Oleh pada 11 Oct 2020 kategori

gegar vaganza 2020 971

Kredit foto: Instagram Astro Gempak

    

Program realiti popular, Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) kembali dengan barisan 14 penyanyi 'otai' tanah air untuk bersaing di sebuah pentas pertandingan.

Rancangan ini terlebih dahulu menobatkan Ayai Ilusi sebagai juara musim pertama (GV1), Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3), Aishah (GV4), Noryn Aziz (GV5) serta Naqiu dan Hady Mirza (juara bersama GV6).

   

juara gegar vaganza 243

Kredit foto: Instagram Siti Nordiana

    

Konsep

Penyanyi berpengalaman yang antaranya memegang status 'lagenda' kembali menjenamakan semula nama mereka dengan menyahut cabaran beraksi di sebuah pertandingan nyanyian yang mendapat liputan meluas.

Musim yang mengetengahkan tagline ‘Mara Suara Membara’ ini mengumpulkan jumlah penyertaan terbanyak sepanjang sejarah penganjuran GV, serta dilaksanakan berlandaskan SOP dan rutin kelaziman baharu sebagaimana yang ditetapkan kerajaan.

   

peserta gegar vaganza 2020 981

Kredit foto: Instagram Astro Gempak

    

Peserta

14 penyanyi terdiri daripada 6 penyanyi solo lelaki, 6 penyanyi solo wanita dan dua buah kumpulan dipilih berdasarkan kriteria populariti lagu berhantu yang pernah dirakam, selain reputasi dan pengalaman yang diraih sebagai penyanyi, serta mengambil kira permintaan peminat yang menjadi tunjang utama dalam melonjakkan fenomena GV.

Barisan peserta adalah Mus (May), Ayu Damit, Rozita Izlyn, Yantzen, Aju (vokalis kumpulan Success), Noraniza Idris, Haslinda, Ashira Aziz, Cliff Umar (vokalis Projek Pistol), Linda Nanuwil, Oja, Nomad, kumpulan Indigo dan kumpulan Eva.

Hanya seorang wakil luar negara iaitu Yantzen, penyanyi kelahiran Singapura yang kini menetap di Malaysia.

Ia rentetan faktor keselamatan selain syarat SOP yang ketat perlu dipatuhi pihak produksi susulan penularan pandemik COVID-19. Secara tidak langsung ia menyaksikan dominasi penyertaan dalam kalangan artis tempatan.

   

Juri

Mengekalkan pengarah muzik tersohor, Datuk Haji Ramli MS dengan peranannya di kerusi juri tetap, selain mengembalikan penyanyi lagenda negara, Datuk Khadijah Ibrahim (Khatijah Ibrahim) yang berehat daripada tugas penjurian musim lalu.

Turut serta, seorang juri undangan dijemput secara mingguan.

    

Format Penjurian

Penilaian sepenuhnya berdasarkan markah daripada barisan juri profesional. Peserta dengan markah terendah akan disingkirkan di penghujung konsert.

    

Hadiah

Juara konsert akhir bakal mendapat habuan berupa wang tunai RM100,000 berserta trofi sumbangan Astro.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing meraih RM50,000 dan RM30,000 berserta trofi.

Manakala kedudukan keempat, kelima dan keenam membawa pulang RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 berserta trofi.

Segmen ‘Kongsi Rezeki’ yang akan diselitkan di konsert minggu kedua hingga kesepuluh akan memperuntukkan ganjaran sejumlah RM10,000 kepada setiap penerima yang terpilih.

   

Pengarah Muzik

Seperti mana musim-musim lalu, Datuk Haji Ramli MS sekali lagi memegang tugasan sebagai pengarah muzik bagi setiap konsert.

   

Penaja

Farm Fresh bertindak selaku Penaja Utama dengan kerjasama Adabi dan Cuckoo Healthy Home sebagai Penaja Bersama.

Manakala Digi berperanan sebagai Telco Rasmi.

    

Rakan Digital Dan Radio Rasmi

Astro Go dan portal Gempak hadir sebagai Rakan Digital Rasmi bersama SINAR sebagai Rakan Radio Rasmi.

   

Tempoh Siaran

Ke udara selama 10 minggu berturut-turut.

    

gegar vaganza 7

Kredit foto: Instagram Astro Gempak

    

Pengacara

Siaran konsert menampilkan gandingan yang tidak asing lagi, Nabil Ahmad dan Jihan Muse selaku pasangan hos.

Manakala program ‘Kapsul Gegar Vaganza’ diacarakan personaliti SINAR, Falyq Hikyle.

Daniel dan Fiza Frizzy pula mengemudikan program ‘Gegar Vaganza Live Plus’ yang disiarkan di platform digital serentak ketika berlangsungnya konsert mingguan.

   

konsert gegar vaganza 2020

Kredit foto: Instagram Astro Gempak

   

Waktu Siaran

Kesemua program GV7 menemui penonton secara eksklusif di saluran Astro Ria, namun juga boleh didapati secara dalam talian menerusi portal Gempak dan aplikasi Astro Go.

Konsert mingguan GV7 ditayangkan setiap Ahad, jam 9 malam mulai 11 Oktober 2020, siaran selama 10 minggu dan dibawakan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

‘Kapsul Gegar Vaganza’ yang mengetengahkan trivia dan persediaan para peserta menghadapi acara konsert akan disiarkan pada Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang mulai 5 Oktober 2020 bagi lima episod pertama. Siaran ulangan pada jam 11.30 malam.

‘Gegar Vaganza Live Plus’ mengisi kandungan platform digital di www.gempak.com/gegarvaganza sewaktu konsert mingguan GV7 berlangsung.

    

Kredit video: [LIVE] Konsert Gegar Vaganza 2020 Live + Minggu 1

   

Sumber:

1. Dominasi Penyanyi Tempatan Di Pentas ‘GV7`

2. Gegar Vaganza musim ketujuh kembali dengan 14 peserta

   



Hakcipta iluminasi.com (2017)