Oleh pada 31 Aug 2022 kategori

Kredit foto: Instagram Anak Rimau

Anak Rimau The Movie ialah sebuah filem Malaysia 2022 berlatarkan sukan bola sepak yang diarahkan oleh pengarah Areel Abu Bakar.

Dibintangi oleh Beto Kusyairy, Idan Aedan, Ahmad Daniel Hakimi, Hanz Daniel Skelchy dan Adam Corrie, filem ini akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 1 September 2022.

Filem yang menelan bajet RM5.5 juta itu mendapat sokongan Cyberlynx International College sebagai penaja utama, manakala Al-Ikhsan Sports sebagai penaja pakaian sukan rasmi, diterbitkan dengan usaha sama Majlis Sukan Negara (MSN), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menggunakan perkhidmatan lebih 2,000 pelakon tambahan, idea untuk menghasilkan filem itu dicetuskan pada April 2018, bagaimanapun, penggambaran bermula tiga bulan kemudian.

Penggambaran mengambil masa selama 60 hari dan berlangsung di lokasi menarik seperti Pulau Tioman, Kuantan, Sungai Lembing, Beserah dan AMD. Ia telah selesai pada Ogos 2019.

    

Filem ini yang sepatutnya ditayangkan pada 2020, bagaimanapun telah ditangguhkan kerana penularan wabak COVID-19.

anak rimau the movie cast

Kredit foto: Instagram Anak Rimau

Sinopsis

Membangkitkan semangat dan perjuangan generasi baharu dalam mengejar impian sebagai pemain bola sepak, Anak Rimau The Movie mengangkat kisah sekumpulan anak muda di Akademi Bola Sepak Malaysia (Anak Rimau Academy) yang sangat berbakat dalam lapangan sukan dan datang daripada pelbagai latar belakang.

Walau bagaimanapun, mereka menghadapi pelbagai cabaran, konflik, jatuh bangun sebagai individu dan sebagai satu pasukan. Bagi merebut Piala Jemputan Bola Sepak Belia ASEAN, kecekalan dan sikap tidak berputus asa mereka diuji melalui kerjasama, isu kekeluargaan, rintangan hidup dan perlumbaan untuk menjadi yang terbaik.

Baca: 10 Filem Melayu Malaysia Terbaru & Terbaik 2022 - Mesti Tonton!

anak rimau

Kredit foto: Instagram Mustaqim Bahadon

Pelakon / Cast

Diterajui pelakon hebat Beto Kusyairy dengan mengetengahkan bintang baharu, Idan Aedan dan dua pemain bola sepak kategori bawah 14 tahun dari Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil @ Kechikimi dan Hanz Daniel Skelchy.

Watak lain dihidupkan dengan persembahan mantap daripada pelakon Malaysia Azhan Rani, Adam Corrie, Mustaqim Bahadon, Taiyuddin Bakar, Megat Sharizal, Redzwan Adha, Joel Timothy Low dan barisan pemain bola sepak AMD iaitu Izz Qhuzaidie Mazni Alif Aiman Mohamad, Amil Haikal Rozmi, Nazwan Abdullah, Nur Qayyum Irfan Jamil, Airiel Zafran Mohd Azrul, Al Kausal Jarah, Shahmeer Rusli dan Adam Shauki Asmady.

Kemunculan bersama anak saudara Sultan Pahang, iaitu Wan Omar Daanyal Wan Ahmad Muadzam.

anak rimau movie

Kredit foto: Instagram Anak Rimau

Pengarah Dan Syarikat Produksi

Sebuah karya sentuhan pengarah Areel Abu Bakar di bawah penerbitan syarikat produksi Keeklr Films Sdn Bhd.

Lagu Tema (OST)

Anak Rimau The Movie menggunakan lagu tema berjudul Pentas Dunia yang merupakan ilham pencipta lagu Bajai, manakala liriknya ditulis oleh Amylea Azizan, dinyanyikan oleh kumpulan pelakon seperti Idan Aedan, Kechikimi, Hanz Skelchy, Wan Omar Daanyal, Joel Low dan Hakeem Sufian. Video muzik itu telah dilancarkan di YouTube sejak 7 Julai.

anak rimau cast

Kredit foto: Instagram Anak Rimau

Tarikh Tayangan

Dengan durasi selama 143 minit, filem berbahasa Melayu ini akan ditayangkan serentak di 68 pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam pada 1 September 2022.

Kredit video: Anak Rimau The Movie - Official Trailer




Hakcipta iluminasi.com (2017)