Oleh pada 01 Aug 2023 kategori

Kredit foto: Instagram TV3 Malaysia

       

Menyusuli drama siri Obsesi Dia, kini hadir Aku Yang Kau Sakiti, hasil karya baharu di slot Samarinda, diarahkan oleh Riza Baharudin dan dihasilkan dengan garapan skrip oleh Farhana Fauri. Tayangan perdana akan berlangsung pada 1 Ogos 2023, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 10 malam.

         

aku yang kau sakiti drama

Kredit foto: Instagram iQIYI Malaysia

         

Sinopsis

Aku Yang Kau Sakiti menceritakan kisah seorang gadis bernama Amanda (Rita Nadira), yang merupakan anak yatim piatu selepas kehilangan bapanya, Tuan Danial, akibat terjerat dengan sindiket pinjaman wang. Tuan Danial mengambil pinjaman dari sindiket atas arahan Tuan Zaki (Zamarul Hisham), yang pada masa lalu hampir dilanda muflis.

Selepas kematian bapanya, Amanda kini tinggal bersama ibu saudaranya, Mak Su (Jasmin Hamid), dan sepupunya, Sara (Iman Suhana) di rumah peninggalan arwah. Malangnya, Sara memiliki sifat materialistik dan sering mengharapkan bantuan kewangan dari Amanda.

Di samping itu, Amanda juga diberikan perhatian dan perlindungan oleh keluarga Tuan Zaki, yang juga merupakan ayah kepada Bella (Fify Azmi), sahabat baiknya. Tuan Zaki menganggap Amanda seperti anak sendiri dan terhutang budi dengan pengorbanan sahabat karibnya, arwah bapa Amanda.

Namun, dendam yang terpendam di hati Amanda sukar untuk dilenyapkan, terutama selepas menderita kehilangan bapanya sejak zaman sekolah. Kehilangan itu telah membentuk hubungan Amanda dengan orang sekelilingnya yang kelihatan indah, namun sebenarnya diselubungi oleh sifat dendam yang membara dalam dirinya. Amanda menyimpan misi tersendiri untuk mencari keadilan. Dia memutuskan untuk bekerja di syarikat Tuan Zaki, dengan rancangan rahsia untuk membalas dendam atas apa yang menimpa keluarganya.

Setelah mencapai usia 20 tahun, Amanda akhirnya mendapat pekerjaan sebagai pembantu Bella di syarikat Tuan Zaki. Namun, melihat kehidupan sempurna Bella membuat Amanda penuh dengan rasa sakit hati. Selain itu, dia mempunyai hasrat untuk menggulingkan Tuan Zaki atas dendamnya.

Namun, dalam kesusahan, Rykal (Redza Rosli) sentiasa ada di sisi Amanda dan menyimpan perasaan terhadapnya. Rykal dengan sabar memberikan nasihat dan sokongan kepada Amanda.

Rykal ingin menyunting Amanda menjadi isterinya, namun, Amanda menolak niat baik itu dengan alasan bahawa dia masih belum bersedia untuk berkahwin. Bagi Amanda, dia ingin menghadapi trauma yang pernah dialami dan mencari kebahagiaan seperti rakan-rakannya yang lain.

Mampukah Amanda melepaskan dendam kesumat terhadap Tuan Zaki? Atau kehadiran Rykal akan membawa persepsi yang baharu dalam hidup Amanda dan perasaannya berubah menjadi cinta?

         

Baca: Biodata Dan Latar Belakang Pelakon Rita Nadira

         

aku yang kau sakiti sinopsis

Kredit foto: Instagram Drama Sangat

          

Pelakon / Cast

Drama ini akan menampilkan paduan istimewa antara bakat pelakon muda dan berpengalaman iaitu Redza Rosli, Rita Nadira dan Zamarul Hisham sebagai watak utama, dengan dibantu beberapa pelakon sampingan iaitu Fify Azmi, Syazuwan Hassan, Jasmin Hamid, Iman Suhana, Syazwan Zulkifly, Natasya Mahyan, Aleza Shadan, Izuan Razali, Anies Hann, Ain Yasmin dan Zazly Baginda.

         

Watak Pelakon

Rita Nadira sebagai Amanda

Redza Rosli sebagai Raikal

Zamarul Hisham sebagai Tuan Zaki

Fify Azmi sebagai Bella

Syazwan Zulkifly sebagai Faris

Jasmin Hamid sebagai Mak Su Ippah

Iman Suhana sebagai Sara

Natasya Mahyan sebagai Cika

Aleza Shadan sebagai Puan Mazwin

Syazuwan Hassan sebagai Shahrul

Anies Hann sebagai Mia

Izuan Razali sebagai Faizal

Ain Yasmin sebagai Suzana

Zazly Baginda sebagai Encik Rasyid

         

aku yang kau sakiti episode 1

Kredit foto: Instagram Drama Sangat

       

Pengarah Dan Syarikat Produksi

Diterbitkan oleh Saphire Screen Sdn Bhd, siri ini adalah karya asal dengan skrip yang ditulis oleh Farhana Fauri dan pengarah berpengalaman, Riza Baharudin, yang mengarahkan penghasilan siri ini.

       

Lagu Tema (OST)

Kredit video: BUAT KU SETIA - SYAH PUTRA X HARIZ FAYAHET [OFFICIAL MUSIC VIDEO OST AKU YANG KAU SAKITI ]

        

Tajuk: Buat Ku Setia

Penyanyi: Syah Putra, Hariz Fayahet

Komposer: Firdaus Rahmat, Naim Daniel

Penulis lirik: Firdaus Rahmat, Naim Daniel

         

pelakon aku yang kau sakiti

Aku Yang Kau Sakiti - sebuah karya bukan adaptasi novel. Kredit foto: Instagram Anies Hann

        

Waktu Siaran

Bermula pada 1 Ogos 2023, drama bersiri selama satu jam dengan 20 episod ini akan disiarkan di slot Samarinda, saluran TV3, setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 10 malam.

Selain itu, laman penstriman iQiyi menyediakan pilihan tontonan secara dalam talian tanpa batas jadual tayangan. Pelanggan VIP boleh menonton tayangan ini hanya dalam masa sejam selepas ia disiarkan di kaca TV. Bagi pelayar percuma, akses kepada tontonan boleh dinikmati selepas 48 jam dari tayangan perdana di televisyen.

       

Tajuk cerita? Aku Yang Kau Sakiti

Berapa episod? 20 episod

Setiap hari apa? Isnin hingga Khamis

Bila tayang? Jam 10 malam

Tonton di mana? TV3 dan platform online, iQIYI

        

Untuk lebih info dan sinopsis drama-drama melayu terkini, klik >> Iluminasi Kategori Drama

      

Kredit video: Di Sebalik Tabir Aku Yang Kau Sakiti (Episode 1 Pada 1 Ogos 2023)

         




Hakcipta iluminasi.com (2017)