Gambar Sekadar Hiasan

Tidak dapat dinafikan selepas berlakunya peralihan kuasa kerajaan daripada kerajaan pimpinan lama kepada yang ada sekarang, salah satu Kementerian yang akan menjadi fokus utama masyarakat kita - adalah Kementerian Pendidikan.

Begitulah juga pada saya, kerana bagi saya Kementerian Pendidikan merupakan sebuah kerusi yang layak dikatakan kerusi panas dalam kerajaan, ekoran daripada kesan jangka pendek dan jangka panjang mana-mana dasar yang dibuat oleh kementerian itu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sebagai seorang ayah kepada seorang anak yang baru menamatkan persekolahan tahun pertama, ada beberapa perkara yang agak menggusarkan saya yang sangat kerap berlaku dalam sistem pendidikan sekolah rendah kita. Walaupun tulisan ini hanyalah dilakukan berdasarkan kepada pemerhatian saya, hasil perbincangan saya dengan individu lain di sekeliling saya kerap kali menyebutkan kewujudan fenomena serupa.

Fenomena ini pula malangnya seakan dibiarkan melarat, hanya kerana kita mahu membuat pelajar sekolah gembira.

Anasir buruk dalam pendidikan

terpengaruh kpop sekolah

Kesan pengaruh budaya luar memang amat mudah meresap masuk ke dalam sistem sosio-masyarakat kita, apatah lagi bila teknologi memudahkan pendedahan kita kepada banyak elemen-elemen luar yang kini seakan tidak lagi ditapis, keluar masuk tanpa sebarang kekangan.

Apa yang saya maksudkan adalah berkenaan pengaruh 'budaya popular' atau 'pop-culture' yang semakin lama, semakin diterima sebahagian besar masyarakat kita - sehinggakan budaya ini pun sudah menular jauh ke dalam akar umbi sistem persekolahan kita.

band kpop indonesia

Sejak beberapa tahun ini saya diberitahu tentang salah satu aktiviti sekolah tak kira sekolah peringkat rendah atau menengah, yang berorientasikan K-Pop dari Korea Selatan. Amat mengejutkan sebenarnya apabila penulis menghadiri majlis anugerah cemerlang sekolah anak penulis - depan mata kita sendiri sekumpulan pelajar bercampur jantina sama-sama menyanyi dan menarikan lagu popular kumpulan Blackpink.

Apa yang lebih mengejutkan, guru-guru pun sama-sama terbuai dan khusyuk melihat anak murid mereka terkinja seakan beruk, menggoyangkan pinggul dan tubuh. Berapa lama mereka peruntukkan untuk memastikan koreografi mereka lancar setiap hari sedangkan waktu tersebut sepatutnya lebih baik digunakan bagi banyak lagi aktiviti pendidikan lain?

Kelemahan pihak sekolah yang tidak cakna

fans fanatik suju

Penerapan budaya 'cuba menjadi orang lain' juga amat berleluasa di kalangan pelajar, melalui pertandingan-pertandingan 'costume play' atau pakaian beragam, yang mendapat sambutan menggalakkan warga sekolah baik guru, ibu bapa dan sudah tentulah pelajar.

Tanpa menyebut nama-nama sekolah tertentu, apakah yang kita mahukan dalam melibatkan pelajar serta guru dalam pertandingan sedemikian rupa? Lagipun, terlalu ramai peserta pertandingan yang hadir dalam pakaian berelemenkan barat, mirip watak-watak adiwira atau puteri Disney yang menjadi ikutan - tanpa disedari seakan menanam dalam minda agar kita pun sama mengagung dan mengikuti pengaruh luar dengan lebih gembira.

iron man di sekolah cosplay anasir adiwira

Saya berasa sangat bingung melihat bagaimana ramai pelajar (serta guru) sanggup menghabiskan masa dan tenaga untuk hadir ke sekolah, dengan memakai pakaian yang teliti dihasilkan. Sangat sukar sebenarnya mahu menghasilkan baju besi Iron Man dalam bentuk cosplay - tetapi di depan saya tempohari, ada lima Iron Man yang berbeza. Watak Elsa daripada filem 'Frozen' yang sedang ditayangkan ketika artikel ini ditulis? Tak usah cerita ramainya anak gadis kita mahu jadi seperti dia.

Untuk apa pertandingan cosplay diwujudkan dalam sebuah institusi yang sepatutnya mendidik? Kita tidak nampak bagaimana nilai kreativiti pelajar di pupuk, kerana kostum yang mereka pakai tampak bukan dihasilkan mereka. Pelajar juga tidak mempelajari sebarang kemahiran baru semasa mereka 'berubah' menjadi watak tertentu, kecuali asyik dan leka merasakan mereka 'orang lain' yang langsung tidak berpaksikan realiti dunia nyata.

Dua contoh kebodohan budaya yang nyata

pentas hiasa elsa frozen

Gambar Sekadar Hiasan

Kenapa saya memilih dua perkara itu sebagai dua contoh perkara yang saya ingin hindari berlaku di sekolah? Ini kerana perkara ini telah berlaku agak lama, sehinggakan sudah jadi satu budaya di sekolah-sekolah.

Anak-anak muda kita ketika ini sudah terlalu biasa didedahkan dengan hiburan 24 jam, diberikan kuasa memilih siaran bila mereka mahu, dibenarkan mendengar muzik dan lagu tanpa perlu menunggu - jadi tidakkah sekolah sepatutnya menjadi salah satu institusi di mana mereka sepatutnya ditarik keluar daripada fantasi yang semakin hari semakin mencengkam realiti ini?

Bagi ibu bapa yang sedar dengan bahaya bahana ini, syukurlah. Anda perlu sedar suara anda perlu didengari, agar orang ramai tidak mudah hanyut dengan tarikan dunia yang pada akhirnya hanya bertujuan untuk melekakan kita semua daripada perkara-perkara pokok yang patut kita terapkan - belajar, mahir dan membentuk sahsiah diri.

pelajar sekolah fanatik kpop

Adakah dengan menari K-Pop di hadapan orang ramai atau berusaha menjadi watak fiksyen yang tidak wujud, akan melahirkan generasi masa depan yang cakna? Sama sekali tidak.

Kenapa saya menulis panjang lebar luahan hati saya ini? Ini kerana saya kecewa pihak sekolah seakan memandang ringan kesan-kesan penganjuran aktiviti sebegini pada kita dan masyarakat kita. Pasti ada pihak yang menganggap aktiviti seperti ini hanyalah satu bentuk hiburan ringan yang perlu dilihat sebagai peluang pelajar bergembira - namun kenapa sampai begitu sekali rendah graf mendidik direndahkan, hanya kerana mahu lihat anak-anak kita ketawa?

Di depan saya ada seorang lelaki lebih tua, berkopiah di kepala. Nampak dia mengurut-ngurut dada sepanjang lima gadis kecil molek itu mempergayakan tarian ghairah ikutan kumpulan Blackpink. Harap Menteri Pendidikan sedar, bukan semua yang seronok dan menyeronokkan - baik untuk pembentukan keperibadian masyarakat kita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)