filem marvel kacau bilau

Projek fasa pertama Marvel Cinematic Universe atau Dunia Sinematik Marvel sudah ditamatkan menerusi tayangan filem Avengers : Endgame.

Perancangan teliti Marvel (serta Disney kemudiannya) mengolah siri sinematik ini dengan pelan rancangan berbelas tahun lama membuahkan hasil, bukan saja daripada segi monetari malahan Dunia Sinematik Marvel berjaya meninggalkan impak yang cukup besar pada 'pop-culture' dunia.

star lord menari alih perhatian ronan

Walaupun begitu, rancangan untuk memastikan 22 filem terjalin antara satu sama lain, pasti akan tetap mempunyai kelemahan-kelemahan yang terpaksa dipejam sebelah mata kita yang menontonnya. Berikut adalah lima kelemahan Dunia Sinematik Marvel yang tak dapat dinafikan sedikit sebanyak mencacatkan salah satu siri filem yang kini mencapai tahap legenda.

1. Perubahan watak Bruce Banner/Hulk dan James Rhodes/War Machine

james rhodes dan tony stark

Salah satu kesilapan paling awal yang berlaku sejak mulanya MCU adalah pertukaran dua watak penting yang bakal memainkan peranan besar dalam keseluruhan MCU fasa pertama.

Pasti tidak ramai yang menyangka filem The Incredible Hulk lakonan Edward Norton merupakan filem yang memulakan fasa pertama rancangan jangka masa panjang MCU. Bagi peminat setia, mereka pasti sudah tahu Mark Ruffalo adalah pilihan utama mereka untuk memainkan watak tersebut, namun Edward Norton terpaksa diambil berikutan komitmen Ruffalo ketika itu.

Sama seperti watak James Rhodes yang menjadi War Machine, pada filem pertama 'Iron Man' watak ini dipegang oleh Terence Howard sebelum Don Cheadle menggantikan beliau. Howard mengatakan dia ditendang keluar ekoran permintaan gaji yang tinggi pada 'Iron Man 2' kerana dia merupakan penerima gaji terbanyak semasa terbitnya 'Iron Man' yang pertama.

Sekiranya anda rujuk komik, James Rhodes lebih mirip dengan Terence Howard - seorang yang berkarisma tinggi serta mampu berdiri sama tinggi dengan Tony Stark, rakan baiknya. Berbeza dengan watak 'James Rhodes' lakonan Don Cheadle yang dilihat lebih merendah diri serta berpuas hati menjadi pembantu kepada Tony Stark.

2. Sifat Bruce Banner yang tidak konsisten

3 hulk dalam mcu

Watak Hulk telah pun dipaparkan dalam filem 'The Incredible Hulk' terlebih dahulu sebelum watak tersebut dilakonkan oleh Mark Ruffalo dalam 'The Avengers.' Apa yang menjadi isu kepada jalinan kedua-dua filem ini adalah wujud perbezaan yang amat ketara dalam sikap serta identiti kedua-dua watak tersebut - walaupun wataknya sama.

Watak Bruce Banner lakonan Edward Norton merupakan seorang yang senantiasa hidup dalam ketakutan, memilih untuk menyembunyikan dirinya. Sikapnya juga serius, kurang bergurau dan tidak banyak bercakap - lebih mirip dengan Bruce Banner dalam siri televisyen 'The Incredible Hulk' era 70-an.

Sementara itu, Bruce Banner yang dilakonkan oleh Mark Ruffalo pula melalui perubahan besar daripada seorang yang kelihatan sentiasa gelabah dan tak terurus, kepada seseorang yang agak lucu dan juga senantiasa terbuka untuk berbincang. Marvel juga mengambil langkah memperkenalkan kisah cinta di antara beliau dengan Natasha Romanoff, atau Black Widow.

Bagi peminat setia watak Hulk - kita semua tahu satu-satunya cinta hati intan payung beliau adalah Betty Ross, anak kepada Thunderbolt Ross; antara musuh ketat Bruce Banner yang terawal. Sekiranya 'The Incredible Hulk' dikira sebagai filem pertama MCU - mana Betty?

3. Erik Killmonger adalah raja Wakanda yang sah!

black panther

Dipuji ramai kerana menjadi filem adiwira pertama berjaya memaparkan budaya Wakanda yang mirip dengan masyarakat kulit hitam Afrika, 'Black Panther' dijulang sebagai sebuah filem yang memecahkan stigma kaum.

Walaupun begitu, satu perkara yang membuatkan penulis tertanya-tanya selepas sudah beberapa kali mengulang tayang filem tersebut - 'bukankah Erik Killmonger sudah menjadi raja Wakanda yang sah, kerana dia memenangi takhta dengan cara yang betul?'

Cuba lihat kembali semua yang berlaku di antara T'Challa dan Erik sepupunya yang kembali untuk merebut takhta. Pertarungan mereka berlaku dengan adil, T'Challa ditewaskan dan dijatuhkan. Berdasarkan tradisi Wakanda, Erik sepatutnya sudah bergelar Raja Wakanda yang sah.

Bagaimanapun, disebabkan naratif cerita - kita diajak untuk menyokong pengkhianatan yang dilakukan oleh T'Challa serta ahli keluarganya, yang tetap mahu T'Challa memegang takhta. Bukankah itu satu usaha menjatuhkan pemerintahan yang dipilih secara sah? Bukankah semua pihak yang membantu T'Challa layak bergelar pemberontak?

Namun dalam filem Black Panther - Erik Killmonger pula diletakkan sebagai pemberontak kerana T'Challa lebih layak menjadi raja. Dinasti perlu menang berbanding tradisi.

4. Pengenalan plot baru sebagai solusi, kemudian dibuang dalam filem berikutnya

pepper potts iron man 3 extremis virus

Perasan tak, banyak kali teknik penceritaan dalam MCU menggunakan kaedah pengenalan sesuatu plot atau kaedah yang baru yang mampu menyelesaikan masalah dihadapi, sebelum plot atau kaedah itu dibuang atau dilupakan begitu saja?

Bagi menimbulkan kesan dramatik, watak Thor dikatakan tidak akan dapat kembali ke bumi lagi pada penamat filem 'Thor'? Ada beri kesan pada filem berikutnya? Pada penghujung 'Iron Man 3', Tony Stark meletupkan kesemua pakaian besinya - apa berlaku selepas itu? Watak Pepper Potts pula, disebabkan perlu menyelamatkan kekasihnya dibekalkan dengan virus Extremis yang memberikan dia kuasa - apa jadi selepas itu?

Pada penghujung Civil War, watak War Machine diserang oleh kawannya sendiri sehingga menyebabkan dia terjunam dan patah tulang belakang. Impak kemalangan itu tak lama kerana tak lama selepas itu dia kembali pulih seperti biasa.

Dapat dilihat Marvel atau Disney seakan-akan takut mahu mengekalkan sesuatu dalam plot ceritanya serta seboleh-bolehnya mahu semua kembali pulih seperti sediakala, setiap kali terbitnya filem baru yang seterusnya. Malas penulis nak ungkit betapa mudahnya Heimdall berjaya menghantar Hulk tepat-tepat kepada Doctor Strange, sebelum mati ditangan Thanos. Senang sangat jalan ceritanya.

5. Adiwira atau pembunuh bertaraf mega?

hulk bantai loki

Sekiranya anda tonton kembali majoriti filem dibawah MCU, kebanyakannya gagal memaparkan sebarang bentuk moral kompas yang diperlukan sebagai seorang adiwira. Sekiranya kita lihat watak Batman atau Superman dalam komik daripada DC misalnya, kedua-dua watak ini terkenal sebagai watak yang tidak akan membunuh sewenang-wenangnya.

Bagaimanapun, setiap anggota Avengers seolah-olah tidak ada perasaan bersalah langsung membunuh asalkan nyawa yang dibunuhnya datang dari pihak lawan. Mungkin itu sesuatu yang perlu sebagai asas jalan cerita adiwira di mana baik akan menang ke atas pihak jahat - bagaimanapun kita masih lagi bercakap tentang nyawa.

Apabila separuh daripada nyawa hidupan di seluruh dunia dilenyapkan oleh Thanos, pasukan adiwira kita terduduk apabila mengenang kembali mereka yang terkorban tetapi hendak tak hendak kita perlu mengakui - selepas pertempuran di New York dalam filem Avengers pertama dan pertempuran di Wakanda semasa Infinity War; banyak juga sebenarnya nyawa yang dah terkorban di tangan adiwira kita.

Perlukah mereka rasa bersalah mematikan beribu-ribu nyawa itu? Daripada dasarnya kita beranggapan tidak perlu - itu semua pihak jahat. Tetapi tidakkah itu sebenarnya menyampaikan mesej kepada kita secara senyap; ada nyawa yang berharga dan ada juga yang tidak berharga?

Penulis percaya - satu-satunya watak adiwira yang tidak membunuh sesiapa dalam siri filem MCU adalah Peter Parker/ Spiderman. Selebihnya? Kill kill! Die die! No mercy!

6. Terlalu bergantung dengan adegan lepas kredit untuk menyambung jalan cerita

end credit infinity war

Tak perlulah kot penulis ulas panjang tentang teknik popular ini. Adegan lepas kredit sudah jadi satu kemestian dalam filem sinematik Marvel, dimulakan dengan kemunculan Tony Stark dalam filem The Incredible Hulk. Tren ini kemudiannya disambung dan disambung dan disambung bagi membolehkan jalan cerita seterusnya diperkenalkan, sambil membuatkan peminat teruja.

Ini sebenarnya satu teknik malas yang diambil oleh Marvel dalam mencipta jalan cerita dalam filem mereka. Tidak ada nampak sebarang usaha untuk memasukkan elemen-elemen itu terus ke dalam cerita, tanpa perlu bergantung dengan gimik adegan selepas kredit.

Sebagai contoh, pada penamat filem Ant-Man & The Wasp sebenarnya boleh saja filem itu diteruskan tanpa wujud jarak di antara adegan akhir dalam filem dengan adegan selepas kredit.

Begitu juga dengan adegan lepas kredit Infinity War. Kesemuanya boleh saja diadunkan sekali terus ke dalam cerita tetapi entah mengapa - adegan lepas kredit menjadi sangat popular, sehinggakan ramai yang sanggup menunggu berminit-minit hanya untuk melihat seminit dua adegan yang digunakan untuk menutup kelemahan jalan cerita.



Hakcipta iluminasi.com (2017)