25 ke 30 tahun lalu, perkataan K-pop mahupun K-drama tidak wujud. Masyarakat dunia tidak banyak mengetahui tentang industri hiburan di Korea Selatan. Namun hari ini, tanya saja anak-anak muda tentang band-band K-pop, atau drama-drama Korea yang menjadi pilihan, sudah pasti ada sahaja jawapannya. Sejak bila, dan bagaimanakah industri hiburan Korea Selatan boleh berkembang?
BESARKAN TEKS A- A+
Hallyu Wave, Korean Wave dan Gelombang Korea
Wartawan-wartawan Beijing adalah golongan yang bertanggungjawab memperkenalkan terma, Hallyu Wave atau Korean Wave, yakni gelombang Korea, sekitar tahun 1990an di mana mereka membincangkan peningkatan mendadak populariti global dan minat terhadap budaya Korea dan budaya pop.
Terma ini merangkumi peningkatan minat mendalam terhadap Korean pop (K-pop), drama Korea (K-dramas) dan kebangkitan jenama-jenama Korea Selatan seperti Samsung dan LG, yang menjadi pemegang pasaran utama dalam arena antarabangsa.
Memandangkan terma ini pertama kali digunakan pada tahun 1999, tempoh masa sekitar tahaun berkenaan akan dilihat lebih dekat bagi memahami dengan lebih mendalam tentang gelombang Korea.
Peranan kerajaan Korea ketika krisis kewangan 1997
Ketika krisis kewangan Asia pada tahun 1997, Korea Selatan mula mengenakan sekatan ke atas import kebudayaan dari Jepun, yakni import-import hiburan seperti filem, lagu, animasi dan sebagainya. Namun tidak ramai menyangka bahawa tindakan ini bakal memberi keuntungan buat negara tersebut di masa akan datang.
Strategi berkenaan sebenarnya bertujuan bagi mengelakkan Korea Selatan daripada terlalu bergantung kepada negara lain dalam industri kebudayaan, dan mengelakkan pengaliran wang keluar disebabkan hal tersebut. Antara langkah yang diambil oleh Kementerian Kebudayaan Korea Selatan bagi tujuan itu adalah dengan melancarkan beberapa buah projek bagi mengukuhkan budaya tempatan dan melahirkan sendiri bakat-bakat tanah air.
Projek tersebut melibatkan pembentukan sekurang-kurangnya 300 jabatan berasaskan kebudayaan di universiti-universiti di seluruh Korea Selatan. Strategi ini ternyata berkesan, dan mereka akhirnya berjaya menghasilkan sebuah filem dengan bajet besar, iaitu Shiri, yang mencapai kejayaan luar biasa, dengan keuntungan melebihi filem Titanic.
Bermulanya gelombang Korea ke seluruh dunia
Sekitar waktu yang sama, banyak K-dramas mula ditayangkan di China, membawa kepada peningkatan mendadak pengimportan budaya Korea ke China. Dari sinilah, bermulanya gelombang Korea. Peningkatan tersebut sebenarnya tidak terhad kepada negara China sahaja, malah negara Asia Timur seperti India dan Jepun turut terkesan dengan K-dramas. Negara-negara Asia Tenggara seperti Thailand, Brunei, Filipina, Indonesia, Singapura dan Malaysia sendiri pun mula beralih arah kepada Korea bagi mendapatkan hiburan semasa.
Yang paling menonjol adalah ketika drama Winter Sonata mula ditayangkan secara rasmi. Drama berkenaan yang dihasilkan oleh KBS2, adalah merupakan salah sebuah siaran di bawah syarikat Korean Broadcasting System (KBS). Winter Sonata dengan jalan cerita yang menyedihkan berjaya menyentuh hati ramai peminat di negara serantau.
Peranan K-Drama dan K-Pop menguatkan gelombang Korea
Penghasilan drama seperti Full House, Autumn In My Heart dan Stairway to Heaven juga berjaya meletakkan Korea Selatan di mata dunia, menguatkan lagi gelombang sedia ada. Drama-drama ini mula ditayangkan ketika waktu perdana di kebanyakan televisyen negara-negara Asia.
Ketika dominasi K-drama semakin berkembang, K-pop juga berjaya menarik perhatian ramai, yang diterajui oleh kumpulan band lelaki seperti H.O.T., dan bintang Korea terkenal iaitu BoA. H.O.T. menjadi artis K-pop pertama yang membuat persembahan di luar negara, manakala BoA pula menjadi artis Korea pertama dengan album dijual melebihi sejuta unit di Jepun. Kejayaan sebenar hanya hadir sekitar tahun 2005 apabila nama-nama besar seperti SS501 dan Super Junior mula membuat penampilan, di mana dengan pantas mereka diangkat menjadi idola, oleh peminat di sekitar Asia.
Teknologi canggih menyumbang kepada gelombang Korea
Dengan perkembangan teknologi telefon pintar, media sosial, laman perkongsian video dan teknologi digital, gelombang Korea tersebar ke seluruh dunia sekitar tahun 2010, seperti yang dibuktikan melalui eksport muzik Korea Selatan yang mencecah pertumbuhan sebanyak 168 peratus.
K-drama dan K-pop semakin lama semakin mendapat tempat di hati penonton Barat, dan mula mengumpul peminat dari seluruh pelusuk dunia. Lagu Gangnam Style oleh Psy yang viral pada tahun 2012 turut meningkatkan lagi populariti K-pop dalam media arus perdana.
Terima kasih kepada YouTube dan lain-lain laman perkongsian video, gelombang Hallyu berjaya sampai ke Amerika Syarikat meskipun terdapat keengganan media di negara terbabit untuk menayangkan lagu-lagu K-pop dan K-drama.
2012, tahun Gangnam Style menjadi viral, adalah tahun yang sama di mana Barack Obama diangkat menjadi Presiden Amerika Syarikat. Beliau sendiri mengakui tentang wujudnya gelombang Korea.
Manfaat gelombang Korea
Buat masa ini, pemasaran Hallyu adalah agak berleluasa di seluruh dunia di mana syarikat-syarikat tempatan mula mengeksploitasi populariti budaya K-pop bagi meluaskan pasaran mereka. LG Electronics adalah contoh yang baik.
Mereka banyak menganjurkan konsert K-pop di seluruh dunia, dan mengambil selebiri terkenal Korea Selatan sebagai duta bagi mengesahkan (endorse) produk mereka, dan meningkatkan kesedaran jenama mereka di peringkat antarabangsa.
Sebenarnya, gelombang Korea banyak membawa manfaat kepada Korea Selatan, dari segi sosial, ekonomi mahupun pelancongan. Industri hiburan Korea Selatan berkembang dengan sangat pantas, dan banyak negara sedang mengkaji faktor-faktor yang menyumbang kepada perkembangan tersebut.
Jika dilihat dari sudut ekonomi pula, 60 tahun lalu, Korea Selatan adalah sebuah negara miskin, namun mereka berjaya membina ekonomi dan infrastruktur yang kukuh dalam masa yang sangat singkat.
Kesimpulan berkaitan isu ini
Pada pendapat penulis, sebenarnya masyarakat Korea Selatan bukan berjaya dalam industri hiburan sahaja, malah dalam segenap aspek kehidupan. Hal ini adalah disebabkan budaya mereka sendiri, yang menganjurkan mereka untuk bersatu padu, bekerja keras dan kompetitif.
Mereka sedar bahawa tiada siapa yang akan membantu mereka sekiranya mereka jatuh, jadi mereka terpaksa bergantung kepada diri mereka sendiri.
Persoalan terbesar adalah, bolehkah negara-negara lain menggunakan model gelombang Korea untuk mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa, sebagaimana yang dilakukan oleh Korea Selatan?
Sumber: