Oleh pada 17 Feb 2017 kategori

Fenomena K-Wave (singkatan bagi Korean Wave) ataupun gelombang Korea bukanlah suatu perkara yang baru di negara kita. Malah, gelombang yang berasal dari Korea Selatan ini telah berjaya 'merasuk' jutaan peminat di seluruh dunia.

Ada sesetengah peminat dikatakan akan menjadi terlalu obses dan fanatik sehingga sanggup menghabiskan wang ribuan ringgit untuk memenuhi nafsu K-Pop mereka dengan menghadiri konsert, pergi ke fan meeting untuk bertemu selebriti, pembelian cenderamata dan menaja makanan atau hadiah kepada selebriti kegemaran.

Bagi peminat drama Korea (K-drama) khususnya, ramai peminat yang mengaku menjadi ketagih dan sukar untuk berhenti menonton. Ada yang menonton sepanjang malam sehingga tidak cukup tidur. Persoalannya, mengapa? Mari kita kupas apakah antara alasan mereka terlalu asyik dengan K-drama.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Pelakon-pelakon Korea sangat hot dan menarik

Korean Eye Candies (L-R) : Lee Min-Ho, Kim Soo Hyun, Lee Jong Suk. Bawah : Jang Geun Suk, Ji Chang Wook, Jung Yong Hwa

Walaupun ramai yang mempertikaikan keaslian wajah pelakon Korea kerana dikatakan melakukan pembedahan plastik, namun tidak dinafikan masih ramai lagi aktor dan aktres yang memiliki wajah natural dan menarik sejak kecil. Rupa paras yang tampan dan jelita, tubuh badan tinggi lampai yang dijaga rapi serta kulit mulus inilah yang membuatkan ramai peminat tertarik untuk menonton drama mereka.

2. K-Drama mudah diakses

Terdapat lambakan website yang boleh dilawati untuk menonton atau memuatturun K-drama. Hanya Google "tonton drama Korea" atau "watch Korean drama" dan anda boleh dapati ratusan laman web yang boleh menjadi pilihan. Drama-drama terbaru yang disertakan dengan sari kata bahasa Inggeris dimuatnaik dalam masa selang beberapa jam sahaja dari waktu tayangan di Korea. Manakala peminat dari negara yang tidak fasih berbahasa Inggeris juga boleh memilih sari kata pilihan mereka seperti bahasa Russia, Thai ataupun Arab.

3. Kepelbagaian format episod

Kebanyakan K-drama ditayangkan dalam 16-20 episod. Namun terdapat juga sesetengah drama yang lebih panjang melebihi 50 episod. Selain itu, syarikat produksi juga gemar merakam drama mini dan web drama yang mengandungi kurang dari 10 episod.

athena korean action perang drama aksi

Gambar daripada drama Athena Goddess of War

4. Kepelbagaian genre

Ada yang mengatakan mereka tidak gemar menonton drama Melayu kerana genre yang selalu berulang-ulang. "Balik-balik cerita Suamiku, Boyfriendku, Abang Bomba, Abang Pilot," kata mereka. Sekiranya anda menonton drama Korea, anda akan dapati genre yang diolah adalah agak menyeluruh dan merangkumi semua jenis plot. Ada drama cinta komedi, aksi, jenayah, remaja, kekeluargaan, melodrama, sains fiksyen, fantasi dan banyak lagi variasi.

5. Keserasian antara pelakon dan emosi yang ditonjolkan

Drama Korea sering memaparkan emosi yang betul-betul berjaya memukau perasaan penonton. Kisah sedih dalam drama mampu mengalirkan air mata sesiapa saja yang menonton. Begitu juga dengan drama genre komedi yang boleh diikuti dengan gelak dan hilai tawa. Para penonton kerap bergelut dengan emosi benci, sedih, menyampah, geram, gembira dan keliru ketika menonton drama Korea. Keserasian antara semua pelakon pula membuatkan jalan cerita menjadi lebih mantap dan salah satu faktor yang menjayakan sesebuah drama.

joong ki bo gum serasi chemistry

Song Joong Ki dan Park Bo Gum

6. Kekuatan karakter 

Pelakon Korea rata-rata mempunyai ijazah dari universiti terkemuka di Korea dalam bidang seni. Ini bermakna mereka sememangnya ideal untuk berada di kaca TV dan mampu menjiwai watak dengan baik kerana telah mendapat pendedahan secara rasmi dari awal. Mereka juga akan melakukan kajian intensif selama beberapa bulan sebelum melakonkan sesuatu watak. Jadi, boleh dikatakan jarang kita dengar istilah 'pelakon kayu' dalam industri perfileman Korea.

7. OST yang mantap

Drama Korea tanpa runut bunyi ataupun original sound track (OST) sememangnya akan terasa tidak bermakna. Lagu-lagu Korea kebanyakannya digubah dengan baik dan berpadanan dengan jalan cerita. Apatah lagi jika penyanyi yang membawa lagu tersebut merupakan artis popular dengan vokal yang padu. Semestinya akan menjadi hit!

Sampai Shila Amzah pun buat cover OST drama Korea! Sedap sangat :'D

8. Makanan Korea

Makanan Korea semestinya semakin digemari ramai. Kimchi, bibimbap, bulgogi dan banyak lagi juadah lain kian mendapat tempat dalam hati rakyat Malaysia. Dalam drama Korea, banyak dipaparkan adegan makan hidangan tradisi Korea hingga boleh mengecurkan air liur si penonton. Tapi selalunya tengok pelakon makan mi segera pun dah nampak sangat sedap dan boleh buat kita terus lapar!

mi segera lapar korea

9. Ciri-ciri kebudayaan dan tradisi

Anda dapat perhatikan budaya masyarakat Korea menerusi drama-dramanya. Adab sopan-santun, gerak badan dan cara pertuturan dapat dilihat dalam kehidupan seharian mereka. Rakyat Korea, seperti rakyat Jepun, amat menitikberatkan adab dengan orang yang lebih tua dan ungkapan "terima kasih" tidak pernah lekang dari mulut mereka.

10. Penggunaan bahasa dan frasa yang menarik

Skrip drama Korea selalu menyelitkan istilah atau frasa yang diulang-ulang sama seperti dalam kehidupan seharian masyarakat Korea. Ada juga rakyat Malaysia yang sudah terbiasa menggunakan istilah-istilah seperti "oppa", "daebak" dan "aigoo" apabila berkomunikasi dengan orang sekeliling. Menagihkan, kata mereka.

11. Tempat-tempat menarik sebagai lokasi penggambaran

legend of the blue sea namsan tower

Gambar daripada drama Legend of the Blue Sea yang dirakam di Namsan Tower.

Tanpa perlu mempelajari peta dunia dan membaca ensiklopedia, penonton K-drama boleh mengetahui tentang tempat-tempat bersejarah dan menarik di Korea. Tempat-tempat seperti Namsan Tower, Gyeongbokgung dan Hangang sering menjadi lokasi penggambaran pilihan produksi dan biasa disebut dalam skrip drama. Secara tidak langsung mereka berjaya mempromosikan negara ke seluruh dunia. Bagus kan?

12. Drama bersejarah (Sageuk)

jewel in the palace korea drama

Drama sageuk merupakan drama-drama bersejarah yang memaparkan susur-galur dan hikayat kisah silam Korea pada zaman dahulu. Walaupun bunyi unsur sejarah itu pada dasarnya seperti membosankan, tetapi sebenarnya drama sageuk yang ditayangkan adalah sangat menarik. Jalan cerita, pakaian, latar belakang, penggunaan bahasa dan elemen lain yang digunakan adalah sangat believable. Tak mengantuk pun!

13. Tiada aksi melampau atau keterlaluan

Drama Korea kebanyakannya adalah general-rated dan sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Jika dibandingkan dengan drama dari Barat, Jepun atau China, drama Korea jarang sekali mengandungi kata-kata kesat, mencarut atau memaparkan adegan lucah dan ganas yang ekstrem.

14. Fesyen yang trendy dan cool

korean fesyen drama

Penggemar fesyen pasti menyukai drama Korea kerana para pelakon sentiasa tampil bergaya dengan fesyen terbaru. Adakalanya fesyen yang dipakai diambil terus dari pentas peragaan jenama-jenama terkemuka. Aksesori yang dipadankan pun tak kurang hebatnya.

15. Unsur pengajaran dan nilai-nilai murni dalam drama

Drama Korea sering memperlihatkan unsur pengajaran dalam penceritaannya, sama ada secara terang-terangan atau yang memerlukan tafsiran penonton.

Walau bagaimanapun, pepatah ada mengatakan, "Kisah yang baik dijadikan teladan dan yang buruk wajib dijadikan sempadan." Kita sebagai penonton harus pandai menilai sendiri yang mana baik dan yang mana tidak baik. Jadi, kalau nak tonton cerita apa-apa sekalipun, tontonlah dengan langkah beringat.

warning amaran kdrama ketagih




Hakcipta iluminasi.com (2017)