Kredit foto: Instagram Syafiq Yusof

Pengarah Syafiq Yusof, 25, tidak mahu penonton menjadikan persamaan babak rompakan dalam filem arahannya, KL Special Force dengan beberapa filem luar negara sebagai satu isu besar.

“Kalau pernah tonton filem Police Story, ada babak perompak bertopeng yang sebenarnya diinspirasi daripada filem Point Break (1991) dan sejak itu bermulanya babak perompak bertopeng.

“Kemudian filem Heat (1995) dan selepas itu banyak lagi filem lain, kini saya pula buat dan ada yang katakan salah?” katanya sebagaimana dilaporkan portal Harian Metro.

Syafiq menegaskan filem aksi jenayah sememangnya banyak mempamerkan watak perompak yang bertopeng.

Selain itu, topeng dalam filem terbarunya itu juga secara kebetulan sahaja menyamai perompak dalam filem Police Story.

Dalam pada itu, Syafiq akui KL Special Force diinspirasikan daripada beberapa karya filem aksi Hong Kong.

Filem hebat ini membawa kisah sekumpulan unit khas PDRM yang cuba menumpaskan kegiatan kumpulan perompak 'Geng Anarkis'.

Karya yang dinantikan itu dibintangi Datuk Rosyam Nor, Syamsul Yusof, Fattah Amin, Sabrina Ali, Tania Hudson dan ramai lagi.

Berada di pawagam seluruh negara mulai 8 Mac ini (semalam).




Hakcipta iluminasi.com (2017)