Kredit foto: star2.com
Aktor ternama, Datuk Rosyam Nor, 51, akui pengarah muda berbakat besar, Syafiq Yusof berjaya membentuknya sebagai seorang pelakon yang berbeza menerusi filem aksi, KL Special Force.
“Selepas melihat filem Saya Amat Mencintaimu, saya dah teringin bekerja di bawah arahannya. Jadi saya nak berterima kasih kepada Syafiq kerana mempercayai saya. Selepas 36 tahun berada di dalam industri, ini filem aksi terbesar yang pernah saya jayakan.
“Siapa sangka pada usia saya 50 tahun, saya masih berupaya menjayakan filem aksi di mana Syafiq memaksa saya terjun dari tingkat tujuh. Walaupun pada mulanya saya enggan, tapi kedegilan Syafiq ada hasilnya.
“Saya berharap, penglibatan saya pada hari ini memberi peluang dan ruang buat adik-adik saya kini berusia 30-an untuk bergelar hero dan berlakon dalam filem aksi bila mereka berusia seperti saya,” katanya kepada Sinar Harian.
Siapa mampu menafikan usia penglibatan sebagai anak seni selama 36 tahun berjaya memahatkan nama Rosyam sebagai seorang Hero Malaya yang dikagumi.
Mendedahkan dirinya pernah mengalami zaman kejatuhan selama dua tahun, kini Rosyam sedia 'bangkit' menyemarakkan kerjaya yang diceburi.
Bahkan, pelakon yang pernah mencipta fenomena menerusi filem KL Menjerit itu sudah menjumpai formula sebenar untuk kekal releven sebagai seorang aktor.
“Untuk kekal dalam industri seni, saya perlu cuba untuk jadi bagus, perlu ada kualiti dan populariti. Faktor itu perlu bergabung untuk terus ke depan.
“Saya juga lihat sebagai satu packaging, saya perlu jaga penampilan, pakaian dan bentuk badan.
“Selera peminat cepat berubah dan untuk memastikan mereka tidak lari, saya harus berikan santapan yang bagus,” ujarnya.
Tidak hanya itu, Rosyam berkata, dia nekad menjadikan penampilannya lebih eksklusif dengan hanya membuat kemunculan menerusi filem.
“Kalau dulu semua tawaran saya ambil. Tapi saya sedar bila orang boleh lihat saya di mana-mana, orang akan muak. Jadi saya ambil keputusan untuk lebih selektif,
“Kalau berlakon drama pun hanya terbitan produksi saya dan drama raya sahaja. Saya rasa formula itu masih relevan sebab bila orang percaya dengan lakonan kita, dia akan ke pawagam untuk menonton lakonan kita,” katanya.
Selain itu, beliau juga lebih memberi keutamaan untuk tampil dalam 'filem terbaik' dan tidak lagi mengejar gelaran 'pelakon terbaik' semata-mata.
“Kalau saya tanya siapa pelakon terbaik 2012, orang tak ingat siapa. Tapi kalau saya tanya berapa kutipan filem Munafik, kebanyakan akan tahu.
“Bagi saya itu formula untuk pelakon seperti umur saya sekarang kerana secara tidak langsung, ia dapat membuktikan kepada penerbit dan pengarah bahawa pelakon seperti usia saya masih boleh dijual dan masih relevan bergelar hero,” katanya.