Kredit foto: Instagram Syafiq Yusof

Syafiq Yusof mampu mengukir senyuman bangga selepas filem terbaharunya, KL Special Force mengaut jumlah kutipan RM900,000 dalam tayangan lewat malam (Rabu) dan hari Khamis yang juga hari pertama filem itu ditayangkan.

Bapanya, sutradara tersohor, Datuk Yusof Haslam berkata, beliau turut menerima maklum balas positif daripada rata-rata penonton yang hadir pada malam gala tayangan filem berkenaan, berlangsung pada Isnin.

"Alhamdulillah kutipan filem KL Special Force hampir menyamai kutipan hari pertama Abang Long Fadil 2.

"Saya juga menerima respon yang cukup positif dari Isnin lalu dan juga dari mereka yang membeli tiket dan menonton filem ini di pawagam," katanya sebagaimana dilaporkan portal Sinar Harian.

Dalam pada itu, Yusof enggan meletakkan sebarang sasaran terhadap kutipan keseluruhan filem penuh aksi itu.

"Kalau kita meletakkan sasaran kutipan, kita ibarat melangkaui kuasa Tuhan pula. Lagipun isteri saya ada berpesan, kalau kita buat filem, tak perlu letak berapa sasaran kutipan. Ia macam riak pula.

"Jadi kami hanya berserah dan berharap filem ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, Yusof melahirkan rasa kagum atas keberanian anak lelakinya itu dalam menghasilkan sebuah filem yang mampu mencipta kelainan.

Ia susulan beberapa pujian dilontarkan pihak luar terhadap kredibiliti ditonjolkan Syafiq sebagai seorang pengarah muda.

"Saya puji bukan sebab dia anak saya dan apa yang saya katakan ini adalah apa yang orang lain cakap kepada saya.

"Bagi saya Syafiq cukup berani dan kreatif dalam menghasilkan sebuah karya yang berbeza. Kalau saya, saya lebih suka hasilkan karya yang straightforward.

"Tapi Syafiq pernah kata kepada saya, 'papa kita kena hasilkan sebuah karya yang berbeza dan berani kerana penonton kita mahukan sesuatu yang berbeza' dan ternyata apa dia cakap ada betulnya," katanya.

KL Special Force dibintangi para pelakon terkemuka antaranya Datuk Rosyam Nor, Fattah Amin, Tania Hudson, Esma Danial, Sabrina Ali, Ramona Zamzam, Puteri Balqis, Josiah Hogan dan ramai lagi.




Hakcipta iluminasi.com (2017)