangat peminat DC. Mungkin Joker versi Arthur ini akan melahirkan satu lagi Joker versi lain yang hampir sebaya dengan Bruce Wayne untuk filem yang akan datang.
7. The King Of Comedy
Terdapat scene menunjukkan Robert De Niro sebagai hos sebuah rancangan/pementasan. Ini memungkinkan bahawa filem Joker ini sangat mirip dengan filem arahan Martin Scorsese bertajuk "The King of Comedy" lakonan Robert De Niro sendiri. Untuk pengetahuan anda, Martin Scorsese juga adalah pengarah eksekutif untuk filem Joker.
Dalam filem The King of Comedy, Robert De Niro berlakon sebagai watak seorang pelawak yang sanggup melakukan apa sahaja untuk berjaya termasuk membunuh, mengugut dan apa jua jenayah lain. Dia (De Niro) diberi tekanan oleh hos rancangan lawak yang dilakonkan oleh Jerry Lewis.
Namun dalam filem Joker, diumpamakan Robert De Niro akan mengambil alih tugas Jerry Lewis untuk memberi tekanan kepada Arthur. Dan set penggambaran dan reka-hias produksi filem Joker tidak banyak perbezaan dengan filem The King Of Comedy, membawa latar dan gambaran era 80an dengan jayanya.
8. Pengarah Filem Yang "Boleh Tahan Power"
Filem Joker ini diarahkan oleh pengarah filem yang sememangnya banyak menghasilkan filem-filem berunsur "dark humor" seperti filem Hangover, Borat, War Dogs, Road Trip dan Old School. Selain filem-filem kategori lawak, antara filem/drama serius yang pernah diarahkan oleh Todd Philips ialah filem All the King's Men dan drama bersiri Limitless.
Jadi pendapat penulis sememangnya filem Joker ini dijangkakan akan meninggalkan kesan yang mendalam pada penonton. Penulis juga jangka tidak lama lagi, ramai anak-anak muda akan menukarkan profile photo mereka kepada gambar Joker versi Joaquin Phoenix selain dari Joker versi Heath Ledger.
“I used to think my life was a tragedy, but now I realize it's a comedy.” - Joker
Rujukan:
1. CBR
2. Cinema Blend