Great Depression dianggap sebagai kemelesetan ekonomi dunia paling teruk dalam sejarah perindustrian. Ia bermula pada tahun 1929 dan berlarutan selama 10 tahun sehingga tahun 1939.
Kemelesetan ini bermula selepas kejatuhan pasaran saham pada Oktober 1929 yang menyebabkan Wall Street mengalami panik teruk dan merugikan berjuta-juta pelabur serta memberikan kesan kepada seluruh dunia.
BESARKAN TEKS A- A+
Apa yang menyebabkan berlakunya Great Depression?
Tempoh dan tahap kemelesetan yang berlaku adalah berbeza-beza di setiap negara di dunia. Kemelesetan ini berlaku lebih lama dan teruk di Amerika Syarikat dan Eropah, dan agak ringak di Jepun dan kebanyakan negara di benua Amerika Selatan.
Tidak menghairankan kemelesetan ekonomi terburuk dunia ini berpunca daripada pelbagai sebab termasuklah permintaan pengguna yang menurun, situasi panik kewangan dan dasar kerajaan yang salah menyebabkan pengeluaran ekonomi jatuh di Amerika Syarikat.
Sepanjang tahun 1920-an, ekonomi Amerika Syarikat berkembang dengan pesat sekali dan jumlah kekayaan negara ini meningkat lebih daripada 2 kali ganda di antara tahun 1920 hingga 1929. Tempoh ini dikenali sebagai "Roaring Twenties".
Pada ketika itu, pasaran saham yang berpusat di Bursa Saham New York di Wall Street, New York City telah menjadi tempat tumpuan yang mana berlakunya spekulasi melulu.
Apa yang dikatakan sebagai spekulasi melulu adalah setiap individu daripada jutawan sehinggalah tukang masak dan tukang cuci, melaburkan simpanan mereka denga membeli saham.
Hasilnya, pasaran saham mengalami perkembangan yang tersangat pesat dan memuncak pada Ogos 1929. Ketika itu, pengeluaran sudah mula menurun dan pengangguran semakin meningkat membuatkan harga saham menjadi lebih tinggi daripada nilai sebenar.
Selain itu, gaji pekerja adalah sangat rendah, hutang pengguna semakin meningkat, sektor pertanian ekonomi bergelut disebabkan kemarau dan harga makanan yang jatuh dan bank-bank pula mempunyai lebihan hutang yang besar yang tak mampu dibubarkan.
Ekonomi Amerika Syarikat memasuki tahap kemelesetan ringan pada musim panas 1929, memandangkan perbelanjaan pengguna yang perlahan dan barang-barang yang tidak terjual mula menggunung. Ini menyebabkan pengeluaran kilang menjadi sangat perlahan.
Walaubagaimanapun, harga saham terus meningkat dan menjelang musim luruh tahun yang sama, harga saham telah mencapai tahap yang tidak dapat dijelaskan oleh pendapatan masa depan dijangkakan.
Kejatuhan pasaran saham Wall Street 1929
Pada 24 Oktober 1929, pelabur-pelabur yang cemas mula menjual saham-saham bernilai melebihi nilai sebenar secara besar-besaran, tiba-tiba kejatuhan pasaran saham yang dikhuatiri oleh mereka, benar-benar berlaku.
Rekod saham yang diperdagangkan pada hari itu sahaja adalah sebanyak 12.9 juta, yang dikenali sebagai "Black Thursday". 5 hari kemudian, berlaku pula "Black Tuesda", kira-kira 16 juta saham didagangkan selepas satu lagi gelombang panik melanda Wall Street.
Jutaan saham akhirnya menjadi tidak bernilai dan pelabur-pelabur yang membeli saham dengan wang yang dipinjam (on margin) mengalami kerugian yang tidak dapat dibayangkan.
Pematuhan global terhadap standard emas yang menghubungkan negara-negara di seluruh dunia dalam tukaran mata wang tetap telah memainkan peranan utama dalam membantu menyebarkan kesengsaraan ekonomi dari Amerika Syarikat ke seluruh dunia terutamanya Eropah.
Industri merosot dan pengangguran berleluasa
Disebabkan keyakinan pengguna telah hilang selepas berlakunya kemerosotan pasaran saham, ia menyebabkan perindustrian dan pelaburan merudum dengan teruk yang melihatkan kilang-kilang dan perniagaan lain memperlahankan pengeluaran.
Tersangat ramai yang kehilangan pekerjaan mereka, dan bagi mereka yang masih bertuah dikekalkan bekerja, gaji mereka dikurangkan.
Ramai rakyat Amerika terpaksa untuk membeli secara berhutang dan jumlah penyitaan dan kehilangan harta benda meningkat dengan pantas.
Menjelang tahun 1933 di mana kemelesetan ini berada di tahap paling dahsyat, hampir 15 juta populasi di Amerika Syarikat tidak mempunyai pekerjaan dan kira-kira separuh daripada bank di negara, iaitu 650 bank, ini gulung tikar.
Pemulihan kemelesetan ini didorong terutamanya oleh pengabaian standard emas dan berikutan perkembangan kewangan. Kesan Great Depression kepada ekonomi dunia adalah sangat besar termasuklah penderitaan manusia yang melampau dan perubahan dasar ekonomi yang sangat mendalam.
Kemerosotan kejatuhan pengeluaran perindustrian di pelbagai negara (data tahunan)
Negara | Peratus kemerosotan |
Amerika Syarikat | 46.8% |
United Kingdom | 16.2% |
Jerman | 41.8% |
Perancis | 31.3% |
Itali | 33.0% |
Jepun | 8.5% |
Kanada | 42.4% |
Belgium | 30.6% |
Belanda | 37.4% |
Sweden | 10.3% |
Denmark | 16.5% |
Poland | 46.6% |
Czechoslovakia | 40.4% |
Argentina | 17.0% |
Brazil | 7.0% |
Kesan Great Depression terhadap Malaya
Memandangkan Amerika Syarikat adalah pasaran eksport Malaya yang terpenting, Great Depression memberikan kesan dramatik kepada pertumbuhan ekonomi Malaya. Penjualan kereta di Amerika Syarikat merosot daripada 4.5 juta pada tahun 1929 kepada 1.1 juta pada tahun 1932.
Ini secara langsung membuatkan permintaan AS terhadap getah dari Malaya medurum. Selain itu, skala penderitaan manusia di Malaya ketika ini adalah sangat besar terutamanya di negeri-negeri pantai barat.
Pekerja-pekerja diberhentikan dan ramai, kebanyakannya buruh ladang India dihantar pulang ke negara asal. Pengurangan gaji menyebabkan taraf hidup semakin merosot. Kadar penyakit dalam populasi dan kematian yang tinggi juga adalah salah satu kesan kemelesetan ekonomi ini.
Dalam setiap 4 tahun selepas Kejatuhan Wall Street (1930-1933), KDNK Malaya sebenar per kapita jatuh dan menaik sedikit pada tahun 1934, kemudian jatuh kembali pada tahun 1935.
Kemelesetan di Malaya adalah lebih mendalam dan berlarutan berbanding di Amerika Syarikat. Pengalaman Malaya pada tahun 1930-an merupakan ilustrasi yang sangat baik daripada pepatah yang sangat popular, iaitu "Apabila Amerika Syarikat bersin, seluruh dunia akan selsema".
Rujukan:
1. History
2. Britannica
3. Ehm
4. The Balance